UMPSA terokai kerjasama dalam sesi libat urus Kerajaan Negeri Pahang bersama kedutaan negara Arab
KUANTAN, 4 Julai 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) turut serta dalam sesi libat urus bersama Kedutaan negara-negara Arab anjuran Kerajaan Negeri Pahang dalam memperluas jaringan dalam sektor pelaburan dan pelancongan di negeri ini.
Hadir dalam majlis, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhotmat Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib yang menyampaikan taklimat dan membentangkan peluang pelaburan di Negeri Pahang dalam program yang berlangsung di Hotel Zenith Kuantan baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Yang Berhormat Leong Yu Man dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pembangunan), Yang Hormat Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr Yatimah Alias.

Menurut Profesr Ts. Dr. Yatimah, pihaknya menghargai peluang kerjasama ini dan berterima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Pahang atas kepercayaan bagi UMPSA mengetengahkan penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan penyelidik di universiti ini.
“Antaranya, kejayaan penyelidikan UMPSA bagi produk Prebiotic Plant Nutrition yang berjaya meningkatkan penghasilan buah-buahan dan sayur-sayuran organik yang mampan, konsisten dan berkualiti yang bukan sahaja dilaksanakan di Malaysia, tetapi juga di negara Qatar, Oman dan Kuwait,” ujarnya.
Lain-lain, produk BeeCrobes iaitu suplemen probiotik pertama berasaskan madu kelulut tempatan yang dibangunkan melalui pendekatan bioteknologi moden, Smart SSB-Synbiotic Soil Bed, I-ECOBATOR, Smart Agriculture Solutions dan lain-lain.
Pertemuan itu turut memberi peluang delegasi Arab mendapat informasi tentang kajian UMPSA berkaitan E-Anfun (AI Electronic Nose), OUDino bagi industri gaharu dan berkaitan bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi kenderaan elektrik (EV) lebih lestari seperti Lampu EV Cas dan lain-lain.
Profesor Ts. Dr Yatimah mengharapkan agar kolaborasi ini bakal memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan memberi impak terhadap penyelidikan dan inovasi UMPSA.
Hadir sama dalam program, Penolong Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor ChM Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim serta Pengarah Pusat Perundingan dan Pengkomersialan UMPSA, Profesor Madya Dr. Saiful Anwar Che Ghani.
Turut dibincangkan dalam pertemuan ini berkaitan industri angkasa, nadir bumi dan mineral kritikal, pusat data (data center), mobiliti termaju (advanced mobility) dan lain-lain yang bakal menyumbang terhadap pembangunan negara khususnya di negeri Pahang.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 40 views
Reports by: