Skip to main content

UMPSA raih pengiktirafan 4 Diamond LCC2030C 2025, rekod pengurangan GHG hampir 37%

KUALA LUMPUR, 12 Februari 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengorak langkah sebagai kampus lestari apabila berjaya meraih pengiktirafan 4 Diamond bagi kampus Pekan dalam Kategori Zon manakala Diamond bagi kampus Gambang dalam Low Carbon City 2030 Challenge (LCC2030C) Tahun 2025.

Pengiktirafan berprestij itu merupakan inisiatif anjuran yang diperkenalkan sejak tahun 2019 dengan objektif mempercepatkan transformasi bandar-bandar di Malaysia ke arah pembangunan rendah karbon sejajar aspirasi negara mencapai neutral karbon menjelang 2050.

Bagi edisi tahun 2025, UMPSA mencatatkan pencapaian membanggakan dengan merekodkan pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 36.89 peratus sejak tahun 2019, meliputi keseluruhan elemen penilaian program.

Secara keseluruhan, universiti berjaya mengurangkan sebanyak 5,471.77 tan karbon dioksida setara (tCO₂eq), sekali gus membuktikan komitmen berterusan warga kampus dalam menyokong agenda kelestarian dan pembangunan mampan.

Program LCC2030C menilai prestasi organisasi berdasarkan lima elemen utama iaitu tenaga (energy), air (water), sisa (waste), mobiliti (mobility), kehijauan dan perairan (Greenery & Water Bodies)

daimond

Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang hadir menerima anugerah tersebut berkata, pencapaian ini adalah hasil komitmen berterusan seluruh warga universiti dalam membudayakan amalan rendah karbon di kampus. 

“Kejayaan ini bukan sekadar pengiktirafan semata-mata, malah menjadi penanda aras kepada kesungguhan UMPSA dalam merealisasikan agenda kelestarian secara menyeluruh.

“Pengiktirafan 4 Diamond ini mencerminkan komitmen kolektif warga UMPSA dalam mengarusperdanakan agenda kelestarian dan tindakan iklim di peringkat universiti. 

“Pengurangan hampir 37 peratus pelepasan gas rumah kaca sejak tahun 2019 membuktikan bahawa pendekatan strategik dan pelaksanaan inisiatif secara sistematik mampu memberi impak yang signifikan,” ujarnya. 

Katanya, UMPSA akan terus memperkukuh usaha ke arah kampus rendah karbon menjelang tahun 2030 selaras dengan aspirasi nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). 

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua jabatan, pusat tanggungjawab dan warga kampus yang memainkan peranan aktif dalam menjayakan pelbagai inisiatif melibatkan kecekapan tenaga, pengurusan air dan sisa, mobiliti hijau serta pemeliharaan kawasan hijau kampus,” katanya. 

Hadir sama menerima anugerah ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMPSA Holdings, Ts. Mohd Fadzil Mohd Idris.

Pengiktirafan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan UMPSA sebagai institusi pendidikan tinggi yang komited dalam menyokong agenda ESG dan pembangunan ekokampus yang mampan untuk generasi akan datang.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri