UMPSA bantu pendidik awal kanak-kanak kuasai bahasa Inggeris
GAMBANG, 28 September 2024 - Seramai 47 orang pendidik daripada pelbagai taska dan tadika sekitar Kuantan dan Temerloh menyertai program Little Learners, Big Future: Practical Instructional Approaches for Teaching English to Young Learners anjuran Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di UMPSA Kampus Gambang baru-baru ini.
Menurut Pensyarah PBM yang juga merangkap pengarah program dan jurulatih Persatuan Pendidik Awal Kanak-kanak Pahang (PPAKK), Dr. Ezihaslinda Ngah, program ini adalah melalui Geran Pemindahan Ilmu Kepada Komuniti yang disalurkan melalui Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) UMPSA.
“Ia juga merupakan kesinambungan daripada Program Pemindahan Ilmu KTP Kindy yang diilhamkan oleh Profesor Madya Dr. Noor Raha Mohd Radzuan dan Dr. Wan Jumani Fauzi sejak dari tahun 2015.
“Objektif program adalah selaras dengan matlamat UMPSA iaitu untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan komuniti dan menyokong pertumbuhan pendidikan, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari 4 (SDG 4): Pendidikan Berkualiti.
“Malah, program ini juga turut menyokong usaha global untuk memastikan pendidikan yang inklusif, saksama, dan berkualiti bagi semua lapisan masyarakat, sekali gus menyumbang kepada peningkatan akses kepada peluang pembelajaran sepanjang hayat,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, fokus utama bengkel pula adalah untuk memperkenalkan idea-idea baharu dalam pedagogi kepada pendidik awal kanak-kanak.
“Selain itu, program turut memberi penekanan kepada penyediaan bahan pengajaran yang diperlukan oleh guru-guru untuk merangsang pembelajaran yang interaktif dan menyeluruh.
“Ini adalah sebahagian dari langkah untuk menarik minat kanak-kanak dalam pembelajaran bahasa Inggeris dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris serta memperkayakan perbendaharaan kata mereka,” ujarnya.
Program turut dibantu oleh beberapa orang Pensyarah PBM iaitu Profesor Madya Dr. Noor Raha Mohd Radzuan, Dr. Wan Jumani Fauzi, Alia Najaa Md Nor, Aisyah Khaleeda Rosli, dan Noor Azlinda Zainal Abidin, serta pelajar sarjana UMPSA, Ishafira yang dilantik di bawah Skim Pelajar Bekerja dalam geran komuniti.
Tambah Dr. Ezihaslinda lagi, antara sorotan program ini adalah pembelajaran interaktif yang menekankan penggunaan kaedah interaktif untuk melibatkan kanak-kanak dalam proses pembelajaran.
“Pendekatan ini penting untuk membantu mereka memahami konsep bahasa dengan lebih berkesan sambil mengekalkan minat dan keterujaan mereka terhadap pembelajaran.
“Selain itu, ia juga turut menekankan sokongan kepada pendidik iaitu dengan menyediakan manual pengajaran yang komprehensif untuk membantu guru-guru mengintegrasikan bahasa Inggeris ke dalam aktiviti harian mereka dengan lebih mudah dan efektif.
“Program ini juga mencerminkan kejayaan kerjasama di antara akademik dengan komuniti, sekali gus memperkukuhkan peranan perkongsian pendidikan dalam meningkatkan hasil pembelajaran yang berimpak tinggi,” katanya.
Manakala, menurut Naib Pengerusi PPAKK, Chan Yin Yin, program ini sangat baik kerana lengkap dengan bahan penceritaan yang terperinci dan bimbingan jurulatih dalam perbincangan kumpulan yang kecil.
“Permainan interaktif menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan.
“Latihan yang diberikan juga memberi manfaat kepada para guru dan ia patut diteruskan bagi memperkasakan lebih ramai pendidik,” katanya.
Manakala peserta terbaik program, Siti Zubaidah Salehudin berpendapat bahawa program yang disertainya ini amat membantu dan memberi banyak manfaat kepada guru-guru tadika sepertinya.
“Bahasa Inggeris sangat penting terutamanya pada peringkat awal pendidikan kanak-kanak dan dapat berkongsi pengalaman dengan guru- guru lain dan saya berasa lebih yakin untuk berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris.
“Dengan adanya program sebegini, ia memberi satu nilai tambah kepada tenaga pengajar seperti saya dan para peserta yang lain.
“Pihak penganjur dan para penceramah khususnya telah memberikan satu perkongsian yang amat baik dan bermakna kepada para peserta,” katanya.
Jelasnya lagi, aktiviti seperti pengenalan kepada haiwan telah diterjemahkan dalam bentuk permainan dan semestinya akan menjadikan kanak-kanak lebih mudah mengingati serta lebih seronok untuk belajar.
Salah seorang peserta yang merupakan satu-satunya peserta lelaki, Ahmad Nasharudin Al-Bakri turut menyatakan kegembiraan dan terima kasih atas penganjuran bengkel tersebut.
“Banyak inovasi menarik diperkenalkan yang membuka minda para pendidik untuk berfikir secara kreatif dan menghasilkan idea-idea yang luar biasa.
“Saya juga kagum dengan kepakaran dan kepimpinan para jurulatih yang berjaya membimbing kami melalui projek yang mencabar.
“Penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran sangat berkesan, dan hala tuju serta sokongan daripada pihak penganjur jelas membantu kami pendidik kekal di landasan yang betul,” katanya.
Program ini diakhiri dengan maklum balas positif daripada para peserta yang rata-rata yakin untuk menggunakan teknik baharu di dalam bilik darjah bagi mempertingkatkan lagi penglibatan kanak-kanak dalam pembelajaran bahasa Inggeris.
Diharapkan agar program akan terus dilaksanakan dengan memberi manfaat kepada kumpulan yang lebih besar pada masa akan datang.
Disediakan oleh: Noor Azlinda Zainal Abidin, Dr. Ezihaslinda Ngah, Professor Madya Dr. Noor Raha Mohd Radzuan Dan Dr. Wan Jumani Fauzi, Pusat Bahasa Moden
- 143 views