Skip to main content

UMPSA Advanced dan Jakarta Business School memperkukuh hubungan kerjasama strategik

JAKARTA, 31 Januari 2025 – UMPSA Advanced dan Jakarta Business School memperkukuh hubungan kerjasama strategiknya apabila buat julung kalinya, Lembaga Pengarah UMPSA Advanced telah mengadakan kunjungan hormat ke JBS sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh hubungan akademik dan kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi.

Delegasi Lembaga Pengarah UMPSA disambut mesra oleh pihak pengurusan tertinggi JBS, Commissioner Yayasan KLIS, Profesor Tan Sri Dato' Wira Dr. Haji Nordin Kardi dan diiringi oleh barisan pensyarah utama. 

Lawatan itu bertujuan untuk meninjau perkembangan terkini institusi, berkongsi pandangan mengenai trend pendidikan perniagaan, serta meneroka peluang kolaborasi dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Kedua-dua belah pihak turut membincangkan pelbagai inisiatif strategik, termasuk program pertukaran pelajar, penyelidikan bersama, serta pembangunan kurikulum yang selaras dengan keperluan industri global. 

Para delegasi juga dibawa melawat  ke fasiliti pembelajaran sekitar JBS.  

UMPSA Advanced dan Jakarta Business School memperkukuh hubungan kerjasama strategik

Menurut Lembaga Pengarah UMPSA Advanced, Dato' Hamadan@Hamdan Hussin, lawatan ini memberikan peluang berharga untuk memahami lebih mendalam ekosistem pembelajaran di JBS serta memperkukuhkan jaringan di peringkat serantau. 

"Kami melihat potensi besar dalam kerjasama ini, khususnya usaha sama yang boleh diterajui bersama seperti pertukaran pelajar dan pensyarah, program latihan dan kemahiran, penyelidikan bersama, mahupun pemindahan teknologi serta kepakaran," ujarnya. 

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA merangkap Ahli Lembaga Pengarah UMPSA Advanced, Profesor Dato' Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.

Hadir sama Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMPSA Advanced, Azrina Hashim dan Azlinda Azman, Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Ahmad Johari Mohamad serta Dekan Fakulti Pengurusan Industri UMPSA, Dr. Hanafiah Ahmad juga Pengurus-pengurus Besar UMPSA Advanced.

Kunjungan hormat ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata sebagai simbolik penghargaan dan komitmen ke arah kerjasama yang lebih erat di masa hadapan.

Disediakan Oleh: Mohammad Syafiq Syahmi Suhaimi, UMPSA Advanced

Reports by:
Admin UMP News