UMPSA bakal jadi tumpuan pengunjung Program Jom Masuk U Zon Timur II
PEKAN, 27 Mei 2024 - Program Jom Masuk U 2024 (JMU2024) Zon Timur II anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama strategik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada 1 dan 2 Jun 2024 ini bakal menjadi tumpuan dengan menyasarkan seramai 20,000 pengunjung bakal hadir di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
Siri jelajah JMU 2024 sejak 4 Mei hingga 9 Jun 2024 di sepuluh zon terpilih seluruh negara merupakan pusat sehenti pendidikan tinggi negara yang menghimpunkan institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta; Insititusi Latihan Kemahiran Awam dan Swasta; agensi-agensi pembiayaan dan penajaan; pengesahan kelayakan; termasuk siri-siri perkongsian yang berfaedah kepada semua.
Karnival ini bakal menyaksikan lebih 70 reruai berkaitan pendidikan tinggi yang ditawarkan oleh IPT di bawah KPT yang merangkumi universiti awam (UA), institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) serta penglibatan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
Malah, terdapat juga pameran UA dan IPTS, agensi penajaan, sesi konsultasi UPUOnline®️, konsultasi penajaan/ biasiswa/ pinjaman dan bantuan kewangan pendidikan tinggi.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, bersesuaian dengan minggu cuti persekolahan ini, para ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka untuk berkunjung ke program JMU 2024 di UMPSA Kampus Gambang.
“Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah yang juga merupakan Pro-Canselor UMPSA berkenan berangkat bercermar duli menyempurnaksn Majlis Perasmian Jom Masuk U 2024 (JMU2024) Zon Timur II pada 1 Jun 2024 di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
“Penganjuran Program JMU 2024 membantu membuka mata dalam membuat keputusan untuk memilih kursus yang sesuai kelayakan serta mengatur laluan kerjaya bagi masa depan mereka.
“JMU 2024 menyasarkan kumpulan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan diploma/setaraf termasuk pelajar sekolah menengah dan rendah supaya mereka mendapat pendedahan awal berkenaan laluan pendidikan tinggi.
“Ditambah pula pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaksanakan pada 27 Mei 2024, pastinya inilah masa yang sesuai buat mereka mendapatkan nasihat pengajian yang bersesuaian dengan minat dan pilihan dengan berkunjung ke JMU 2024 yang berlangsung selama dua hari,” katanya.
Selain itu juga katanya, pelaksanaan Laluan Pendidikan Graduan TVET: Penambahbaikan Laluan Pendidikan Graduan TVET, Lepasan Diploma TVET turut berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi berdasarkan kesesuaian bidang berkaitan.
“Justeru, pelajar lepasan Diploma Politeknik melalui kolaborasi strategik Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN), Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) juga berpeluang untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda (Teknologi Kejuruteraan) dalam bidang TVET,” ujarnya.
Pelbagai aktiviti menarik turut ditawarkan sepanjang berlangsungnya JOM MASUK U 2024, antaranya Hari Terbuka UMPSA, Minggu TVET@UMPSA, persembahan pelajar, forum dan bual bicara bersama alumni, Audio Siar (Podcast) TVET, pameran TVET dan STEM, demonstrasi dron, persembahan pelajar, Street Science, Karnival Keusahawanan, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan , pencarian bakat personaliti mahasiswa: Wartawan Kampus dan Jurufoto dan banyak lagi.
Turut menampilkan kelainan bagi Jom Masuk U Zon Timur II 2024 kali ini, pempengaruh media sosial dikenali sebagai Amin X Abid yang akan turut serta memeriahkan program.
Pelajar sekolah yang hadir ke program ini juga berpeluang merasai suasana kampus melalui pengisian program Campus Tour@UMPSA dan mereka akan dibawa melawat ke sekitar kampus serta makmal di UMPSA.
Sepanjang program JOM MASUK U 2024 ini juga, calon-calon lepasan SPM dan STPM/Setaraf turut boleh memohon dan mengemas kini permohonan UPUOnline®️ yang dibuka pada permohonan Fasa 2 sejak 29 April 2024 (12.00 tengah hari) hingga 9 Jun 2024 (5.00 petang).
Majlis Perasmian JOM MASUK U 2024 telah berlangsung di UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar pada 4 dan 5 Mei lalu, manakala Majlis Penutupan JOM MASUK U 2024 pula akan diadakan di UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu pada 8 dan 9 Jun nanti.
Layari https://jmu2024.umpsa.edu.my/index.php untuk mendapatkan maklumat program Jom Masuk U 2024 Zon Timur II.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 201 views