UMPSA tuan rumah Asian University Table Tennis Championship 2026
PEKAN, 4 September 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bakal menjadi tuan rumah Asian University Table Tennis Championship 2026 yang akan berlangsung dari 5 hingga 11 September 2026 bertempat di Kompleks Sukan UMPSA, Paya Besar.
Kejohanan berprestij peringkat Asia ini menghimpunkan seramai 104 peserta daripada 10 negara, iaitu Brunei Darussalam, Chinese Taipei, Hong Kong, Mongolia, Nepal, China, Korea Selatan, Australia, Malaysia, dan Kuwait.
Penganjuran Asian University Table Tennis Championship 2026 sebelum ini menyaksikan kejohanan berlangsung di Hong Kong pada 2010 dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2013.
Penganjuran kejohanan ini mencerminkan keupayaan UMPSA dalam mengendalikan acara sukan bertaraf antarabangsa, selain menjadi platform kepada atlet universiti dari pelbagai negara untuk berentap dalam suasana persaingan sihat serta memperkukuh jaringan melalui bidang kesukanan.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, penganjuran Asian University Table Tennis Championship 2026 merupakan satu pengiktirafan terhadap keupayaan UMPSA dalam menyediakan kemudahan, prasarana dan ekosistem yang menyokong penganjuran kejohanan sukan bertaraf antarabangsa.
“Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja memperlihatkan keupayaan UMPSA sebagai institusi pengajian tinggi yang mampu mengendalikan acara pada peringkat antarabangsa, malah memberikan pengalaman berharga kepada warga universiti untuk berinteraksi dengan atlet dan delegasi dari pelbagai negara.
“Pada masa yang sama, kejohanan ini menjadi platform untuk memperkukuh jaringan strategik antara institusi pengajian tinggi antarabangsa serta memperkenalkan UMPSA sebagai destinasi penganjuran acara sukan universiti pada peringkat global,” katanya.
Majlis pembukaan kejohanan dijadualkan berlangsung pada 6 September 2026 yang akan menampilkan perbarisan kontinjen, persembahan sambutan, lafaz ikrar atlet dan persembahan kebudayaan sebagai sebahagian daripada pengisian majlis pembukaan.
Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah akan menyampaikan ucapan perasmian dan membuat deklarasi pembukaan kejohanan.
Hadir sama ialah Setiausaha Agung ASEAN University Sports Council, Chiang Chai Liang dan Bendahari Asian University Sports Federation (AUSF), Profesor Ha Woong Yong.
Majlis penutupan Asian University Table Tennis Championship 2026 pula dijadualkan berlangsung pada 9 September 2026 dan bakal dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, sekali gus melengkapkan penganjuran kejohanan berprestij yang menghimpunkan komuniti sukan universiti dari rantau Asia dan antarabangsa.
Kejohanan ini turut membuka peluang kepada warga UMPSA dan masyarakat setempat untuk menyaksikan aksi atlet universiti dari pelbagai negara dalam pertandingan tenis meja pada peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir ke Kompleks Sukan UMPSA, Paya Besar bagi memberikan sokongan kepada para atlet dan memeriahkan kejohanan yang menghimpunkan komuniti sukan universiti dari dalam dan luar negara.
Penganjuran kejohanan ini sekali gus menjadi wadah untuk memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi di peringkat antarabangsa serta memperkenalkan UMPSA sebagai salah satu destinasi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat (PKK)
- 116 views