Skip to main content
HEADER CREATE

Aktiviti Pelajar

Muhamad Al-Fateh dinobat Tokoh Siswa UMP 2019 

BIL.60 JAN 2020

Muhamed Al-Fateh Abd Razak, 22 dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) 2019 apabila memenangi Anugerah Teras Kepimpinan dan Anugerah Teras Pengucapan Awam pada Majlis Anugerah Kokurikulum dan Sanjungan Pelajar 2019 di Hotel Vistana Kuantan pada 19 Disember 2019 yang lalu. 

Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) itu diumumkan sebagai pemenang apabila menampilkan kepimpinan sebagai Pengerusi Jabatan Komunikasi dan Korporat, Majlis Perwakilan Pelajar 2018/2019. 

Selain itu, anak jati Muar, Johor ini  juga turut aktif dalam bidang pengacaraaan, pengucapan awam dan debat. 

Beliau  juga aktif dalam penganjuran program, Speaker Corner dan terkini sedang aktif dalam penubuhan Dewan Perundingan Pelajar. 

BIL.60 JAN 2020

Anak bongsu kepada pasangan Ab Razak Ibrahim, 61, dan Fabilah Atan, 54 ini pernah mewakili UMP dalam Parlimen Mahasiswa 2017 dan berpeluang berucap selama 30 minit membentangkan usul TN50. 

Dalam ucapannya, beliau bersyukur dan teruja dengan anugerah yang diberikan dan menganggap ianya sebagai pendorong agar ia terus mengecapi kejayaan dan terus aktif di universiti.

Hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin. 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainudin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi  Zamli, Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Profesor Dato' Ts. Dr. Rosli Abu Bakar dan Dekan Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Ahmad Johari Mohamad.

Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli yang membacakan teks ucapan Naib Canselor, Malam Anugerah Kokurikulum dan Sanjungan Pelajar ini sebagai manifestasi apresiasi terhadap perkhidmatan dan sumbangan badan-badan pelajar serta para penggeraknya dalam mengimarahkan iklim pengalaman kampus di UMP. 

"Program ini juga membuktikan komitmen berterusan pihak pengurusan untuk mengiktiraf peranan signifikan para mahasiswa dalam konteks pembangunan universiti ini, khususnya dari sudut kemahiran insaniah yang dicirikan kecemerlangan jasmani, emosi, rohani dan intelek sebagaimana aspirasi Falsafah Pendidikan Negara. 

BIL.60 JAN 2020

“Nilai tambah daripada pelbagai inisiatif, program, projek dan aktiviti tersebut bukan sahaja bermanfaat dalam konteks pengayaan (enrichment) pengalaman kampus semasa menuntut di universiti ini, tetapi lebih dari itu, memberikan impak yang tidak sedikit dalam jangka panjang kepada peningkatan keterampilan diri dan kebolehpasaran sebagai graduan,” katanya. 

Menurutnya, bagi merangsang penyertaan dalam pelbagai gerak kerja kemahasiswaan berdasarkan bidang-bidang teras yang telah dikenal pasti, pihak pengurusan telah memperkenalkan beberapa inisiatif baharu untuk dimanfaatkan sebaik mungkin oleh mahasiswa. 

“Ia dirumus bagi mengekalkan kecemerlangan daya saing dan kebolehpasaran graduan kita (graduate employability) yang kini mencapai 96 peratus bagi tahun ini. 

“Selain transkrip akademik, kini para graduan juga boleh mendapatkan transkrip kedua yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni sebagai testimoni autoritatif mengenai penglibatan mereka dalam gerak kerja kemahasiswaan sepanjang pengajian di universiti ini. 

“Begitu juga i-CGPA turut diperkenalkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) telah dikembangkan melalui inisiatif x-CGPA yang lebih bersifat holistik dan mendasar dengan tumpuan penaksiran kepada sepuluh atribut khusus iaitu kemahiran insaniah, nilai, sikap dan profesionalisme, kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan, kemahiran penyelesaian masalah, kemahiran pengurusan maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat, keusahawanan, kreativiti, perpaduan dan patriotisme serta kesukarelawanan,” katanya. 

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Naib Canselor UMP dan Anugerah Teras Khidmat Komuniti yang telah dimenangi oleh Ezwan Shah Mohd Nordin manakala Anugerah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni serta Anugerah Teras Daya Usaha dan Inovasi telah dimenangi oleh Muhammad Taufiq A. Rahman. 

Bagi Anugerah Teras Kesukarelawanan pula telah dimenangi oleh Mohamad Hanif Fitri Nordin dari Fakulti Pengurusan Industri. Manakala Anugerah Teras Kebudayaan telah dimenangi oleh Mohamad Firdaus Ab Hadi dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri dan Anugerah Badan Beruniform pula dimenangi oleh Nur Izana Zaherman dari Fakulti Pengurusan Industri. 

Anugerah Penasihat Terbaik telah dimenangi oleh Al Muhaimin Ali yang merupakan Pegawai Belia dan Sukan UMP merangkap Penasihat Kelab Memanah UMP yang banyak mengharumkan nama universiti dalam sukan memanah. 

Manakala Anugerah Teras Kesukanan telah dimenangi oleh Fadhil Ashraff Ab Rahim dari Kolej Kejuruteraan. 

Anugerah Kelab terbaik telah dimenangi oleh Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman 4 (PEKA 4) dengan membawa pulang  piala  dan geran bernilai RM10,000 dan bagi Anugerah Kelab Harapan pula telah dimenangi oleh Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian.


Jejak Alumni

Alumni UMP diseru terus sumbang karya, idea

BIL.60 JAN 2020

Alumni Universiti Malaysia Pahang (UMP) diseru agar meneruskan usaha menyumbang hasil karya kebudayaan di universiti kerana ia dapat membantu mahasiswa junior Sekretariat Kebudayaan UMP dengan mengekalkan warisan budaya di kampus. 

Kehadiran seramai 23 alumni daripada Chapter Alumni (Kebudayaan) ini merupakan hasil inisiatif pihak Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP yang berjaya menganjurkan program Sepetang Bersama Alumni (Kebudayaan) UMP buat julung kalinya di Hotel Istana Kuala Lumpur pada 21 Disember 2019 yang lalu. 

Ia merupakan salah satu strategi untuk meluaskan jaringan alumni UMP yang bersesuaian serta memperkasakan hubungan universiti bersama alumni. 

Menurut Dekan Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Dr. Ahmad Johari Mohamad, sumbangan alumni kepada alma mater atau universiti tempat mereka belajar ini dengan memberi sumbangan secara sukarela dapat mengekalkan dan memperkembangkan pembangunan dan kelestariannya universiti ini. 

“Setiap alumni melalui pengalaman daripada zaman belajar kepada graduan yang unik dan berbeza, justeru mempunyai potensi untuk setiap alumni menyumbang kepada universiti dalam cara dan skala yang pelbagai.

“Kita seharusnya mengekalkan warisan budaya kerana ia melambangkan identiti sesebuah masyarakat dan tidak boleh dipisahkan daripada kelompok masyarakat. Budaya ini sewajarnya seimbang dan tidak didominasi oleh budaya tertentu. 

BIL.60 JAN 2020

“Budaya ini bukan sekadar pada muzik dan seni persembahan namun kita boleh kembangkan juga kepada jenis makanan, fesyen, seni mempertahankan diri, seni lukis, adab dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Tambah beliau, apa yang kita dapat lihat hari ini golongan muda lebih cenderung untuk mengambil budaya luar berbanding budaya sendiri. 

“Sepatutnya kita haruslah mempertahankan budaya etnik kita sendiri.  

“Pihak universiti sentiasa mengalu-alukan sumbangan tenaga, idea alumni untuk terus membantu universiti serta menjaga nama baik UMP. 

“Jika tidak dapat memberikan masa dan tenaga, alumni juga boleh menyumbang kepada sumbangan atau endowmen kepada Yayasan UMP,” katanya. 

Pada masa yang sama, para alumni turut berpeluang berkongsi perkembangan pencapaian UMP yang disampaikan oleh Eksekutif Kanan, Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti, Hazlina Faizal dan perkembangan terkini mengenai Pusat Kebudayaan yang dibentangkan oleh Pegawai Kebudayaan Kanan UMP, Mohd Zaki Ahmad.

Presiden Chapter Alumni (Kebudayaan), Muhammad Azim Omar, 31 turut mengucapkan tahniah atas pencapaian cemerlang UMP sehingga ke peringkat  antarabangsa. 

“Selama 10 tahun meninggalkan UMP banyak perubahan yang telah berlaku dan berbangga apabila Kelab Kebudayaan dan Kesenian UMP juga telah dinaik taraf kepada Sekretariat  Kebudayaan dan Kesenian,” katanya. 

Beliau yang kini bertugas sebagai Jurutera Sistem di Petronas ICT Sdn. Bhd. mengharapkan lebih banyak program diadakan sebagai platform terbaik untuk berkenalan di samping dapat berkongsi idea untuk kebudayaan universiti dan dianjurkan pada masa akan datang. 

Hadir sama Pengarah, Pusat Sukan dan Kebudayaan, Profesor Dato' Ts. Dr. Rosli  Abu Bakar.


Artikel/Rencana Pilihan

Lakaran Sejarah Baharu MPP Tingkat Pemerkasaan Mahasiswa UMP

BIL.60 JAN 2020

Oleh: AHMAD RIFQI MOHD. JEROME RINJES, NAIB YANG DI-PERTUA  (KOMUNIKASI DAN KORPORAT), MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR  2019/2020 UMP

Tanggal 27 November 2019, satu sejarah baharu dilakar oleh mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) apabila Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah dijayakan sepenuhnya oleh mahasiswa UMP buat pertama kali mengikut tatacara dan kaedah-kaedah UMP. Ini merupakan perkembangan positif ke arah era pemerkasaan mahasiswa dan prapenubuhan kesatuan pelajar di UMP. Di petik dari laman Facebook, Pemilihan Perwakilan Pelajar (PMPP), Jawatankuasa Induk Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) merupakan jawatankuasa tertinggi dalam PMPP. Peranan jawatankuasa ini adalah untuk membincangkan dasar dan peraturan. Sejarah tercatat pada tahun ini apabila Naib Canselor UMP bersetuju bagi penglibatan bersama pelajar dalam jawatankuasa ini. Keanggotaan sebanyak 12 pelajar dan 11 staf pengurusan UMP ini memberi nafas baharu apabila suara mahasiswa diangkat. 12 keanggotaan ahli jawatankuasa ini terdiri daripada dua orang mantan MPP sesi 2018/2019 dan setiap wakil persatuan fakulti. 

Saudara Mohamed Al-Fateh Ab. Razak mengetuai jawatankuasa induk yang diwakili oleh mantan MPP dan wakil persatuan fakulti. Antara perkara baharu yang dibincangkan dalam Mesyuarat Bil.1 Jawatankuasa Induk PMPP adalah format baharu pemilihan calon MPP secara berkumpulan atau parti. Para calon dibenarkan mewujudkan satu pakatan dengan satu logo kumpulan yang sama. Senarai nama ahli kumpulan dan logo yang bakal digunakan mestilah didaftarkan pada hari penamaan calon. 42 kerusi dibuka bagi sesi ini berikutan daripada penstrukturan semula fakulti dan program pengajian di UMP. Sebanyak 14 kerusi kawasan umum mematuhi AUKU, iaitu separuh daripada bilangan kerusi di seluruh kawasan fakulti. Sebanyak 28 kerusi yang akan diwakili oleh kawasan fakulti/jabatan/pusat. Hal ini juga membuka ruang dan peluang yang lebih banyak kepada para pelajar.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menggariskan enam hala tuju jelas selaras dengan tuntutan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengangkat agenda pemerkasaan mahasiswa. Hal ini juga selari dengan misi dan visi MPP itu sendiri. Misi MPP 2019/2020 ‘Membudayakan akauntabiliti dalam kalangan pelajar selaras dengan aspek pemerkasaan mahasiswa’. Akauntabiliti di sini bermaksud sifat bertanggungjawab yang perlu ada dalam kalangan mahasiswa selaras dengan autoriti yang diberikan apabila terbentuknya Kesatuan Pelajar di UMP kelak. Visi MPP pula ialah ‘Merealisasikan Majlis Perwakilan Pelajar UMP sebagai sebuah badan kepimpinan yang berintegriti’.

Enam hala tuju yang akan dibawa oleh MPP pada sesi kali ini adalah yang pertama, memastikan pilihan raya kampus dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa. Hal ini kerana apabila kita ke arah kesatuan pelajar atau Student Union, kuasa pelajar atau student empowerment dapat diterapkan dalam diri mahasiswa selagi ia tidak melanggar mana-mana undang-undang atau peraturan. Student empowerment adalah satu tugas untuk mahasiswa membuat keputusan tanpa diganggu atau terikat pada mana-mana jabatan selagi tidak melanggar Akta Universiti dan Kolej Kediaman 1971 (AUKU) serta Perlembagaan Universiti.

Hala tuju kedua pula ialah MPP UMP sebagai penaung kepada seluruh badan persatuan pelajar. Ini adalah kerana MPP itu sendiri merupakan sebuah badan perwakilan pelajar, ini menunjukkan bahawa MPP adalah badan persatuan pelajar yang tertinggi di universiti. Perkara ini menjadi tanggungjawab kepada MPP dalam menjadi wakil kepada mahasiswa universiti sendiri dalam mengemukan idea, pandangan, cadangan, dan aduan.

Ketiga, MPP terlibat dan berkuasa dalam meluluskan program anjuran mahasiswa. Perkara ini juga berkait rapat dengan student empowerment. Ahli MPP yang dipilih melalui Sistem Pilihan Raya Universiti yang telah dipilih oleh mahasiswa UMP sendiri melalui undian untuk membawa atau mewakili suara-suara mereka. Program-program yang dianjurkan oleh mahasiswa adalah lebih dekat dengan mahasiswa, justeru, pihak MPP lebih mengetahui signifikan sebuah program itu. 

Keempat, MPP akan menguruskan dana kewangan sendiri. MPP yang merupakan sebuah badan persatuan pelajar harus bergerak secara sendiri dan hanya dibantu oleh jabatan-jabatan di universiti. Hal ini memerlukan MPP untuk mempunyai dana kewangan yang diuruskan sendiri oleh MPP bagi memudahkan proses perjalanan program-program yang dianjurkan tanpa melalui banyak pihak.

Kelima, memastikan wakil MPP akan terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat dan jawatankuasa-jawatankuasa di bawah universiti. MPP UMP perlu terlibat dalam mesyuarat dan jawatankuasa di bawah universiti bagi memudahkan pemberitahuan maklumat kepada mahasiswa. Wakil MPP juga diberi peluang untuk menyuarakan idea, pandangan, cadangan, dan aduan serta bersama-sama dalam membuat sesuatu keputusan.

Keenam, menjadikan Dewan Perundingan Pelajar sebagai platform semak-dan-imbang atau check-and-balance kepada MPP. Dewan Perundingan Pelajar yang merupakan dewan untuk wakil-wakil badan persatuan  mahasiswa untuk membuat dasar dan mengemukakan idea dan pandangan terhadap sistem-sistem yang digunakan di universiti. Dewan ini juga boleh menjadikan wadah untuk MPP UMP menganalisis dan mengkaji keperluan yang dibentangkan oleh mahasiswa. 

Selain itu, sekarang kita berada di zaman kesatuan mahasiswa. Yang di-Pertua MPP UMP 2019/2020 Mohd Fitri Zulkaffli dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Majlis Mengangkat Sumpah MPP baru-baru ada menyatakan, bahang kesatuan pelajar semakin hampir untuk ditubuhkan dan MPP  berharap bahang ini turut dirasai oleh semua mahasiswa UMP. Berdasarkan subseksyen-subseksyen AUKU yang disebutkan sebelum ini, MPP UMP  telah memperkenalkan tagline atau slogan baharu iaitu ‘Salam Kesatuan Mahasiswa’. Beliau yakin pengenalan slogan ini akan memberi sedikit hint atau petunjuk kepada mahasiswa UMP bahawa penubuhan Kesatuan Pelajar UMP kini semakin hampir untuk direalisasikan. Insya-Allah menjelang Mei 2020, landskap kepimpinan mahasiswa di UMP akan berubah dengan tertubuhnya Kesatuan Pelajar di UMP. 

Berkaitan dengan pelaksanaan ke arah kesatuan pelajar, universiti adalah medan intelektual terbuka kerana di situlah tepat berlakunya pendebatan teori, pergaduhan wacana dan perkongsian ilmu. Inilah sebenarnya neraca kualiti setiap universiti. Hal ini bertepatan dengan hala tuju ‘ketinggian kualiti’ yang mana menggalakkan universiti menyuburkan budaya dialog, forum, debat, wacana, dan program lain bersifat intelektual ke arah memberi penyelesaian masalah dan membangunkan negara.

Antara usaha pertama adalah dengan memansuhkan Seksyen 15(1)(c) yang mengekang penglibatan mahasiswa dalam aktiviti politik di dalam kampus secara sah. Dalam ucapan tersebut beliau juga menyebut tentang usaha mewujudkan Kesatuan Pelajar bagi menggalakkan lebih ramai mahasiswa diberi peranan dan peluang dalam proses membuat keputusan di universiti masing-masing. Selain itu, tidak terkecuali politeknik dan kolej komuniti juga tidak akan dipinggirkan daripada radar terutama dalam meningkatkan kualiti dan penyampaian program TVET untuk menambah baik kebolehpasaran graduan. 

Perubahan landskap politik negara juga telah mengubah landskap pendidikan negara. KPM telah menggariskan sembilan teras pencapaian KPM yang merangkumi sembilan kelompok rakyat yang ingin diberikan tumpuan. Antara teras yang ingin digariskan adalah teras ke-8 iaitu berkaitan pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau lebih dikenali sebagai TVET. Sehingga hari ini, buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, pihak Kementerian telah berjaya melaksanakan Sistem Jaminan Kualiti Tunggal Pendidikan dan Latihan Teknikal dan 18 Vokasional iaitu laluan fleksibel bagi artikulasi TVET sehingga ke tahap 6 dan 7. 

Sistem ini juga merupakan sistem tunggal yang akan diguna pakai oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam mengakreditasi program TVET yang ditawarkan oleh institusi TVET awam dan swasta berdasarkan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF). Dalam masa yang sama, kerjasama yang erat antara Kolej Vokasional, Politeknik, Kolej Komuniti dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dari segi sumber, peralatan, fasiliti, tenaga pengajar dan kepakaran sedang giat dijalankan. Tidak dilupakan, sekarang juga usaha pihak KPM  untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence) setempat TVET di seluruh negara selain komited untuk memperkasakan institusi TVET ini  bagi mengatasi masalah pengangguran dan institusi TVET ini akan menjadi salah satu pintu keluar daripada masalah ini.

Umum mengetahui bahawa UMP merupakan sebuah universiti teknikal dan teknologi di Malaysia. Pihak universiti juga mengambil bahagian dalam memperkasakan program TVET. Dalam mencapai hasrat itu, pihak MPP juga akan bersama-sama dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi perlaksanaan TVET di universiti. Dalam memperkasakan perlaksanaan TVET, pihak MPP boleh melaksanakan program-program yang berkaitan dengan latihan teknikal dan vokasional serta berkolaborasi dengan pelbagai pihak untuk mempromosikan TVET dalam kalangan mahasiswa di universiti dan juga masyarakat luar.

Natijahnya, hasrat dan harapan semua dalam menjadikan MPP UMP sesi 2019/2020 menjadi nada suara, nadi mahasiswa dalam mengemukakan idea, pendapat, cadangan dan aduan ke arah pembangunan mahasiswa serta kejayaan universiti bukan sahaja dari segi akademik malah dari segi pengurusan dan kepimpinan. Semoga segala usaha yang akan dilakukan ini mampu memberi pencapaian dan membuahkan hasil dalam usaha menjadikan mahasiswa dan generasi hadapan yang lebih berketerampilan dan mempunyai daya saing yang jitu ke arah negara maju. Pencapaian dan kejayaan MPP yang lalu akan menjadi satu pembakar semangat untuk ahli MPP pada sesi 2019/2020. Satu janji yang akan dibawa adalah menjadikan MPP sesi ini mempunyai identiti tersendiri dalam menjadi wadah penghubung antara mahasiswa dengan kepimpinan universiti.


Artikel/Rencana Pilihan

Pupuk Semangat Kesukarelawanan Mahasiswa UMP

BIL.60 JAN 2020

Oleh: MOHD ZAKI AHMAD DAN MOHD RAIZALHILMY MOHD RAIS, PERSATUAN PEGAWAI TADBIR & IKHTISAS (PPTI), UMP

BIL.60 JAN 2020

Kesukarelawanan bukanlah satu perkara yang asing dan baharu dalam masyarakat kerana ia telah menjadi sebahagian daripada kebiasaan kehidupan masyarakat sejak zaman-berzaman. Sukarela, membawa makna bekerja atas kemahuan sendiri, tanpa dipaksa. Pada hari ini, ia dapat dilihat ketika melaksanakan sesuatu kerja yang dilakukan secara bergotong-royong dan bekerjasama oleh ahli dalam sesebuah komuniti.
 
Malahan, menjadi sesuatu yang rutin kepada masyarakat kini apabila sesuatu kerja itu dilaksanakan secara beramai-ramai dan sukarela dalam setiap kehidupan manusia didorong oleh nilai-nilai budaya, ideologi, prinsip serta tradisi dan memberi impak yang cukup besar dalam kehidupan bermasyarakat. Umpamanya, antara aktiviti yang menjadi tumpuan dalam aktiviti sukarela ialah seperti aktiviti sukan, kemasyarakatan, kebajikan dan badan beruniform yang secara langsung dapat meningkatkan keupayaan sesebuah komuniti yang memberi nilai kepada pembangunan insan khususnya golongan belia.
 
Menyedari akan kepentingan aspek kesukarelawan ini, Universiti Malaysia Pahang (UMP) sentiasa menggalakkan warganya terutama para pelajar agar terlibat dalam bidang kesukarelawanan. Hal ini memberikan kesedaran akan kepentingan untuk berkhidmat secara sukarela kerana ianya mampu melahirkan seseorang mahasiswa yang bertanggungjawab terhadap isu-isu sosial yang wujud dalam kalangan masyarakat kerana mereka perlu melibatkan diri secara langsung bagi membantu menyelesaikan masalah ketidakseimbangan yang wujud dalam sesebuah masyarakat berkenaan. Apabila seseorang mahasiswa terlibat dengan aktiviti sukarela, pelajar tersebut dengan sendirinya akan membentuk rasa simpati dan sifat tolong-menolong sesama manusia.
 
Budaya kesukarelawan dalam kalangan generasi muda perlu diperhebatkan kerana ia mampu meningkatkan semangat cintakan negara, saling hormat-menghormati dan toleransi antara kaum di negara ini.  Kementerian Pendidikan mewujudkan tiga elemen budaya untuk diserapkan dalam sistem pendidikan di negara ini iaitu kegembiraan, kasih sayang dan saling hormat menghormati. Justeru, pihak pengurusan universiti sentiasa menyokong untuk meningkatkan aktiviti kesukarelawan dan khidmat bakti sejajar dengan teras kesukarelawanan dan khidmat komuniti dalam kalangan mahasiswa melalui kokukurilum berkredit. Mahasiswa harus didedahkan dengan ilmu pengetahuan selain akademik seperti kemahiran kendiri yang menguji ketahanan mental dan emosi mereka. Penglibatan mahasiswa dengan aktiviti sukarelawan bukan sahaja mampu meningkatkan tahap pencapaian mereka dari aspek kurikulum dan kokurikulum, malahan dapat menyemai rasa tanggungjawab yang tinggi untuk membantu komuniti sekeliling yang berada dalam keadaan yang memerlukan.
 
Di negara Barat seperti di Amerika Syarikat, kesukarelawan menjadi intipati kepada intergrasi sosial yang dapat digunakan untuk meningkatkan keupayaan komuniti yang bermasalah. Oleh itu, UMP sentiasa menitikberatkan elemen kesukarelawan ini yang diasaskan dalam budaya Melayu dari turun-temurun melalui kegiatan gotong-royong dan harus dijadikan sebagai wadah kepada pembangunan komuniti amnya. Mengambil beberapa pendekatan di UMP, setiap program yang dilaksanakan menekankan aspek kesukarelawan melalui penglibatan oleh mahasiswa dan staf. 
 
Di UMP, mahasiswa amat digalakkan melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan dengan sokongan dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni serta jabatan-jabatan lain yang bersangkutan. Banyak aktiviti kesukarelawanan dapat diterapkan kepada mahasiswa, antaranya misi kemanusiaan di Acheh, Kemboja dan Thailand. Mahasiswa juga dilibat sama dalam aktiviti-aktiviti kemanusiaan dalam negara seperti misi bantuan banjir dan lain-lain lagi. Aktiviti Kesukarelawanan tidak hanya tertumpu dan berhenti pada skop kemanusaiaan sahaja. Mahasiswa juga boleh terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan bersifat acara seperti menjadi ahli jawatankuasa penganjuran Sukan, Kebudayaan dan aktiviti-aktiviti lain yang memerlukan khidmat tenaga fizikal dan buah fikiran. Oleh yang demikian, adalah disyorkan kepada JHEPA sebagai penyelaras utama kepada aktiviti pelajar agar dapat mempertimbangkan dan menyediakan satu kelebihan lain dalam aktiviti pelajar, seperti memberi jam kredit atau kaedah-kaedah lain yang berkesan bagi menarik ramai lagi pelajar terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan.
 
“Keterlibatan institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat dapat dilihat melalui sumbangan mereka dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Inisiatif seperti Service Learning Malaysia - University for Society memberi peluang kepada penuntut untuk menyumbang kepada masyarakat dengan mengaplikasikan teori yang dipelajari di dalam kelas untuk menyelesaikan permasalahan sebenar dalam komuniti (from classroom to community). Melalui iniasitif itu, pengetahuan, inovasi dan teknologi yang dibangunkan oleh penuntut, ahli akademik dan penyelidik di IPT boleh dipindahkan kepada masyarakat.
 
Pada masa sama ia perlu dikomersialkan agar dapat memberikan manfaat secara langsung kepada komuniti dalam usaha menyokong pembangunan sosioekonomi negara. Era Revolusi Industri 4.0 mendedahkan bidang akademik kepada keadaan yang lebih mencabar. Kehadiran apa yang digelar sebagai teknologi pengganggu (disruptive technology) memerlukan ahli akademik yang mempunyai wawasan, bersedia berubah bersesuaian dengan cabaran-cabaran baharu serta mempunyai kebijaksanaan untuk kekal relevan. Melihat kepada kepantasan perubahan-perubahan yang dibawa oleh Revolusi Industri 4.0, ahli-ahli akademik juga perlu cepat menangani perubahan serta mampu melakukan pendekatan-pendekatan yang memastikan pelajar kita tidak ketinggalan.” - Petikan ucapan YAB Perdana Menteri semasa Majlis Anugerah Akademik Negara Ke-13.
 

