Skip to main content

UMPSA memperkukuh tadbir urus peperiksaan melalui pendekatan baharu berteraskan integriti akademik

GAMBANG, 12 Februari 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus komited memperkukuh mutu dan integriti akademik melalui pelaksanaan pendekatan baharu dalam pengurusan peperiksaan bagi semester ini. 

Pendekatan tersebut dilaksanakan oleh Pusat Peperiksaan dan Pengijazahan (PPP) di bawah Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan peperiksaan dan memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) selaras dengan Dasar Akademik Universiti serta prinsip tadbir urus baik institusi pengajian tinggi, di bawah pemantauan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato' Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.

Pendekatan utama yang diperkenalkan bermula pada Peperiksaan Akhir Semester II Sesi Akademik 2024/2025 ialah penubuhan Jawatankuasa Pelaksana Peperiksaan Akhir UMPSA. Jawatankuasa ini diilhamkan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan dilaksanakan oleh PPP bagi memastikan peperiksaan akhir universiti dilaksanakan sebagai salah satu majlis utama universiti, seumpama penganjuran Majlis Konvokesyen yang turut mempunyai jawatankuasa pelaksana tersendiri. 

Keahlian jawatankuasa ini merentasi Pusat Tanggungjawab yang dilantik dan mempunyai fungsi khusus bagi menyokong pelaksanaan peperiksaan akhir universiti secara berkesan dan sistematik.

Selaras dengan perkembangan semasa, PPP turut memperkenalkan beberapa mekanisme baharu dalam pelaksanaan peperiksaan akhir, termasuk aspek pemantauan, penyebaran maklumat secara menyeluruh serta kaedah pencegahan kecurangan akademik, bagi menjamin ketelusan dan kualiti akademik pelajar.

Penglibatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam perbincangan dan penyebaran peraturan peperiksaan turut dilaksanakan secara proaktif melalui sesi perkongsian maklumat menggunakan poster berkaitan peperiksaan dan turut diadakan perbincangan meja bulat bersama Exco Akademik, Muhammad Azrin Amir Ahmad Rosli. 

Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan peraturan peperiksaan dapat difahami dengan jelas dan disampaikan secara berkesan kepada seluruh warga pelajar.

Selain itu, mekanisme pemeriksaan keselamatan turut diperkenalkan melalui penggunaan peralatan Super Scanner Metal Detector bagi menyemak dan memantau sebarang alat elektronik atau bahan terlarang daripada dibawa masuk ke dewan peperiksaan. 

Pelaksanaan langkah ini dijalankan dengan kerjasama Pusat Keselamatan yang menempatkan sejumlah anggota bagi membantu kelancaran proses pemeriksaan. 

Sehingga artikel ini ditulis, pelajar telah memberikan kerjasama yang amat baik terhadap pelaksanaan mekanisme tersebut. 
 
Menurut Penolong Pegawai Tadbir, JHEAA, Normadinah Kamarudin, pada peringkat awal terdapat kebimbangan sama ada pelaksanaan inisiatif ini memerlukan tempoh penyesuaian yang panjang. 

“Namun, selepas beberapa hari pelaksanaan, pendekatan tersebut didapati memberikan impak yang positif. 

“Penambahbaikan ini dirangka bagi memastikan pengurusan peperiksaan dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, telus dan selaras dengan amalan terbaik tadbir urus akademik universiti,” ujarnya. 
  
Sebagai sokongan kepada kesejahteraan pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) turut menyediakan sarapan pagi ringkas kepada pelajar yang menduduki peperiksaan akhir sebagai inisiatif kebajikan. 
Menurut pelajar tahun tiga Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Muhamad Ehsan Idris, pendekatan ini bukan sahaja membantu pelajar menghadapi peperiksaan dengan lebih tenang dan teratur, malah memberi kesan positif terhadap tahap fokus serta tenaga sepanjang tempoh peperiksaan. 

“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan universiti terhadap kebajikan dan kesejahteraan pelajar, khususnya dalam mengurangkan tekanan serta beban kewangan sebahagian pelajar,” katanya. 

Dalam masa yang sama, kepimpinan universiti turut menekankan kepentingan nilai kerohanian dan keseimbangan emosi sebagai sebahagian daripada pembentukan sahsiah serta kecemerlangan akademik holistik. 

Sebagai manifestasi kepada pendekatan tersebut, Profesor Dato' Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman turut meluangkan masa bersama para pelajar dengan memimpin bacaan doa sebelum sesi peperiksaan bermula, sebagai simbol sokongan moral dan usaha mewujudkan suasana peperiksaan yang tenang serta berfokus.

Pelaksanaan pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi turut berintegriti, berdaya saing dan beretika tinggi, selaras dengan Dasar Akademik Universiti serta aspirasi Pelan Strategik UMPSA dalam memperkukuh tadbir urus, integriti dan kualiti pendidikan tinggi.

Disediakan Oleh: Nor Sabrina Ismail, Pusat Peperiksaan dan Pengijazahan, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa & Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri