UMPSA terima surat kerjasama strategik dengan Kementerian Perladangan dan Komoditi perkasa sektor Agrikomoditi
BANGI, 7 Mei 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima surat kerjasama strategik dengan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sempena Majlis Peluncuran Skuad Agrikomoditi baru-baru ini sebagai tanda komitmen dalam memperkasa sektor agrikomoditi sebagai pemacu utama pembangunan negara.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alis hadir menerima surat lantikan yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri Menteri KPK , YB Dato’ Seri Dr. Noraini Ahmad di Dewan Sawit Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Bangi.
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, inisiatif yang melibatkan semua universiti awam (UA) ini bertujuan mengubah persepsi sektor agrikomoditi daripada imej 3D (dangerous, dirty, difficult) kepada pendekatan 3S (Skills, Sustainable, Safety) melalui penglibatan belia.

“Malah inisiatif ini mampu memperkasakan golongan belia sebagai tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk kelangsungan ekonomi negara meliputi enam komoditi utama iaitu sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, kenaf, biojisim dan biobahan api.
“Selain itu, sektor agrikomoditi merupakan penyumbang penting kepada eksport dan pertumbuhan ekonomi negara, di samping memacu pembangunan luar bandar, peningkatan pendapatan pekebun kecil serta kesejahteraan komuniti.
“Inisiatif yang diperkenalkan ini akan memberi peluang pelajar menimba pengalaman dan nilai tambah memandangkan sektor ini juga merangkumi rantaian nilai luas termasuk inovasi, produk bernilai tambah dan pembangunan ekonomi hijau,” ujarnya.
Program Skuad Agrikomoditi yang julung kali diperkenalkan ini adalah sebagai inisiatif strategik memperkukuh advokasi sektor yang berfungsi sebagai platform kesukarelawanan dan penyampaian maklumat kepada masyarakat melalui pendekatan rakan sebaya, pemerkasaan ilmu serta penglibatan aktif dalam aktiviti komuniti.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 43 views
Reports by: