UMPSA terima kunjungan hormat daripada delegasi Proton, Geely dan AHTV Alliance
PEKAN, 21 November 2024 – Baru-baru ini, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima kunjungan hormat daripada delegasi Proton, Geely Holding Group dan AHTV Alliance.
Majlis yang diadakan di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak itu turut dimeriahkan dengan sesi syarahan industri yang bertujuan untuk merapatkan hubungan di antara institusi pengajian tinggi dengan industri automotif.
Delegasi telah diwakili oleh Naib Presiden Kanan Geely Holding Group dan Ketua Pegawai Eksekutif Geely Holdings (Malaysia), Dr. Wei Mei, Naib Presiden Sumber Manusia Proton Holdings, Amran Mohd Tomin, Ketua Program Bakat AHTV Alliance, Dr. Lu Xi dan Ketua Pengurusan Bakat Proton Holdings, Shafinaz Jamaludin.
Majlis turut dihadiri oleh Penolong Naib Canselor Pusat Hubungan Industri-Universiti UMPSA, Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim bersama-sama pengarah, dekan dan pensyarah UMPSA.
Seramai 25 orang pelajar UMPSA telah memanfaatkan peluang dengan menyertai majlis yang memberikan mereka pendedahan langsung terhadap pandangan pemimpin industri mengenai kemahiran yang diperlukan dalam sektor automotif pada masa hadapan.
Majlis ini juga turut memberi peluang kepada UMPSA untuk menonjolkan peranan pentingnya dalam penyelidikan dan pembangunan industri automotif.
Para pelajar juga mendapat manfaat langsung melalui pendedahan kepada wacana mendalam oleh pakar industri.
Menurut Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim dalam ucaptamanya, kerjasama ini membuka ruang besar untuk inovasi dan pembangunan modal insan serta menjadikan UMPSA sebagai hab utama dalam melahirkan bakat cemerlang untuk masa depan automotive.
Sesi syarahan bermula dengan pembentangan daripada wakil UMPSA bertajuk ‘Malaysia Ministry of Higher Education Research Industry Infused Incubator (MRI3) for Automotive Sector: A Triple Helix Collaborative Model for Talent Development.’
Ia menggariskan pendekatan kolaboratif di antara universiti, industri dengan kerajaan dalam membentuk ekosistem pembangunan bakat yang kukuh untuk sektor automotif negara.
Di samping itu juga, turut diadakan syarahan daripada pihak industri AHTV Alliance yang bertajuk ‘Automotive High-Tech Valley (AHTV) to Up-Skill the Malaysian Workforce for Global Talent Competitiveness.’
Dalam sesi syarahan ini, pihak industri menekankan pentingnya AHTV sebagai platform untuk meningkatkan daya saing tenaga kerja Malaysia pada peringkat global melalui pembangunan kemahiran canggih.
Majlis diakhiri dengan lawatan ke makmal Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) UMPSA yang menonjolkan kemudahan dan inovasi terkini dalam teknologi automotif.
Inisiatif ini mengukuhkan lagi hubungan strategik di antara UMPSA dan pemain utama dalam sektor automotif sekali gus meningkatkan daya saing graduan dalam pasaran global.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 231 views