Warga UMP perlu contohi kepimpinan Nabi Muhammad SAW dalam pengurusan organisasi
PEKAN, 11 November 2022 – Warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) diseru mencontohi kepimpinan dan keperibadian Rasulullah SAW dalam pengurusan organisasi dan keluarga.
Menurut tokoh agamawan yang tidak asing lagi di dalam dunia dakwah di Malaysia, Dato’ Badli Shah Alauddin dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1444H/2022M Peringkat UMP baru-baru ini, jadikan kehebatan dan ketinggian akhlak Rasulullah SAW yang berjaya dengan hanya tempoh 23 tahun dalam konteks pengurusan organisasi dan mengubah bangsa.
Beliau yang juga merupakan Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan berkata, mungkin kita mempunyai jutaan rujukan, pakar atau pemimpin yang menjadi idola tetapi kita tidak akan dapat menandingi keunggulan keperibadian Rasulullah SAW di seluruh alam.
“Sebagai pemimpin yang baik perlu elak sikap angkuh dan sombong.
“Kita lahir di bumi ciptaan Allah SWT untuk menjadi khalifah iaitu pemimpin bukan sahaja apabila dilantik tetapi juga pemimpin kepada diri, keluarga, masyarakat dan juga negara.
“Maka, kita wajib mengetahui dan memiliki ciri-ciri pemimpin yang baik dan berwibawa,” ujarnya yang hadir menyampaikan ceramah di hadapan lebih 500 staf UMP dengan tajuk ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’.
Manakala Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli pula berkata, sebagai umat Nabi Muhammad SAW, wajarlah kita mengenang perjuangan Baginda dalam menyebarkan dakwah Islam ke seluruh alam.
“Hasil perjuangan tersebut yang disertai dengan pengorbanan sahabat-sahabat Baginda, maka kita dapat mengecapi nikmat iman dan Islam pada hari ini.
“Penganjuran sambutan Maulidur Rasul ini perlulah dilihat lebih dari sekadar satu upacara tahunan semata-mata.
“Perhimpunan ini merupakan manifestasi kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW,” ujarnya.
Tambahnya lagi, bersandarkan konsep ‘Keluarga Malaysia’ ini, negara akan dipacu untuk keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi serta seterusnya menjamin kesejahteraan setiap penduduk di negara bertuah ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1444H/2022M Peringkat UMP.
Beliau turut mengetuai perarakan yang bermula pada jam 8.30 pagi itu yang bermula di Dataran Pusat Aktiviti Pelajar (PAP) menuju ke Dewan Serbaguna UMP Pekan sejauh sejauh dua kilometer sambil berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.
Sebanyak 28 kontinjen mewakili jabatan dan fakulti termasuk daripada anak syarikat UMP iaitu UMP Holdings dan UMP Advanced mengambil bahagian dalam perarakan ini dengan penuh warna-warni.
Hadir sama Pendaftar/ Ketua Pegawai Operasi, Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Ketua Perpustakaan, Azman Abdul Rahim, Penasihat Undang-undang, Marlina Mamat dan Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Profesor Madya Dr. Rashidi Abbas.
Program menyaksikan pemenang bagi pertandingan perarakan dimenangi Jabatan Bendahari, manakala tempat kedua dan ketiga pula telah dimenangi oleh Jabatan Pendaftar dan Perpustakaan.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.
- 104 views