UMPSA bentang kepakaran Eco-Campus, perkasa pelaksanaan Eco-Schools di Pahang
KUANTAN, 16 Julai 2026 - Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda kelestarian negara apabila mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang bagi membentangkan peranan universiti dalam memperkasakan pelaksanaan Program Eco-Schools di negeri Pahang.
Delegasi UMPSA diketuai oleh Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian, Dr. Suhaidah Hussain, bersama Ketua Kluster Setting and Infrastructure, Dr. Nurhaizan Mohd. Zainudin, Ketua Kluster Pendidikan, Dr. Intan Syafinaz Muhammad, dan Dr. Nor Rokiah Hanum Md. Haron.
Delegasi telah disambut oleh Penolong Pengarah, Unit Sains dan Matematik, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Mohd. Shahril Ghazali.
Pertemuan yang berlangsung selama hampir dua jam itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak membincangkan hala tuju kerjasama strategik dalam memperluaskan pelaksanaan Program Eco-Schools di sekolah-sekolah seluruh negeri Pahang.

Dalam sesi pembentangan, pihak UMPSA berkongsi pengalaman dan kejayaan universiti dalam membudayakan kelestarian menerusi pelaksanaan Program Eco-Campus yang telah mengiktiraf UMPSA sebagai antara institusi pendidikan tinggi yang komited terhadap pembangunan mampan.
Pengalaman tersebut dilihat mampu menjadi model terbaik dalam membantu sekolah-sekolah membangunkan persekitaran pembelajaran yang lebih lestari, inklusif dan berimpak tinggi.
Perbincangan turut menyentuh cadangan pelaksanaan latihan dan pembangunan kapasiti kepada guru, penyediaan modul pendidikan kelestarian, program mentor sekolah, aktiviti berasaskan projek serta penglibatan komuniti sebagai usaha membentuk budaya kelestarian dalam kalangan warga sekolah.
Menurut Dr. Suhaidah Hussain, kerjasama ini merupakan langkah penting dalam melahirkan generasi yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab memelihara alam sekitar.
“UMPSA komited untuk berkongsi kepakaran, penyelidikan dan amalan terbaik yang dimiliki dalam bidang kelestarian bagi menyokong usaha JPN Pahang memperluaskan pelaksanaan Program Eco-Schools.
“Malah, kami percaya pendidikan merupakan medium paling berkesan dalam membentuk generasi yang bukan sahaja memahami kepentingan kelestarian, malah mampu menjadi agen perubahan kepada masyarakat,” katanya.
“Melalui jaringan strategik ini, UMPSA berharap lebih banyak sekolah di Pahang dapat menyertai Program Eco-Schools sekali gus membudayakan amalan hijau secara sistematik dan menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs),” ujarnya.
Sementara itu, pihak JPN Pahang menyambut baik hasrat UMPSA untuk bekerjasama dalam memperkukuh pendidikan kelestarian di sekolah-sekolah melalui pendekatan yang lebih holistik dan berimpak terhadap kelestarian alam sekitar.
Kunjungan ini menjadi titik permulaan kepada jalinan kerjasama strategik antara UMPSA dan JPN Pahang dalam memperkasakan pendidikan kelestarian, sekali gus mewujudkan ekosistem pembelajaran yang menyokong pembangunan komuniti dan masa depan yang lebih mampan.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC)
- 43 views
Reports by: