Skip to main content

UMPSA sertai usaha pemuliharaan pantai, tanam 220 pokok Rhu di Pantai Saujana Biru

PEKAN, 30 Jun 2026 – Seramai 120 peserta daripada pelbagai agensi berganding bahu menjayakan Program Pemuliharaan Pesisiran Pantai di Pantai Saujana Biru, Pekan dengan menanam sebanyak 220 pokok Rhu sebagai usaha memperkukuh benteng semula jadi pantai serta memelihara ekosistem pesisir.

Program anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) itu dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta beberapa agensi kerajaan.

Daripada jumlah keseluruhan peserta, 40 orang merupakan warga UMPSA yang terdiri daripada staf pelbagai jabatan, sekali gus membuktikan komitmen universiti dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar.

Turut hadir Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain, Penolong Pemelihara Hutan, Pejabat Pembangunan Hutan Bukit Sekilau, Norhafiezah Abu Samah serta Penolong Pemelihara Hutan, Pejabat Hutan Daerah Kuantan/Pekan/Maran, Sharifah Nur Ain Mahiyuddin.

Dr. Suhaidah Hussain berkata, UMPSA merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang atas jalinan kerjasama strategik dalam menjayakan program yang memberi manfaat besar kepada pemuliharaan alam sekitar.

“UMPSA sentiasa menyokong usaha yang digerakkan oleh jabatan dan agensi kerajaan dalam memelihara alam sekitar.

“Program seperti ini bukan sahaja menyemai rasa cinta terhadap alam semula jadi, malah menjadi platform terbaik untuk mengukuhkan jaringan kerjasama antara universiti dengan rakan-rakan strategik," ujarnya. 

Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas komitmen 40 warga UMPSA yang hadir menyertai program berkenaan dan berharap lebih ramai warga universiti akan terus menyokong inisiatif kelestarian pada masa hadapan.

Menurut salah seorang sukarelawan, Pembantu Pustakawan, Perpustakaan UMPSA, Norsaini Abdul Samat, beliau berasa amat teruja kerana berpeluang menyertai program yang memberi impak besar terhadap pemuliharaan alam sekitar.

“Pengalaman menanam pokok Rhu bersama peserta daripada pelbagai agensi bukan sahaja menyeronokkan, malah memberikan kesedaran tentang pentingnya setiap individu memainkan peranan dalam memelihara ekosistem pesisir pantai.

“Program seperti ini membuka peluang kepada kami untuk menyumbang secara langsung kepada kelestarian alam sekitar. 

“Walaupun sumbangan kami mungkin kecil, saya percaya setiap pokok yang ditanam hari ini akan menjadi benteng semula jadi yang memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya. 

Tambah beliau lagi, program sebegini turut mengeratkan hubungan silaturahim antara warga UMPSA dengan agensi-agensi lain dalam semangat bekerjasama demi kelestarian bumi. 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri