Skip to main content

UMPSA meningkat kedudukan dalam QS World University Rankings 2025

PEKAN, 5 Jun 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya meningkatkan kedudukannya dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (WUR) 2025 dengan berada di kedudukan 741-750 terbaik dunia berbanding di kedudukan 781-790 pada 2024.

UMPSA berada di dalam kelompok 741 universiti terbaik dunia daripada 1,503 buah universiti yang layak tersenarai dalam penarafan. 

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, peningkatan prestasi UMPSA dalam penarafan QS (QUR) 2025 adalah hasil daripada strategi dan inisiatif secara sistematik yang dilaksanakan melalui penambahbaikan secara berterusan melalui Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 dalam memberikan pendidikan tinggi dan penyelidikan yang berkualiti.

UMPSA meningkat kedudukan dalam QS World University Rankings 2025

“Pencapaian UMPSA ini dilihat ketara bagi indikator Sitasi Setiap Fakulti apabila berada di kedudukan 383 terbaik dunia yang menunjukkan penyelidikan berkualiti dihasilkan dengan produktiviti yang tinggi,” katanya.

UMPSA telah berjaya berada di kedudukan kesembilan daripada 17 universiti awam (UA) di Malaysia yang layak diberikan penarafan dan menjadi universiti terbaik iaitu di kedudukan pertama dalam kalangan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Di samping itu juga, UMPSA merupakan UA terbaik iaitu kedudukan pertama di Malaysia bagi universiti muda iaitu universiti yang berusia 25 tahun ke bawah.

Pencapaian ini juga menunjukkan hasil daripada usaha universiti untuk memperkasakan ilmu pengetahuan dan menyemarakkan penyelidikan serta inovasi.

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie mengucapkan penghargaan dan terima kasih di atas usaha dan dedikasi yang berterusan serta konsisten warga kerja universiti, sahsiah pelajar dan sumbangan pihak alumni serta kolaborasi strategik dari sektor awam dan swasta yang sama-sama membantu meningkatkan prestasi kedudukan UMPSA dalam penarafan QS (WUR) 2025.

“Dalam penarafan terkini, UMPSA telah berjaya melonjakkan kedudukannya ke tahap yang lebih tinggi, sekaligus mengukuhkan reputasi dan kredibiliti universiti di peringkat global.

“Pencapaian ini adalah hasil daripada komitmen yang berterusan oleh seluruh warga UMPSA dalam meningkatkan kualiti pendidikan, penyelidikan dan inovasi.

“Kita berbangga dengan usaha gigih dalam memperkasakan bidang akademik, memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa, memupuk bakat dan potensi pelajar serta staf telah membuahkan hasil yang memberangsangkan,” ujar beliau.

Selain itu, kenaikan dalam penarafan ini juga mencerminkan sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, industri dan komuniti yang sentiasa berdiri teguh bersama UMPSA dalam mencapai kecemerlangan.

Dengan pencapaian ini, UMPSA bertekad untuk terus memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan pendidikan tinggi di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Universiti juga akan terus memperkukuhkan usaha dalam bidang penyelidikan yang berimpak tinggi, memperluas kerjasama strategik dengan institusi-institusi ternama dunia serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan inovatif untuk melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing.

Dalam pada itu, sebanyak 28 buah universiti awam dan universiti swasta di Malaysia telah tersenarai di dalam penilaian pada kali ini.

Disediakan  Oleh: Hazmin Aris, Pusat Pengurusan Strategik Dan Kualiti 
 

Reports by:
Admin UMP News