UMPSA lahir pencipta teknologi masa depan, penuhi permintaan 60,000 tenaga mahir industri
PEKAN, 4 Ogos 2026 – Ketika dunia berlumba menguasai kecerdasan buatan (AI), robotik dan teknologi digital, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tampil menggalas tanggungjawab melahirkan generasi pencipta teknologi yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada kepakaran luar.
Malah, Malaysia kini memerlukan sekurang-kurangnya 60,000 tenaga mahir dalam bidang elektrik dan elektronik bagi menyokong pembangunan industri strategik seperti semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui, automasi dan pendigitalan negara.
Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Ts. Dr. Hamzah Ahmad berkata, bidang elektrik dan elektronik kini menjadi pemacu utama revolusi teknologi dunia kerana hampir semua inovasi baharu bergantung kepada kepakaran dalam bidang tersebut.
"Jika kita mahu Malaysia terus berdaya saing, kita perlu melahirkan lebih ramai jurutera dan teknologis yang bukan sekadar menggunakan teknologi, tetapi mampu mereka bentuk, membangunkan dan menghasilkan teknologi sendiri," ujarnya ketika menjadi tetamu podcast UMPSA 360 terbitan Pusat Komunikasi Korporat (PKK) UMPSA yang dikendalikan oleh Pengarah PKK, Mimi Rabita Abd Wahit sebagai Moderator.
Menurut beliau, FTKEE menawarkan tujuh program akademik yang merangkumi bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan dan teknologi, selain program diploma, sarjana dan doktor falsafah yang dibangunkan sejajar dengan kehendak industri global.
“Antara kelebihan utama UMPSA ialah pendekatan pembelajaran berteraskan industri menerusi Work-Based Learning (WBL) yang memberi peluang kepada pelajar menjalani latihan di industri selama setahun sebagai sebahagian daripada pengajian mereka.
"Pelajar bukan sahaja mempelajari teori di universiti, malah turut didedahkan dengan pengalaman sebenar di industri melalui projek, penyelesaian masalah dan pembangunan teknologi yang memenuhi keperluan sektor pekerjaan.
“FTKEE turut menawarkan program ijazah dual dengan universiti di Jerman dan China yang membuka peluang kepada pelajar memperoleh dua ijazah bertaraf antarabangsa pada kos yang lebih kompetitif,” ujarnya.
Dalam aspek penyelidikan pula, fakulti turut mencatat pelbagai kejayaan melalui penghasilan inovasi yang telah dikomersialkan, termasuk pembangunan sistem penderiaan elektronik (electronic nose), projek Internet Pelbagai Benda (IoT) serta kerjasama penyelidikan bersama syarikat industri seperti Isuzu, TT Electronics dan beberapa syarikat teknologi lain.
Beliau berkata, budaya inovasi juga turut diterapkan kepada pelajar melalui projek tahun akhir yang berpotensi diketengahkan ke pertandingan kebangsaan dan antarabangsa sehingga berjaya meraih pelbagai anugerah.
"Pelajar kita bukan hanya belajar di bilik kuliah, malah mereka didedahkan dengan inovasi, keusahawanan teknologi serta pengalaman pertandingan antarabangsa yang menjadi nilai tambah apabila memasuki alam pekerjaan," katanya.
Selain kecemerlangan akademik dan penyelidikan, FTKEE turut aktif memperkasakan pendidikan STEM dalam kalangan masyarakat sejak tahun 2012 menerusi pelbagai program komuniti melibatkan sekolah, guru dan pelajar termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Inisiatif itu bertujuan menyemai minat generasi muda terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik sejak di bangku sekolah.
Mengulas mengenai hala tuju fakulti, beliau berkata FTKEE komited memperkukuh kolaborasi bersama industri bagi menghasilkan penyelesaian teknologi yang memberi impak kepada masyarakat, sekali gus memastikan graduan UMPSA terus kekal relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan.
Beliau turut mengajak lepasan sekolah dan institusi pengajian untuk memilih UMPSA sebagai destinasi pengajian kerana universiti itu menawarkan pembelajaran berteraskan amali, kemudahan makmal moden, pensijilan profesional serta jaringan industri yang kukuh.
"Kami bukan sahaja menawarkan pendidikan berkualiti, malah membimbing pelajar menjadi profesional yang kompeten, berfikiran kritikal dan bersedia menerajui teknologi masa depan.
“Di FTKEE UMPSA, kami membina masa depan anda," katanya ketika mengakhiri perbualan.
Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat
- 19 views
Reports by: