Skip to main content

Mobiliti Akademik (Tidak Berkredit) ke Universitas Brawijaya, Indonesia: Memperkasa Kejuruteraan, Komuniti dan Kefahaman Rentas Budaya

SURABAYA, 27 November 2025 – Seramai 14 orang pelajar pascasiswazah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai Program Mobiliti Akademik Tidak Berkredit di Universitas Brawijaya (UB), Indonesia pada 23 hingga 27 November 2025.

Program ini dilaksanakan atas jemputan rasmi Fakultas Teknik, Universitas Brawijaya dan disertai pensyarah FTKKP, Ts. Dr. Khairool Azizul Mohammad dari FTKKP dan Pensyarah FTKMA, Ir. Ts. Dr. Muhamad Zuhairi Sulaiman. 

Menurut Ts. Dr. Khairool Azizul, inisiatif ini bertujuan memperkukuh pendedahan akademik antarabangsa, menggalakkan kolaborasi institusi dan membina kefahaman holistik pelajar terhadap kejuruteraan dan masyarakat serantau.

Mobiliti Akademik

“Program dimulakan dengan Majlis Perasmian yang dihoskan oleh Dekan Fakultas Teknik, Universitas Brawijaya, Profesor Ir. Hadi Suyono. 

“Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan kerjasama akademik rentas negara dalam melahirkan graduan berdaya saing global serta peranan universiti dalam menyumbang kepada pembangunan lestari dan masyarakat.

“Sesi akademik diteruskan dengan lawatan rasmi ke Fakulti Kejuruteraan Universitas Brawijaya, melibatkan pendedahan kepada kemudahan makmal dan aktiviti penyelidikan di bidang Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Kimia,” katanya. 

Tambahnya, lawatan itu memberi peluang kepada pelajar untuk memahami struktur pendidikan tinggi Indonesia serta membandingkan pendekatan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan dengan sistem di Malaysia.

“Dimensi pembelajaran berasaskan komuniti menjadi antara tunjang utama program ini. 

“Dalam Program Khidmat Masyarakat di Punden Rejoso, Kota Batu, kami terlibat secara langsung dalam aktiviti pembersihan kawasan mata air yang merupakan sumber utama pengairan dan keperluan harian masyarakat setempat. 

“Aktiviti ini bukan sahaja memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, malah menanam nilai tanggungjawab sosial dan semangat gotong-royong dalam kalangan pelajar,” katanya. 

Selain itu, beliau menambah, mereka turut menyertai aktiviti penanaman pokok bersama komuniti tempatan, yang melambangkan komitmen bersama terhadap pemeliharaan alam dan kesejahteraan jangka panjang masyarakat luar bandar.

“Pengayaan budaya turut diberikan penekanan melalui Cultural Night di Kayutangan Heritage iaitu para pelajar berpeluang meneroka seni bina kolonial, sejarah bandar Malang, serta kehidupan komuniti tempatan yang berwarna-warni. 

“Lawatan ke Muzium Panji pula memperkenalkan pelajar kepada warisan budaya Jawa Timur melalui upacara tradisional, seni lukisan topeng, dan bengkel muzik angklung yang mencerminkan identiti budaya setempat.

“Program turut diserikan dengan lawatan ke lokasi bersejarah dan keagamaan, termasuk Masjid Agung Al-Akbar Surabaya yang memberikan perspektif tentang keharmonian budaya dan kepelbagaian seni bina Islam di Indonesia,” katanya. 

Secara keseluruhan, Program Mobiliti Akademik Tidak Berkredit ke Universitas Brawijaya ini telah memberikan impak menyeluruh dari aspek akademik, sosial, kebudayaan dan kesedaran komuniti. 

Pengalaman ini bukan sahaja memperkaya pengetahuan dan kemahiran pelajar pascasiswazah, malah membentuk kematangan, empati serta keupayaan berfikir secara global.

Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan sebagai inisiatif strategik berimpak tinggi dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa UMPSA serta melahirkan graduan kejuruteraan yang berdaya saing, beretika dan prihatin terhadap kelestarian masyarakat sejagat.

Disediakan Oleh: Nur Nadiah Che Aziz, Ts Dr Khairool Azizul Mohammad, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP).

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri