Skip to main content

UMPSA dan The University of Edinburgh meterai kerjasama perkasa ekosistem akademik dan penyelidikan berimpak tinggi

SINGAPURA, 2 Februari 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan The University of Edinburgh (UoE) dalam satu majlis yang berlangsung bersempena dengan Singapore Space Summit 2026 di Sands Expo & Convention Centre, Marina Bay Sands

Kerjasama ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem akademik dan penyelidikan berimpak tinggi, khususnya dalam teknologi angkasa, AI, bioteknologi dan biodiversiti.

Majlis menandatangani MoU tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha yang mewakili Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.

Manakala UoE pula telah diwakili oleh Regional Director Southeast Asia and Cross-Regional Projects, Audrey Kon. 

Majlis bersejarah itu turut disaksikan oleh Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Dato' Gs. Haji Azlikamil Napiah dan Pengarah Urusan, Pahang Aerospace City Development Berhad (PACDB), Profesor Adjung Muhamad Nurazmi Abas.

Menurut Profesor Ts. Dr. Aida, pemeteraian MoU ini membuktikan komitmen UMPSA sebagai universiti teknikal berasaskan kompetensi untuk terus menjalinkan hubungan strategik dengan institusi bertaraf dunia seperti UoE yang terkenal dengan kecemerlangan dalam bidang Kejuruteraan, Sains dan Teknologi.

“Kerjasama ini dirangka bagi membolehkan penerokaan peluang baharu dalam bidang penyelidikan kritikal.

“Fokus utama kolaborasi ini merangkumi pembangunan hab angkasa (space hub), penubuhan Makmal Ekspedisi Biodiversiti (Biodiversity Expedition Lab), serta perancangan program akademik Sarjana Ijazah Dual (Dual Master Program) antara UoE dan UMPSA,” ujarnya.

Pemeteraian ini menetapkan asas kerjasama teknikal di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk menggembleng tenaga dalam aktiviti pengajaran, penyelidikan dan khidmat komuniti yang selari dengan strategi dan objektif bersama.

UoE, sebagai sebuah universiti berintensifkan penyelidikan yang diiktiraf di peringkat global telah banyak melaksanakan inisiatif inovasi dan menjalinkan perkongsian dengan institusi antarabangsa bagi memperkasa aktiviti pertukaran ilmu.

UMPSA dan The University of Edinburgh meterai kerjasama perkasa ekosistem akademik dan penyelidikan berimpak tinggi

Turut hadir dalam majlis menandatangani MoU tersebut adalah Penolong Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim, Pengarah Pusat Teknologi Industri Termaju (AIT), Profesor Madya Ts. Dr. Nasrul Hadi Johari, dan Senior Regional Trade Manager, Scottish Development Institute (SDI),  Kartina Osman.

Disediakan Oleh: Profesor Madya Ts. Dr. Nasrul Hadi Johari, Pusat Teknologi Industri Termaju (CAIT)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri