UMPSA jalin kerjasama dengan SMK Kuala Krau buka peluang kepada pelajar inklusif
KUALA KRAU, 11 Oktober 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjalinkan kerjasama erat dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau, Temerloh dalam usaha memberi manfaat terhadap kemenjadian murid, peluang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, pembelajaran STEM, inovasi dan kemasyarakatan serta meningkatkan pembangunan kompetensi guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP).
UMPSA komited dalam membantu masyarakat dan menyebar luas kepakaran serta teknologi daripada pakar-pakar di universiti ini.
Kerjasama ini juga bakal memberi peluang kepada murid SMK Kuala Krau untuk terlibat sama dalam program UMPSA.
UMPSA juga akan turut membantu SMK Kuala Krau dalam membangunkan projek STEM, inovasi dan kemasyarakatan, melaksanakan aktiviti secara bersama bagi membuka peluang murid melanjutkan pelajaran ke UMPSA, membantu SMK Kuala Krau meningkatkan pembangunan kompetensi guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) serta membantu SMK Kuala Krau dalam menjalankan aktiviti yang berkaitan dengan program kemenjadian murid.
UMPSA dan SMK Kuala Krau juga akan saling bekerjasama dalam usaha berkaitan kemenjadian murid Orang Asli (OA) dan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).
Menurut Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, kerjasama ini seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan pelaksanaan strategi alam sekitar, sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Ini adalah selari dengan komitmen kita terhadap pembangunan pendidikan inklusif, terutamanya untuk pelajar Orang Asli dan pelajar pendidikan khas,” katanya.
“SMK Kuala Krau telah melahirkan ramai alumni yang berjaya termasuk dalam kalangan orang asli/asal dalam bidang keusahawanan dan pendidikan yang berjaya di peringkat negara.
“Ini membuktikan bahawa dengan pendidikan yang betul, tidak ada batasan untuk mencapai kejayaan,” tambahnya.
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin menandatangani surat hasrat kerjasama dengan Pengetua SMK Kuala Krau, Hamdan Ramli dan disaksikan oleh Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim serta Guru Penolong Kanan, SMK Kuala Krau, Nor Haniza Abdul Hamid.
Turut hadir, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah), Pusat Bahasa Moden (PBM), Profesor Madya Dr. Hafizoah Kassim dan Pengarah Unit OKU UMPSA merangkap Pengerusi PPDK DAMAi, Dr. Munira Abdul Razak.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 135 views