WORQ kemudahan ruang pejabat syarikat pemula untuk manfaat staf UMPSA
KUALA LUMPUR, 21 November 2024 – ‘Co-working space’ atau ruang kongsi kerja kini menjadi semakin popular dan berkembang dengan pesatnya.
Konsepnya lebih kurang sama seperti pejabat konvensional, tetapi yang membezakannya adalah budaya kerja dan penyediaan kemudahan yang pelbagai serta lebih fleksibel.
Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI) dengan kerjasama pihak UMPSA Advanced kini mempunyai ruang pejabat di WORQ Sunway Putra Mall yang telahpun beroperasi sejak 1 Jun 2024 yang lalu.
Menurut Pengarah ICC, Profesor Dr. Ahmad Tarmizi Haron, dengan adanya kemudahan fasiliti ICC ini di Kuala Lumpur, ia memberi peluang para inkubator syarikat pemula (Start-Up) dan aktiviti pengkomersialan dijalankan di sini termasuklah yang boleh digunakan untuk pertemuan profesional dan sesi kolaborasi stategik bersama industri dan agensi.
“Kemudahan-kemudahan yang disediakan di WORQ termasuklah Bilik Start-Up UMPSA (24 Jam), bilik mesyuarat untuk perbincangan dan mesyuarat formal, pantry yang dilengkapi dengan makanan dan minuman, ruang khas untuk aktiviti seperti perjumpaan bersama pelanggan dan industri serta ruang acara dan pejabat yang lebih fleksibel,” katanya.
Pada masa ini, UMPSA mempunyai empat buah syarikat pemula di bawahnya yang telah ditubuhkan bagi tujuan pengkomersialan produk dan kepakaran staf akademik iaitu The Microbiome Lab (TML), Edgify Solutions Sdn. Bhd., Laras Mekanika Sdn. Bhd. dan Pretech Global Sdn. Bhd.
Malah, kemudahan-kemudahan ini juga turut memberi peluang buat para penyelidik dan rakan kolaborasi untuk bertemu dan mengadakan rundingan.
Sementara itu, menurut Pengasas The Microbiome Lab (TML), Ts. Dr. Hajar Fauzan Ahmad yang merupakan pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), kemudahan yang ada di WORQ membantu penyelidik atau pensyarah untuk tidak lagi bersusah payah mencari ruang atau tempat untuk mengadakan mesyuarat, pertemuan dan perbincangan dengan pihak berkepentingan dengan suasana kerja di co-working space yang lebih santai berbanding dengan ruang pejabat konvensional.
“Sebagai sebuah syarikat pemula, syarikat saya kini menerajui pengesanan genom mikrob dan analisis fungsi menggunakan teknologi penjujukan generasi baharu (NGS).
“TML menggabungkan penjujukan bacaan pendek (Illumina) yang berketepatan tinggi dengan penjujukan bacaan panjang (Nanopore) untuk analisis struktur genom kompleks.
“Di peringkat antarabangsa, TML bekerjasama dengan Yayasan KWEF, Universiti Shiga dan syarikat seperti futureNRG, Kualiti Alam dan RadiCare dalam pengurusan sisa klinikal serta Wipro Winnox, FGV dan B-crobes dalam penemuan probiotik,” ujarnya.
Manakala di dalam negara pula katanya, TML bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kajian jangkitan mikroba jarang berlaku serta rintangan antimikrob (AMR) di samping penyelidikan mikrobiom udara dalaman bersama NIOSH.
“Di bidang akademik, TML turut berkolaborasi kepakaran dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), UMPSA, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk menganalisis mikrobiom usus dalam pengesanan kanser, menjana inovasi yang memacu kemajuan kesihatan dan persekitaran,” katanya.
Selain itu, Edgify Solutions Sdn. Bhd. pula merupakan sebuah syarikat pemula yang diasaskan oleh pensyarah Fakulti Komputeran (FK), Ts. Dr. Syafiq Fauzi Kamarulzaman dalam menerajui pembangunan sistem pintar berasaskan teknologi komputeran sempadan (Edge Computing) bagi integrasi kepintaran dalam sistem bandar pintar, pertanian pintar dan pembuatan pintar.
Khidmat yang ditawarkan termasuklah perundingan, pembangunan sistem dan sistem analisis yang melibatkan kepintaran buatan dan Internet Pelbagai Benda (IoT).
Syarikat ini turut bekerjasama dengan beberapa syarikat tempatan lain bagi menyelesaikan krisis gajah liar di negeri Johor bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, serta naik taraf sistem pembungkusan produk bersama Kaneka (M) Bhd.
Manakala Laras Mekanika Sdn. Bhd., yang diasaskan oleh pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Madya Ir. Dr. Fadhlur Rahman Mohd. Romlay merupakan sebuah syarikat pemula UMPSA dalam bidang reka bentuk, pemodelan, dan analisis peralatan kejuruteraan, dengan fokus kepada peralatan ultrasonik canggih, sistem pelan digital dan kawalan mekanik.
Syarikat ini berkepakaran dalam penyelesaian integrasi sistem, automasi, menyediakan penyelesaian menyeluruh bagi meningkatkan prestasi dan kebolehpercayaan teknologi.
Dengan menggunakan Analisis Unsur Terhingga (FEA) sebagai kekuatan teras, syarikat ini menilai dan mengoptimumkan integriti struktur dan sistem dalam memenuhi spesifikasi standard industri.
Komitmen terhadap kejuruteraan inovatif dan analisis yang tepat menjadikan syarikat ini rakan penting bagi pelanggan yang ingin memajukan operasi mereka dalam sektor minyak dan gas, automotif dan industri kejuruteraan yang dinamik saban hari.
Selain itu, Pretech Global Sdn. Bhd. pula adalah sebuah syarikat permula berinovasi yang diasaskan oleh Dr. Noormazlinah Ahmad daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) dengan fokus utama kepada pertanian mampan, bio-produk dan kitaran sisa menggunakan teknologi lestari hijau.
Produk utama syarikat ini adalah baja cecair organik prebiotik yang direka untuk meningkatkan kesihatan tanah dan pertumbuhan tanaman dengan merangsang mikroorganisma bermanfaat melalui proses enzimatik semula jadi.
Pretech Global telah bekerjasama bersama beberapa syarikat dan institusi antarabangsa yang secara tidak langsung telah menaikkan nama dan produk syarikat di mata dunia antaranya adalah Agrico di Qatar, Indonesia, dan beberapa wakil industri lain di Kuwait dan Oman.
Malahan Pretech Global juga turut giat bekerjasama dengan syarikat dan industri dalam negara seperti LPNM, NAFAS, LKPP Corporation Sdn. Bhd., Peat Organic Sdn. Bhd. dan HICOM dalam usaha membantu memartabatkan ekonomi setempat dari teknologi lestari hijau.
Pihak ICC juga mempelawa mana-mana pusat tanggungjawab (PTJ) atau staf akademik UMPSA yang berhasrat untuk menggunakan fasiliti boleh menghubungi pihak ICC bagi menyelaras urusan berkaitan keperluan ini dengan berhubung Cik Hardyana Mohd Saman menerusi e-mel hardyanam@umpsa.edu.my ataupun syamimmazlan@umpsa.edu.my.
Disediakan Oleh: Anuar Abdul Aziz, Pusat Komunikasi Korporat
- 252 views