Skip to main content

UMPSA rai kejayaan pelajar terima Hadiah Kecemerlangan Duta Besar China

PEKAN, 10 Februari 2025 – Seramai 14 orang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menerima Hadiah Kecemerlangan Duta Besar China dari Kedutaan China di Lounge Eksekutif Perpustakaan, UMPSA Pekan baru-baru ini. 

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias telah menyambut baik delegasi dari Kedutaan China iaitu Kaunselor Pendidikan, Zhao Changtao dan Setiausaha Pendidikan, Tang Jing. 

Ia diadakan sebagai tanda pengiktirafan atas dedikasi dan kesungguhan para pelajar UMPSA yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam akademik serta memperkukuh hubungan erat di antara Malaysia dengan China dalam bidang pendidikan tinggi. 

Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad dalam ucapannya menyatakan bahawa hubungan Malaysia dan China bukanlah perkara baharu, malah telah terjalin sejak berabad lamanya.

“Kedua-dua negara berkongsi hubungan budaya, ekonomi  dan diplomatik yang kukuh. 

“Pada masa ini, China adalah rakan dagang terbesar Malaysia dengan kerjasama yang merangkumi pelbagai bidang termasuk pendidikan, teknologi dan inovasi.

“UMPSA turut bangga dengan kerjasama strategiknya bersama institusi pengajian tinggi di China. 

“Antaranya, program ijazah dual bersama Universiti Beijing Jiaotong (BJTU) yang telah berjaya melahirkan profesional dalam bidang Kejuruteraan Rel,” ujarnya. 

UMPSA rai kejayaan pelajar terima Hadiah Kecemerlangan Duta Besar China

Katanya, seramai 45 pelajar UMPSA telah menamatkan pengajian mereka di BJTU pada 18 Januari 2025 yang lalu. 

“Selain itu, UMPSA turut menjalinkan kerjasama dengan universiti lain di China, termasuklah Universiti Tianjin, Universiti Ningxia dan Kolej Teknikal Keretapi Liuzhou. 

“Selain kerjasama akademik, UMPSA juga turut terlibat dalam inisiatif industri seperti menjadi Universiti Fokus untuk Program Latihan Kemahiran Industri ECRL, hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Malaysia Rail Link (MRL) dan China Communications and Construction Company (CCCC) sejak tahun 2017,” ujarnya. 

Tambahnya, satu lagi pengiktirafan yang diberi perhatian adalah Biasiswa Duta China yang telah banyak memberi manfaat kepada pelajar UMPSA. 

“Sejak tahun 2022, Kedutaan China di Malaysia telah menyumbang sebanyak RM65,250,
RM61,000 dan RM50,000 kepada para pelajar masing-masing sebagai sokongan kepada
kejayaan akademik mereka.. 

“Biasiswa ini bukan hanya memberi bantuan kewangan, tetapi juga memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

“Para pelajar haru terus mencabar diri dan mengejar impian mereka untuk menjadi pemimpin masa depan negara,” jelasnya. 

Beliau berkata, kejayaan ini adalah tanggungjawab yang harus digalas dengan terus berusaha keras, berinovasi, dan memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat. 

“UMPSA bertekad untuk terus memperkukuh hubungan dengan China dengan mengembangkan program mobiliti, kerjasama penyelidikan, dan pertukaran akademik. 

“Dengan sokongan yang diberikan oleh Kedutaan China, UMPSA akan terus berusaha menyediakan pendidikan terbaik yang tidak hanya mempersiapkan pelajar untuk kerjaya tetapi juga untuk menjadi pemimpin global,“ katanya. 

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, barisan dekan dan pengarah UMPSA. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad