UMPSA di tangga ke-538 terbaik dunia dalam Penarafan QSWUR Sustainability 2026 iktiraf Agenda Kelestarian Global
PEKAN, 19 November 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berada di kedudukan ke-538 terbaik dunia berbanding di tangga ke-699 tahun lalu berdasarkan kepada pengumuman yang dikeluarkan oleh pihak QS World University Rankings: Sustainability 2026 pada 18 November 2025.
Kejayaan ini menyaksikan UMPSA berada di tangga ke-133 Asia, kedudukan ke-11 terbaik di Malaysia dan nombor satu terbaik dalam kalangan Malaysia Technical University Network (MTUN) yang mengiktiraf komitmen universiti terhadap Agenda Kelestarian Global.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, pencapaian prestasi ini mencerminkan komitmen tinggi UMPSA untuk menyematkan kemampanan merentasi penyelidikan, pengajaran, tadbir urus dan penglibatan komuniti.
“UMPSA berjaya mengukuhkan kedudukan sebaris dengan universiti bertaraf dunia dan menghasilkan program akademik diiktiraf di peringkat global dengan penyelidikan berkualiti serta memberi impak terhadap pendidikan tinggi negara.
“Pencapaian itu menjadikan sumber kebanggaan buat seluruh warga UMPSA yang sentiasa komited terhadap kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, kerjasama industri dan peningkatan penyelidikan berimpak serta kolaborasi akademik yang telah menyumbang terhadap pencapaian UMPSA.
“Ia juga mencerminkan usaha berterusan UMPSA dalam meningkatkan reputasi dan kecemerlangan dalam arena pendidikan tinggi global,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, penarafan bukan agenda utama universiti tetapi kedudukan itu membuka ruang dan peluang yang lebih luas buat UMPSA terus mengorak langkah ke hadapan dalam meneroka dan memperbaharui semua aspek penyelidikan, pengantarabangsaan dan kelestarian.
“Pada masa yang sama, pencapaian ini mengukuhkan kedudukan universiti sebagai Hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju di rantau ini berteraskan kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak, kerjasama global dan penghasilan graduan berkualiti tinggi,” katanya.
QS World University Rankings: Sustainability 2026 adalah sistem penarafan peringkat global yang menilai prestasi universiti di seluruh dunia berdasarkan Indikator Environmental Education (17%), Environmental Research (13%), Environmental Sustainability (15%), Employability and Opportunities (11%) dan Equality (12%).
Turut dinilai indikator Health & Wellbeing (5%), Impact of Education (7%), Knowledge Exchange (10%) dan Good Governance (10%).
UMPSA juga merupakan satu-satunya universiti di negara ini yang menerima Anugerah Bendera Hijau Eco-Campus pada Persidangan Antarabangsa Eco-Campus (ECIC) 2025 dalam mengiktiraf amalan hijau selari dengan kerangka Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat.
- 17 views
Reports by: