Skip to main content

UMPSA anjur World Sustainable Construction Conference 2025 tekankan inovasi dan nilai kemanusiaan dalam pembinaan mampan

KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meneruskan kecemerlangan dalam bidang kelestarian apabila berjaya menganjurkan World Sustainable Construction Conference2025 (WSCC 2025) anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) UMPSA yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Oktober 2025.

Persidangan ini menghimpunkan lebih 100 pakar, penyelidik dan pengamal industri dari dalam dan luar negara bagi membincangkan inovasi terkini serta hala tuju pembinaan mampan sejagat berteraskan tema ‘Towards Next Generation’.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah.

UMPSA anjur World Sustainable Construction Conference 2025 tekankan inovasi dan nilai kemanusiaan dalam pembinaan mampan

Dalam ucapannya, Profesor Dr. Yatimah berkata, kemajuan dan inovasi dalam bidang pembinaan perlu disertai dengan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Kelestarian bukan lagi pilihan tetapi kewajipan yang membentuk seni bina moral masa kini.

“Semua pihak termasuk kerajaan, industri dan akademia perlulah berganding bahu mencapai sasaran Sifar Bersih Karbon (Net-Zero Emissions) menjelang tahun 2050 dengan menjadikan kelestarian sebagai tanggungjawab bersama. 

"Semoga perkongsian idea yang dikongsi sepanjang WSCC 2025 ini bukan sahaja mencetuskan inovasi, tetapi juga inspirasi iaitu bukan sekadar perubahan, bahkan komitmen,:" ujarnya. 

Acara turut menyaksikan penandatanganan plak ulang tahun kesepuluh WSCC dan pelancaran rasmi Wind Engineering Society Malaysia iaitu antara inisiatif penting dalam memperkukuh jaringan profesional dalam bidang kejuruteraan angin dan reka bentuk bangunan tinggi di Malaysia.

UMPSA anjur World Sustainable Construction Conference 2025 tekankan inovasi dan nilai kemanusiaan dalam pembinaan mampan

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Dr. Noram Irwan Ramli selaku Pengerusi dan Moderator WSCC 2025, dan mantan Pengerusi WSCC FTKA, Profesor Madya Dr. Mohamad Idris Ali.

WSCC 2025 menampilkan empat pembentangan utama oleh tokoh akademik terkenal antarabangsa dan tempatan iaitu Profesor Dr. Yukio Tamura dan Profesor Dr. Xiao Li dari School of Civil Engineering, Chongqing University, China, Profesor Madya Ir. Dr. Haji Fadzil Mat Yahaya dari UMPSA serta Profesor Ir. Dr. Azlan Adnan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

WSCC 2025 turut menampilkan tiga sesi selari yang membincangkan pelbagai penyelidikan terkini dalam bidang bahan binaan hijau, teknologi digital seperti Building Information Modelling (BIM) dan Internet of Things (IoT), serta sistem pembinaan modular yang mampu mengurangkan sisa dan mempercepatkan tempoh pembinaan.

Penganjuran WSCC 2025 itu turut menyokong aspirasi UMPSA Eco-University 2030 dalam melahirkan generasi jurutera dan teknologis yang bukan sahaja mahir dari segi teknikal, tetapi juga berjiwa lestari dan beretika demi kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
 

Foto: Zaffaruddin Hamzah, Pejabat Naib Canselor

Reports by:
AINIEY