UMPSA cemerlang di Asia, raih kedudukan ke-165 terbaik dalam THE Asia University Rankings 2026
PEKAN, 24 April 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengukir pencapaian membanggakan apabila berjaya menduduki tempat ke-165 terbaik di Asia dalam penarafan Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2026 yang diumumkan hari ini.
Lebih membanggakan, pencapaian itu turut meletakkan UMPSA di kedudukan kesembilan terbaik dalam kalangan universiti di Malaysia serta muncul umiversiti pertama terbaik dalam rangkaian Malaysia Technical University Network (MTUN).
Penarafan berprestij tersebut menilai prestasi universiti berdasarkan lima indikator utama iaitu kualiti penyelidikan (30 peratus), persekitaran penyelidikan (28 peratus), pengajaran (24.5 peratus), hubungan industri (10 peratus) dan pandangan antarabangsa (7.5 peratus).
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan dan kolaborasi strategik di peringkat global.
“Pencapaian ini adalah hasil usaha kolektif seluruh warga UMPSA yang sentiasa komited dalam memperkasakan budaya kecemerlangan serta memperluas impak universiti kepada masyarakat dan industri.
“Kedudukan ini juga membuktikan bahawa UMPSA semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai institusi pendidikan tinggi teknikal yang kompetitif dan relevan dengan keperluan semasa,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, UMPSA akan terus memacu kecemerlangan seiring dengan hala tuju universiti melalui Pelan Strategik UMPSA 2026–2030.

“Melalui pelan strategik ini, UMPSA memberi tumpuan kepada penghasilan penyelidikan berimpak tinggi, pemerkasaan ekosistem inovasi serta pengukuhan kolaborasi bersama industri dan rakan antarabangsa.
“UMPSA komited dalam melahirkan graduan masa hadapan yang bukan sahaja kompeten dari segi teknikal, malah mempunyai nilai kepimpinan, keusahawanan dan jati diri global yang tinggi,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa fokus kepada pendigitalan pendidikan, kelestarian kampus serta pemerkasaan bakat akan menjadi pemacu utama universiti dalam mendepani cabaran global.
“Kejayaan ini menjadi pemangkin untuk kita melangkah lebih jauh, memperkukuh kedudukan UMPSA sebagai universiti teknologi terunggul yang mampu bersaing di pentas dunia,” ujarnya.
Kejayaan ini sekali gus mengukuhkan lagi reputasi UMPSA sebagai universiti teknologi terunggul negara yang sentiasa komited dalam memacu kecemerlangan pendidikan tinggi dan inovasi.
Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat
- 16 views
Reports by: