UMP sasar program pemerkasaan Khidmat Inovasi Sosial
Merealisasikan agenda `Memasyarakatkan Teknologi’ melalui Lonjakan Strategik 5 dalam Pelan Strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP) 2016-2020 mensasarkan lebih banyak program pengkomersialan teknologi dan produk akademia UMP bagi memperkasa masyarakat sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan khidmat inovasi komuniti (CSI) universiti ini.
Perbincangan diadakan dalam bengkel “Commercializing Technology through Corporate Social Responsibility (CSR) & Community Social Innovation (CSI)” anjuran Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM) yang berlangsung di Ancasa Hotel, Pekan Pahang baru-baru ini.
Lebih 30 peserta yang mengetuai projek-projek komuniti di bawah Program Pemindahan Ilmu (KTP), program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), UMP-Community Technology Solution Platform dan inisiatif STEM (Science, Technology, Engineering & Mathematics) berkumpul menyumbang idea dan meningkatkan pemahaman berkenaan aspek komersial nilai-nilai teknologi yang dibangunkan oleh akademia UMP di samping mempromosikan teknologi UMP.
Menurut Penolong Naib Canselor (Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat), Profesor Dr. Jamil Ismail berkata, program diadakan untuk melatih para akademia UMP dalam perkara berkaitan pengkomersialan teknologi dan produk bagi tujuan tanggungjawab sosial korporat dan pelaburan sosial korporat ataupun khidmat inovasi komuniti.
“Tumpuan perbincangan merangkumi kemahiran dan pengalaman yang merangkumi strategi pengkomersialan, penilaian kebolehpasaran teknologi dan produk, kesediaan teknologi dan produk untuk pasaran, kajian pasaran, penyediaan rancangan perniagaan dan spektrum pembiayaan pengkomersialan bagi tujuan tanggungjawab sosial korporat dan pelaburan sosial korporat,” katanya.
Selain itu, peserta turut diberi pendedahan mengenai ekosistem CSR/CSI di dalam dan luar negara, contoh dan kaedah implementasi serta teknik penilaian teknologi untuk padanan aktiviti CSR/CSI kepada syarikat korporat atau badan bukan perniagaan (NGO).
Dalam pada itu peserta juga berpeluang menggunakan teknik komunikasi (pitching) tentang cadangan kerjasama melibatkan pihak UMP Technology Sdn. Bhd. (UMPT) dan UMP Holding Sdn. Bhd. Tampil sama berkongsi pandangan Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Collective Impact Initiatives (MCII), Dipti Kumar, Pengurus Program Komuniti dan Outreach, Pusat Komuniti dan Inovasi Global Malaysia (MAGIC), Khairul Mazwan Ibrahim Pati.
Disediakan oleh Mohd. Raizal Hilmy Mohd Rais dari Jabatan Jaringan Industri dan Masyarakat
- 112 views