Skip to main content

UMPSA laksana ibadah korban dan akikah sempena Aidiladha

PEKAN, 19 Jun 2024 – Dalam usaha mengimarahkan suasana sempena Hari Raya Aidiladha dan menjelang berakhirnya hari Tasyrik, Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya melaksanakan ibadah korban dan akikah. 

Program itu menyaksikan sebanyak lapan ekor lembu dan dua ekor kambing telah dikorbankan bertempat di Masjid Universiti, UMPSA Pekan.

Program itu turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin bersama isteri, Datin Nooraziza Sabarudin yang turut menyempurnakan ibadah korban. 

UMPSA laksana ibadah korban dan akikah sempena Aidiladha

Hadir sama Timbalan-timbalan Naib Canselor dan barisan pengurusan UMPSA.

Pelaksanaan aktiviti melapah diketuai oleh Pengarah PIMPIN, Profesor Madya Dr. Rashidi Abbas dan dibantu oleh hampir 150 sukarelawan terdiri daripada staf dan pelajar. 

Lebih menarik, ibadah korban ini turut disertai oleh RHB Islamic Bank yang telah menyumbangkan seekor lembu. 

Wakil dari RHB Islamic Bank yang hadir ialah Ketua Pembangunan Perniagaan (Bukan Runcit), Ishak Othman, Pengarah Wilayah Pantai Timur, Tuan Haji Yusof Abdullah dan Pengurus Cawangan, Mustaffa Kamal Mohamed Noor.

UMPSA laksana ibadah korban dan akikah sempena Aidiladha

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie menzahirkan rasa syukur kerana UMPSA dapat meneruskan program ibadah korban tahun ini dengan jayanya. 

“Pelaksanaan ibadah korban ini bukan sahaja untuk mendapat keredaan Allah SWT malah dapat memberi kegembiraan kepada golongan yang kurang berkemampuan dan dapat menanamkan rasa kasih antara warga UMPSA dan masyarakat. 

“Tidak dilupakan juga terima kasih kepada pihak RHB Islamic Bank yang turut menyertai program ini. 

“Agihan daging korban telah diberikan kepada 400 orang yang terdiri daripada mereka yang layak termasuk staf dari bahagian keselamatan, pelajar antarabangsa, staf landskap dan staf pembersihan,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, sebahagian daripada daging korban digunakan untuk memasak hidangan gulai kawah yang kemudian dinikmati bersama warga UMPSA dan masyarakat berhampiran, 

“Pada kali ini, proses melapah dan memotong daging dibuat di tempat yang lapang dan selesa di Masjid UMPSA. 

“Terima kasih kepada semua warga UMPSA yang tiba seawal jam 8 pagi untuk sama-sama membantu menguruskan aktiviti korban ini,” katanya. 

Menurut salah seorang pelajar antarabangsa dari Mesir, Abdelrahman Mohamed Ismail Farouk, 29, beliau sangat teruja untuk menyertai aktiviti sukarelawan ini.

“Pengalaman pertama kali menyertai aktiviti korban ini amat menyeronokkan.

“Banyak perkara menarik yang saya pelajari terutamanya dalam proses penyembelihan lembu yang diuruskan dengan sangat profesional dan teruja apabila melihat di Malaysia ramai yang akan membantu dalam aktiviti berkorban ini.

“Saya juga tidak menyangka diberi peluang untuk membantu rakan senegara untuk menyediakan juadah Nasi Arab untuk dinikmati bersama warga kampus,” ujarnya yang kini sedang menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA). 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris