Skip to main content

UMPSA terima 2 kereta elektrik (EV) sumbangan Fieldman EV Sdn. Bhd.

PEKAN, 4 Oktober 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terima sumbangan dua buah kenderaan elektrik Changan EADO 460 daripada Fieldman EV Sdn. Bhd. yang akan digunakan untuk tujuan penyelidikan dan pengajaran dalam bidang teknologi EV.

Majlis menyaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar yang juga Pengerusi Yayasan UMPSA menerima replika kunci kereta daripada Pengarah Urusan Fieldman EV Sdn. Bhd., Razmi Shah Othman.

Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, Ketua Pegawai Eksekutif  PIBB, Tuan Syamsul Azuan Ahmad Fauzi, Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, Datuk Sri Darwis Abdul Razak, Dato’ Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim, Datin Nur Sharmila Shaheen dan Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim.

Turut sama hadir Pengarah Pusat TVET Termaju, Profesor Madya Datuk Ts. Dr. Mohd Shahrir Mohd Sani, Penolong Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Mohmad Kahar dan Ketua Eksekutif Yayasan UMPSA, Mohd Jamil Mohd Ja’afar.

UMPSA terima 2 kereta elektrik (EV) sumbangan Fieldman EV Sdn. Bhd.

Menurut Dato’ Seri Abdul Razak, kenderaan ini juga mampu memberikan impak positif yang besar kepada pengetahuan baharu dalam teknologi kenderaan elektrik, malah turut melambangkan komitmen tinggi Fieldman EV Sdn. Bhd. dalam menyokong Agenda Pendidikan Tinggi serta pembangunan mahasiswa.

“UMPSA amat menghargai keprihatinan dan sokongan yang diberikan oleh pihak Fieldman EV Sdn. Bhd., yang menjadi contoh teladan terbaik kepada pelbagai pihak dalam menjayakan usaha membangunkan modal insan yang berilmu, bertanggungjawab dan berdaya saing,” ujarnya. 

Sementara itu, Razmi berkata, pihaknya mengharapkan sumbangan ini memberi persediaan buat mahasiswa untuk mendalami bidang EV pada masa depan.

“Selain itu, sumbangan ini juga mengambil kira kepakaran yang UMPSA miliki dalam bidang berkaitan Automotif dan TVET Termaju.

“Kolaborasi dan sokongan rakan industri ini juga pastinya dapat memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi UMPSA sebagai hab TVET Termaju di rantau ASEAN pada masa akan datang,” katanya. 

Disediakan Oleh: Wallid Wahidi Hamzah, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri