Skip to main content

UMPSA teraju kelestarian negara, 20 pensyarah diiktiraf sebagai ESG Profesional

PEKAN, 16 Disember 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) teraju model kecemerlangan kelestarian apabila berjaya mencipta sejarah sebagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan antarabangsa Eco-Campus Green Flag.

Pengiktirafan Green Flag yang dikendalikan oleh Foundation for Environmental Education (FEE), Denmark ini merupakan penanda aras global bagi kecemerlangan alam sekitar di institusi pendidikan.

Ini membuktikan bahawa model living lab, tadbir urus data karbon dan kerjasama industri-komuniti telah diterjemahkan dengan jayanya ke dalam ekosistem kampus yang lestari.

Dalam pada itu, seramai 20 orang pensyarah UMPSA menerima sijil diiktiraf ESG Professional apabila berjaya menamatkan Program Latihan Pensijilan Level 1 - Empowered for ESG Professional yang dikendalikan oleh Green Growth Asia Foundation (GGAF) baru-baru ini.

Serahan sijil disampaikan Penolong Naib Canselor (Pembangunan), Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad

Turut sama Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC),

Dr. Suhaidah  Hussain dalam Majlis Apresiasi dan Pengiktirafan Eco-Campus UMPSA anjuran Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC) hari ini.

Dalam ucapannya, Profesor Dr. Mahadzir yang membacakan ucapan Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias berkata, UMPSA terus memberikan komitmen berterusan untuk memperkasa agenda kelestarian universiti dan negara sekali gus menjadikan kampus kita sebagai model kecemerlangan kelestarian yang terkemuka, selaras dengan status UMPSA sebagai universiti teknologi terbaik di Malaysia.

UMPSA teraju kelestarian negara, 20 pensyarah diiktiraf sebagai ESG Professional

“Inisiatif Eco-Campus ini didorong oleh konsep University-Driven dan Student-Driven. 

“Pelajar bukan hanya penerima ilmu, tetapi pemangkin perubahan yang menggerakkan kesedaran dan amalan hijau.

“Kelestarian bukan lagi pilihan, tetapi satu tanggungjawab dan teras utama dalam membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang holistik serta berdaya tahan,” ujarnya. 

Katanya, Konsep Eco-Campus adalah makmal hidup (living lab) yang menunjukkan ilmu kejuruteraan dan teknologi digabungkan dengan amalan mesra alam.

“Terbaharu, UMPSA berjaya melonjak di kedudukan ke-40 terbaik dunia dalam UI GreenMetric World University Rankings (UIGWUR) 2025. 

“UMPSA dinobatkan sebagai universiti ketiga terbaik di Malaysia dan Universiti Teknologi Terbaik No. 1 di Malaysia dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

“Lebih membanggakan, UMPSA SDG 1: No Poverty di kedudukan ke-38 dunia, SDG 4: Quality Education dalam kelompok #101–200 dunia, SDG 6: Clean Water and Sanitation di kedudukan ke-81 dunia, SDG 7: Affordable and Clean Energy di kedudukan ke-18 dunia,” katanya. 

Lain-lain SDG 9: Industry, Innovation and Infrastructure dalam kelompok #201–300 dunia, SDG 12: Responsible Consumption and Production juga dalam kelompok #201–300 dunia dan SDG 17: Partnership for the Goals pada kedudukan #210–300 dunia.

Pencapaian ini adalah hasil daripada inisiatif strategik universiti termasuk pemasangan solar di atas bumbung dan panel solar terapung dan penggunaan bas dan van elektrik serta stesen pengecas EV di kampus.

Malahan, inisiatif pengurangan pelepasan karbon dengan sasaran mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.

Majlis apresiasi yang berlangsung hari ini meraikan para pensyarah, staf, pelajar daripada Kelab Eco Nexus UMPSA dan rakan industri yang telah menyumbang kepada kejayaan universiti.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim