UMP ke arah sebuah Kampus Pintar
PUTRAJAYA, 12 Disember 2021 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) berhasrat untuk menjadi sebuah kampus pintar (Smart Campus) dan pelaksanaan inisiatif ini seiring dengan saranan kerajaan dalam memperkasakan agenda kerajaan digital di negara ini.
Bertepatan dengan keperluan dalam era Revolusi Industri 4.0, universiti perlu melaksanakan transformasi digital (digital transformation) kepada sebuah kampus pintar agar terus relevan terhadap keperluan semasa dan jangkaan pemegang taruh.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, universiti turut memainkan peranan dalam pembangunan negara dan ia dicerminkan menerusi pembangunan universiti itu sendiri.
“Kita perlu melihat kepada teknologi tinggi (high technology), kampus hijau (green campus), pendigitalan, menterjemah big data, Internet of Things (IOT) dan Kampus Pintar dilihat dapat membawa kepada perubahan besar terhadap penggunaan teknologi.
“Dengan melihat kepada sumber (resources) yang ada saya mengharapkan agar UMP dapat mengumpul para penyelidik yang berkepakaran dalam pelbagai bidang agar ia dapat diterjemahkan dalam merealisasikan hasrat ini.
“Selain itu, universiti dan Yayasan UMP menerusi Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) juga sedang menggerakkan Jawatankuasa Kajian Strategik (JKKS) mengikut kluster IR 4.0, Kelestarian (Sustainability) dan Kampus Hijau (Green Campus) katanya yang berucap dalam Majlis Sanjungan Budi Mantan Ahli Lembaga Pengarah UMP baru-baru ini.
Beliau juga merancang untuk mengkaji beberapa Bandar Pintar (Smart City) yang mengintegrasi teknologi bagi menambah baik perkhidmatan dan keselamatan awam bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat di negara ini.
Dalam pada itu, Tan Sri Dato Sri Dr Abdul Aziz merakamkan penghargaan terima kasih atas sumbangan besar Dato’ Majid Mohamad sepanjang dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah UMP (LPU) sejak 15 Ogos 2018 hingga 14 Ogos 2021.
Menurutnya, Dato’ Majid berpengalaman luas terutamanya dalam melestari budaya integriti yang berkait rapat dengan governan, tadbir urus dan isu-isu etika dan nilai murni.
Turut sama dirai dalam majlis bagi menghargai sumbangan dan mengenang jasa mantan LPU ini ialah Dato' Sri Md. Sharif Shamsuddin yang dilantik sebagai ahli LPU UMP sejak 10 Oktober 2018 hingga 20 Jun 2021 dan Datuk Aishah Shaikh Ahmad yang dilantik sebagai ahli LPU UMP bermula 1 September 2016 hingga 31 Ogos 2021.
Tambah beliau lagi, segala jasa bakti dan sumbangan berupa tenaga, masa, buah fikiran, pandangan dan pengalaman masing-masing yang banyak menyumbang kepada kejayaan universiti ini,” ujar Tan Sri Dato Sri Dr Abdul Aziz.
Sementara itu, Dato’ Majid menghargai segala komitmen barisan ahli LPU dan pegawai universiti yang telah bersama-sama menjayakan agenda kecemerlangan UMP.
Beliau mengharapkan UMP sebagai universiti teknikal meneruskan usaha terhadap program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta inisiatif pengukuhan pendidikan dengan menumpukan terhadap peningkatan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderahati kenangan sebagai penghargaan daripada pihak universiti.
Hadir sama dalam majlis ialah Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Hazmin Aris dan barisan ahli LPU.
Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 234 views