Skip to main content

UMPSA raikan 25 Penyelidik Top 2% Dunia melalui inisiatif Wall of Fame

PEKAN, 22 Januari 2026 - Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus melangkah ke hadapan dalam usaha meraikan kecemerlangan penyelidikan universiti dengan mewujudkan ruang penghargaan khas yang dikenali sebagai ‘Wall of Fame: UMPSA Top 2% Scientists by Stanford and Elsevier’

Inisiatif ini bagi mengiktiraf dan meraikan pencapaian 25 orang penyelidik UMPSA yang telah tersenarai dalam kelompok 2% penyelidik terbaik dunia, berdasarkan laporan Updated Science-Wide Author Databases of Standardized Citation Indicators yang diterbitkan oleh Stanford University dengan kerjasama Elsevier.

Daripada jumlah tersebut, 15 orang penyelidik UMPSA tersenarai dalam kategori Pencapaian Sepanjang Kerjaya (Career-Long Achievement), manakala 25 orang penyelidik lagi tersenarai dalam kategori Pencapaian Satu Tahun (Single-Year Achievement) yang menilai prestasi penyelidikan berdasarkan impak dan sitasi bagi tahun terkini.

UMPSA raikan 25 Penyelidik Top 2% Dunia melalui inisiatif Wall of Fame

Menurut Ketua Pustakawan UMPSA, Hajah Kamariah Gono, sudut Top 2% Scientists ini diwujudkan bersempena penubuhan Wall of Fame UMPSA sebagai simbol penghargaan dan pengiktirafan tertinggi terhadap pencapaian luar biasa warga akademik universiti.

“Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan kebanggaan institusi, malah diharap menjadi sumber inspirasi kepada pelajar dan penyelidik muda untuk terus menyemarakkan budaya penyelidikan berimpak tinggi dan inovasi bertaraf global selaras dengan aspirasi UMPSA. 

“Pewujudan ruang “Wall of Fame” ini bukan sahaja berfungsi sebagai simbol penghargaan visual, tetapi juga sebagai medium strategik bagi mengiktiraf sumbangan dan pencapaian cemerlang para penyelidik UMPSA,” ujarnya. 

Ruang ‘Wall of Fame’ ini ditempatkan secara strategik di Aras 1, Perpustakaan UMPSA Kampus Pekan, bersebelahan dengan Bilik 24 Jam yang menjadikannya mudah diakses oleh warga kampus dan pengunjung.

Paparan visual menampilkan potret penyelidik yang tersenarai, disertakan dengan maklumat ringkas seperti h-indeks, jumlah penerbitan dan tahun pengiktirafan, serta akses digital melalui kod QR yang membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat lanjut berkaitan profil penyelidik di pangkalan data Scopus.
 
Menurut Profesor Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Ts. Ir. Dr. Kumaran Kadirgama, pewujudan sudut ini mampu menjadi sumber inspirasi kepada pelajar dan penyelidik muda untuk terus berusaha menghasilkan penyelidikan yang berkualiti serta berimpak tinggi di peringkat global.

“Inisiatif ini memperkukuhkan peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu dan hab intelektual yang mempamerkan pencapaian serta identiti penyelidikan universiti,” katanya.

UMPSA raikan 25 Penyelidik Top 2% Dunia melalui inisiatif Wall of FameUMPSA raikan 25 Penyelidik Top 2% Dunia melalui inisiatif Wall of Fame

Manakala Profesor Madya Sudhakar Kumarasamy juga dari FTKMA menyifatkan ruang ‘Wall of Fame; ini sebagai satu inisiatif yang amat bermakna dan berimpak tinggi kepada warga universiti

“Usaha ini bukan sahaja mencerminkan penghargaan universiti terhadap kecemerlangan penyelidikan, malah berupaya menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada setiap pengunjung yang melangkah masuk ke perpustakaan,” jelasnya. 

Semoga inisiatif ini menjadi simbol pengiktirafan terhadap usaha berterusan penyelidik UMPSA dalam menjulang reputasi akademik universiti di peringkat antarabangsa, di samping menjadi pemangkin inspirasi kepada warga UMPSA untuk terus berdaya saing di persada global.

Disediakan Oleh: Rohaida Mohamad Idaris dan Amelia Hasan, Perpustakaan UMPSA

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri