UMPSA angkat legasi kepimpinan Tun Razak, bakal tubuh Pusat Legasi dan Wawasan Strategik
PEKAN, 26 November 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranannya dalam mengangkat legasi kepimpinan dan pemikiran negarawan menerusi penganjuran Tayangan Dokumentari The Tun Razak Story dan Dialog Kepimpinan Tun Razak: The Man Who Walked The Talk – The Tun Razak Legacy yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UMPSA Pekan hari ini.
Dokumentari istimewa ini disediakan khas sempena memperingati 50 tahun pemergian Tun Abdul Razak Hussein selain mengenang jasa beliau yang memainkan peranan penting dalam membentuk landskap pembangunan negara.
Program yang juga diadakan menjelang Sambutan Jubli Perak UMPSA pada 16 Februari depan memberi peluang buat warga universiti untuk menyelami perjalanan kehidupan, perjuangan serta sumbangan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia kedua yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan.
Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, kerjasama dengan Yayasan Tun Razak dalam penganjuran program ini menjadi titik permulaan penting ke arah memperkukuh hubungan strategik kedua-dua pihak, khususnya dalam mengembangkan wacana kepimpinan dan pemikiran strategik untuk manfaat generasi masa kini.
“UMPSA bakal menubuhkan entiti baharu di bawah pentadbiran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi yang dikenali sebagai Tun Razak Centre for Legacy and Strategic Foresight atau Tun Razak Foresight.
“Penubuhan pusat ini bukan sekadar mengangkat nama Allahyarham Tun Abdul Razak yang merupakan putera kelahiran Pekan, malah membawa hasrat untuk menghidupkan falsafah, nilai dan wawasan kepimpinan beliau sebagai Bapa Pembangunan dan Perdana Menteri Malaysia kedua.
“Pusat ini akan dibangunkan sebagai sebuah badan pemikir yang menggembleng kepakaran pelbagai disiplin dalam kalangan akademia UMPSA bagi menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara, pencerdasan rakyat serta penyelesaian isu nasional dan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa legasi kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak wajar dicerap dan diwacanakan oleh generasi muda, khususnya mahasiswa, sebagai sumber inspirasi dalam membentuk kepimpinan berintegriti, berpandangan jauh dan berjiwa rakyat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perjalanan kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak memperlihatkan keupayaan seorang pemimpin muda yang berjaya memikul amanah besar negara, bermula sebagai Setiausaha Kerajaan Pahang pada usia 30 tahun, Menteri Besar Pahang pada usia 32 tahun, Timbalan Perdana Menteri pada usia 35 tahun sebelum menjadi Perdana Menteri pada usia 48 tahun.
Dalam satu segmen khas tayangan dokumentari pada minit ke-42, Profesor Ts. Dr. Yatimah turut berkongsi mengenai nilai kepercayaan terhadap bakat muda yang menjadi antara asas penting kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak.

Beliau mengambil contoh kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kepada Tun Abdul Razak untuk memimpin Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) selepas Tragedi 13 Mei 1969, sekali gus memulihkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara.
Katanya, kepercayaan tersebut kemudiannya diterjemahkan oleh Tun Abdul Razak melalui pelantikan bakat-bakat muda dalam kerajaan dan perkhidmatan awam untuk bersama-sama menjayakan usaha pemulihan negara.
“Tun Abdul Razak mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir negara secara dekri ketika memimpin MAGERAN, namun beliau memilih untuk mengembalikan sistem demokrasi dalam tempoh 21 bulan selepas penubuhan majlis tersebut.
“Inilah pengajaran penting buat generasi muda bahawa kepercayaan tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi dikhianati.
“Setiap kepercayaan yang diberikan membawa amanah, kewajipan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan mahasiswa agar menghayati semangat Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baharu dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebagai antara legasi penting Tun Abdul Razak dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum serta membentuk identiti bangsa Malaysia.
Dalam pada itu, Profesor Ts. Dr. Yatimah turut mengumumkan bahawa Dialog Kepimpinan Tun Razak akan dijadikan acara tahunan berprestij UMPSA dengan penglibatan tokoh-tokoh terkemuka dari dalam dan luar negara bagi membincangkan isu-isu tempatan serta antarabangsa.
Inisiatif tersebut dijangka menjadi platform berterusan untuk memperluas perkongsian ilmu, pemikiran strategik dan kepimpinan, di samping memantapkan kerjasama UMPSA dengan Yayasan Tun Razak.
Hadir sama, Pengerusi Yayasan Tun Razak, Yang Berbahagia Tan Sri Nazir Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Tun Razak, Siti Hajar Abdul Rahman serta barisan pengurusan universiti, staf dan pelajar UMPSA.
Penganjuran program ini diharap dapat menyemarakkan penghayatan terhadap sejarah dan kepimpinan negara, sekali gus menyuntik inspirasi kepada generasi muda untuk meneruskan legasi kecemerlangan, integriti dan khidmat bakti demi pembangunan bangsa dan negara.
Lebih 1,000 pelajar dan staf hadir menyaksikan dokumentari yang membawa penonton menyelami perwatakan, kebijaksanaan, wawasan serta ketajaman percaturan politik Allahyarham yang menjadikan beliau seorang pemimpin disegani oleh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Turut dipaparkan segala usaha Allahyarham dalam memperkukuh ekonomi negara, merangka dasar pembangunan serta meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya masyarakat di kawasan luar bandar.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 23 views
Reports by: