Akademik dan Antarabangsa Guna teknologi, e-Learning maksima impak pengalaman pembelajaranPensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengaktifkan kelas maya (e-Learning) dalam semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada 17 Mac 2020. Ini adalah rentetan pengumuman dalam Pekeliling Pentadbiran Bil. 3/2020 yang dikeluarkan oleh pihak universiti baru-baru ini bagi menangani penularan penyakit berjangkit COVIS-19 yang melanda negara. Bagi pensyarah dari Fakulti Komputeran, Ts. Aziman Abdullah, menggunakan kaedah e-Learning dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pembelajaran UMP (KALAM) dan Google Classroom. “Bagi Google Classroom ianya lebih sesuai kepada pemakluman dan dapat memberi maklum balas serta dapat menyemak hasil kerja pelajar manakala KALAM pula lebih kepada keperluan akreditasi atau perkara rasmi berkaitan universiti,” ujarnya. Misalannya, beliau telah mereka bentuk aktiviti pembelajaran dengan membuat proposal. “Pelajar perlu menggunakan waktu atau sesi yang dijadualkan untuk menyelesaikan tugasan pada tempoh masa yang telah ditetapkan tanpa memerlukan pelajar ke dewan kuliah. “Pensyarah perlu menggunakan teknologi e-Learning ini untuk memaksimakan impak pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada pelajar. “Selain itu, ianya sangat praktikal bukan sahaja pada waktu musim terdesak seperti ancaman wabak pada kali ini namun sesuai dijalankan pada hari pengkuliahan biasa,” katanya. Tambah beliau lagi, cabaran terbesar dalam e-Learning adalah sikap dan mentaliti pendidik yang tidak inginkan perubahan dan selesa dengan kaedah sedia ada. Manakala menurut Timbalan Pengarah Pusat Sumber Pengajaran dan e-Pembelajaran (CIReL) yang juga merupakan pensyarah Fakulti Komputeran, Ts. Dr Awanis Romli pula memilih aplikasi Google Meet untuk pengajaran bersama pelajarnya baru-baru ini. Beliau berbangga dengan maklum balas pelajar yang amat menggalakkan dan menyeronokkan menerusi pembelajaran atas talian kerana mereka boleh belajar di mana-mana sahaja. “Tambahan pula, UMP melanggan GSuites for Education yang membolehkan semua aplikasi dalam GSuites ini boleh dinikmati secara percuma oleh semua pensyarah dan pelajar,” katanya. Begitu juga dengan pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FIM), D. Suhaidah Hussain berkata, pengajaran berjalan lancar dan amat menggalakkan. “Menerusi kaedah ini, ianya dapat membantu pensyarah dan pelajar untuk meneruskan pembelajaran secara maya tanpa mengganggu jadual pengkuliahan. “Di samping itu, bagi kelas tutorial atau forum antara pelajar dan pensyarah dapat dijalankan dengan menggunakan platform KALAM. “Cabaran utama adalah kekangan talian internet pelajar yang mana kadangkala ianya agak terhad di kawasan masing-masing. Namun begitu, ianya bukan halangan buat pensyarah dan pelajar untuk meneruskan pengajian dalam memanfaatkan teknologi semasa,” ujar beliau. Selaras dengan perutusan khas YAB Perdana Menteri pada 25 Mac 2020 berkenaan pelanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara dan penutupan semua lnstitusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam, maka Universiti Malaysia Pahang (UMP) menangguhkan semua operasi perkhidmatan bermula 18 Mac 2020 hingga 14 April 2020. Sehubungan itu, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, pihak universiti memutuskan bahawa tiada aktiviti pengajaran dan pembelajaran termasuk dalam talian dilaksanakan. Pihak universiti juga akan membuat pindaan terhadap kalendar akademik bagi Semester II, Sesi 2019/2020 dan maklumat ini akan dimaklumkan kemudian. Aktiviti Pelajar Sukarelawan UMP urus Campus Pantry manfaatkan pelajarSeramai 200 sukarelawan membabitkan 110 orang sukarelawan di UMP Kampus Gambang dan 90 sukarelawan di UMP Pekan terlibat dalam membangunkan UMP Campus Pantry di kedua-dua kampus pada 13 Mac 2020 yang lalu. Mereka ini dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu menguruskan makanan kering termasuk keperluan harian seperti sabun basuh, berus gigi, sabun dan lain-lain manakala satu lagi kumpulan mengendalikan makanan basah yang terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan. Menurut Ketua Sukarelawan UMP, Ikmal Shauqi Burhan, 20, seawal jam 7.30 pagi lagi sukarelawan akan dibawa ke Pasar Besar Kuantan untuk mendapatkan lebihan jualan sayuran yang akan diberikan oleh peniaga atau penyumbang. “Bekalan makanan tersebut akan dibawa ke Masjid UMP untuk proses pengasingan dan menyiang sebelum diedarkan kepada pelajar UMP yang tinggal di luar kampus. Pada kebiasaannnya, waktu edaran adalah sekitar jam 4.00 petang kerana pada waktu ini ada segelintir pelajar yang telah pulang dari sesi kuliah,” katanya. Sukarelawan bertugas akan memastikan makanan seperti roti, biskut dan barangan keperluan berkeadaan baik dan disusun di tempat yang disediakan. Pihaknya mengucapkan terima kasih kepada UMP yang sentiasa cakna dan prihatin terhadap kebajikan pelajar di universiti. Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yusserie Zainuddin berkata, UMP telah memulakan UMP Campus Pantry sejak awal lagi sebelum pihak Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melancarkan Food Bank di UMP. “UMP Campus Pantry ini memperuntukkan makanan basah dan kering dengan hasil kerjasama sumbangan daripada pelbagai agensi, warga kampus, orang persendirian dan pihak pasar raya yang datang untuk menyumbang kepada UMP. “Pada masa yang sama kita turut mendapat sumbangan dari Yayasan UMP yang banyak membantu UMP Campus Pantry. “Sehingga kini, seramai 1500 pelajar yang telah menikmati kemudahan di UMP Campus Pantry, malah ianya semakin bertambah dari hari ke hari. Disebabkan kita mempunyai 60 peratus pelajar yang tergolong dalam golongan B40 iaitu yang berpendapatan bawah RM3,000,” katanya. Jelas beliau lagi, daripada jumlah tersebut juga sebanyak 28 peratus pelajar terdiri dari golongan yang berpendapatan isi rumah kurang RM1,000. “Justeru, ia amat membantu meringankan bebanan yang ditanggung pelajar. “UMP Campus Pantry kini dibuka pada sesi pagi dan sesi petang dan kebiasaannya barang habis diambil oleh pelajar. “Pelajar yang mempunyai masalah kewangan dan ingin mendapat bekalan makanan hanya perlu datang ke sini dan dapat mengambilnya dengan hanya mendaftar di sistem yang disediakan sahaja,” katanya. Bagi salah seorang penyumbang, Tan Kwai Loon yang juga merupakan alumni UMP berkata, setiap minggu beliau akan menyumbangkan hampir 300 kg sayuran seperti timun, sawi, kangkung, peria, cili, dan banyak lagi. “Sayur-sayur ini bukan yang rosak tetapi lebihan jualan yang masih boleh digunakan dan ia hasil tanaman di kebun sendiri,” katanya. Pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) akan sentiasa memastikan mendapat bekalan yang mencukupi terutama untuk sampai ke penghujung semester, apabila pada saat inilah kebanyakan pelajar lebih memerlukan makanan dan kewangan. Artikel/Rencana Pilihan COVID-19: Sabar dan duduk rumah prasyarat mendapat rahmat Allah SWTOleh: DR. AHMAD IRFAN IKMAL HISHAM Pandemik wabak penyakit bukanlah satu perkara baharu dalam tamadun manusia. Sedari tahun 165 M, lima juta nyawa manusia terkorban akibat Antonine Plague. Penyakit ini merebak di Mesir, Greek dan Italy. Ia dikatakan dibawa melalui darat oleh tentera Rom selepas berperang dengan Tamadun Mesopotamia.
Hadith ini jelas menerangkan respon sebenar umat Islam dalam berhadapan dengan Covid-19. Bukan semata-mata yakin dan redha dengan ketentuan Allah SWT semata-mata, tetapi perlu berikhtiar dengan tidak keluar daripada daerah kediamannya. Artikel/Rencana Pilihan Mendidik Manusia Menjadi ManusiaOleh: Dr. Hasnah Hussiin Dewasa ini kita sering dikejutkan dengan pelbagai isu kemanusiaan seperti peperangan, pembunuhan secara terbuka oleh etnik-etnik tertentu, penyeksaan, konflik agama, bencana alam dan yang terkini serangan virus Covid-19. Semua ini berlaku disebabkan satu perkara sahaja iaitu hilangnya nilai-nilai kemanusiaan dalam diri manusia pada hari ini. Secara amnya, dunia sekarang adalah lebih moden jika dibandingkan dengan zaman-zaman terdahulu. Moden kerana manusia mampu mencipta pelbagai teknologi untuk memudahkan kehidupan mereka dalam pelbagai aspek kehidupan. Kini, manusia mampu untuk bergerak dalam masa yang pantas, memudahkan manusia berkomunikasi dalam jarak beribu batu, pendidikan menggunakan alam maya, pengeluaran bertambah dengan wujudnya mesin dan jentera dalam sektor perindustrian dan sebagainya. Pendek kata, zaman ini ilmu hanya di hujung jari. Namun, adakah kita sedar, kemajuan teknologi dilihat tidak seiring dengan nilai kemanusiaan. Bagi menjadikan sesuatu bangsa itu bertamadun, sebaiknya teknologi dan nilai kemanusiaan itu berjalan seiring agar ia mampu memberikan kesejahteraan kepada bumi dan manusia sejagat. Tetapi, apa yang kita dapat lihat pada hari ini manusia hanya maju pada luaran sahaja, tapi dalaman manusia masih kurang bertamadun dan beretika. Seseorang yang dilahirkan ke muka bumi ini memerlukan pendidikan bagi menjadikannya manusia. Antara pendidikan yang sangat penting bagi mendidik jiwa manusia menjadi manusia yang baik dan beretika adalah pendidikan kemanusiaan. Persoalannya, bagaimanakah untuk menjadikan manusia itu manusia? Persoalan ini timbul kerana ada dalam kalangan manusia pada hari ini walaupun dia telah dilahirkan sebagai manusia, kelakuan dan etika mereka tidak mencerminkan bahawa mereka itu adalah manusia. Ini terjadi kerana perbuatan mereka ada kalanya dilihat tidak berperikemanusiaan, membuat sesuatu di luar batas kemanusiaan, tidak mengenal apa yang baik dan apa yang buruk, apa yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan, melanggar hak asasi manusia serta hak-hak alam sejagat yang saling memerlukan. Tugas manusia adalah menjaga keharmonian alam, bukan memusnahkan alam akibat tangan-tangan manusia itu sendiri. Mengapa dikatakan begini? Adakah Virus Covid-19 ini ada kaitan dengan perbuatan mereka? Walaupun masih berlaku perdebatan tentang pembawa virus ini, kita telah menyaksikan ada manusia yang memakan kelawar sebagai hidangan sup dan bermacam haiwan eksotik seperti tikus, lipas, kucing, anjing, monyet, ular dan sebagainya. Perbuatan memakan binatang eksotik seperti ini sebenarnya bukan sesuatu yang baharu di Wuhan, China malahan ada manusia di beberapa buah negara lain juga mempunyai selera eksotik. Perbuatan mereka yang memakan binatang tersebut hidup-hidup, memasak binatang hidup-hidup untuk dijadikan santapan mereka adalah sangat tidak berperikemanusiaan. Malahan tidak baik untuk kesihatan. Persoalan yang timbul adalah, apakah manusia tersebut sudah tiada bekalan makanan untuk dimakan? Mengapakah haiwan-haiwan ini dijadikan makanan sedangkan negara mereka mempunyai bekalan makanan yang cukup untuk rakyatnya? Apakah selera manusia kini sudah berubah kepada sesuatu yang eksotik? Apakah manusia sudah tidak boleh mengenal mana makanan yang baik untuk kesihatan dan apa yang tidak? Adakah manusia hari ini sudah tiada nilai-nilai kemanusiaan? Mengapa ini berlaku? Tidak keterlaluan jika dikatakan akibat perbuatan manusia yang tidak beretika dan berperikemanusiaan inilah yang menyebabkan bumi yang kita diami ini mengalami masalah, turunnya bala, bencana alam dan banyak lagi perkara yang tidak baik berlaku di seluruh dunia. Undang-undang negara tidak mampu membendung masalah seperti ini, kerana ia masih dianggap masalah terpencil berbanding dengan masalah besar yang dihadapi oleh negara. Dengan kata lain, kita tidak boleh bersandar kepada undang-undang dan hukuman semata-mata, pendidikan kemanusiaan perlu memainkan peranan untuk mendidik masyarakat. Walaupun perbuatan ini dianggap kecil, namun jika dibiarkan ia boleh menjadi barah dan masyarakat tidak lagi mempunyai sifat kemanusiaan. Apa yang ingin dirungkaikan di sini adalah, di manakah nilai-nilai kemanusiaan dalam diri manusia hari ini? Akibat hilangnya nilai kemanusiaan, ekologi turut berubah kerana manusia telah merubah habitat atau kitaran kehidupan asal yang sepatutnya dipelihara kewujudannya. Ini disebabkan kepupusan sesetengah binatang kerana ia telah menjadi sasaran santapan manusia. Manusia yang rakus tidak ada rasa belas kasihan dan binatang mati tanpa pewaris. Sebagai balasan kepada manusia yang memakan apa sahaja, tanpa mengambil kira khasiat dan kebaikan, kesannya nyawa melayang. Untuk mendidik generasi baharu akan pentingnya ilmu kemanusiaan untuk menjadi manusia, maka pendidikan kemanusiaan tidak harus dikesampingkan dalam sistem pendidikan yang kini sangat menekankan kepada Sains, Teknologi dan Industri. Kita memerlukan tenaga pakar yang seimbang di antara fizikal dan kemanusiaan. Generasi baharu perlu dididik dengan nilai-nilai kemanusiaan agar seluruh penduduk bumi hidup dalam kesejahteraan. Apa yang ingin ditekankan di sini adalah ilmu fizikal itu perlu sama pemberatnya dengan ilmu kemanusiaan baharulah manusia yang dilahirkan itu lebih seimbang. Justeru, dalam konteks negara Malaysia, pendidikan seperti pendidikan moral, agama, sejarah, etika dan peradaban perlu seiring dengan ilmu yang lain iaitu sama pemberatnya 50-50. |
- 123 views