Peningkatan keterlibatan mahasiswa dengan aktiviti kesukarelawanan dilihat sebagai petanda yang baik ke arah pembentukan pemikiran yang positif, dan dapt membangunkan personaliti yang mantap dalam kalangan mahasiswa. Mahasiswa perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu-ilmu personaliti unggul  seperti kemahiran berkomunikasi dan penyampaian berkesan, keupayaan menyesuaikan diri dalam pelbagai peringkat, mempunyai kekuatan jati diri dan rangkaian profesional serta kepimpinan.
 
Dalam usaha mencapai matlamat jangka panjang ini, pelbagai usaha dan inisiatif boleh dilakukan. Jelas terbukti dalam merangka program-program kesukarelawanan pastinya sifat kasih sayang dan prihatin terhadap persekitaran, komuniti, organisasi dan individu dan disuburkan lagi.  Selaras dengan hasrat kerajaan Malaysia untuk membentuk sebuah masyarakat penyayang menjelang tahun 2020, kesukarelawanan merupakan elemen yang penting sebagai wadah kepada pembudayaan dan penghayatan semangat kesukarelawanan.
 
Pembudayaan dan semangat kesukarelawanan ini perlu dilaksanakan seawal mungkin kepada golongan belia atau remaja kerana pada fasa umur tersebut akan berlaku perkembangan mental dan emosi yang drastik. Golongan remaja pada hari ini perlu dipupuk budaya berfikir sebelum bertindak dan mampu berfikir dengan lebih luas sebelum membuat keputusan. Sebagai pengakhiran, golongan pendidik perlu mengambil kesempatan untuk menyuntik semangat kesukarelawanan dikalangan belia. Ilmu kesukarelawan perlu dibangunkan secara hoslitik agar para mahasiswa didedahkan dengan sifat dan falsafah kesukarelawanan secara berterusan.


Artikel/Rencana Pilihan

Perspektif Golongan Antivaksin Bertentangan Dengan Kaedah Fekah dan Maqasid Syariah

BIL.60 JAN 2020

Oleh: PROFESOR MADYA DR. HASAN AHMAD
e-Mel: hassanahmad@ump.edu.my   

BIL.60 JAN 2020

Vaksin dari sudut perubatan moden dikenali sebagai penebat penyakit terutama yang berjangkit. Ia telah lama diperkenalkan di seluruh dunia termasuk Malaysia dan terbukti dapat menghalang penyebaran penyakit bermula daripada peringkat bayi.  A ntara produk vaksin yang sering digunakan ialah Measles, Mumps and Rubella (MMR) bagi mengelakkan jangkitan difteria, demam campak, begok, dan rubella, yang sering meyebabkan keilatan kekal, kematian dan penyakit kronik secara umum.
 
Golongan antivaksin yang melandaskan hujah mereka kepada isu kehalalan vaksin adalah tidak berasas kerana kandungan vaksin yang digunakan di Malaysia telah disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mereka sebenarnya tidak berhak untuk mempertikaikannya kerana JAKIM adalah satu badan autoriti tunggal pensijilan halal bagi kerjaan Malaysia. 

Hujah golongan ini juga boleh ditolak atas kaedah fekah yang jelas kerana jika sekiranya ada keraguan atau syubhah sekalipun dalam penghasilan atau kandungan vaksin, kaedah usul fekah ada menyebut 'al-darurah tubih al-mahzurat' (Kemudaratan mengharuskan apa yang terlarang). Ini bermaksud ia dibolehkan dari sudut syarak. Dari sudut lain, penggunaan vaksin ke atas manusia adalah mengikut dos yang tertentu dan tidak mungkin ia diberikan jumlah dos berlebihan. Ini bertepatan dengan kedah lanjut kategori darurat dalam usul fekah iaitu 'al-darurah tuqaddaru bi qadariha' yang bermaksud hanya kadar tertentu diharuskan dalan keadaan darurat.
 
Golongan antivaksin juga sebenarnya gagal memahami maqasid syariah yang merupakan teras 'al-din al-Islami'. Kecetekan akal dalam memahami kerangka syariat adalah malang bagi umat Islam terutama golongan antivaksin yang mempengaruhi masyarakat supaya menolak pengambilan vaksin sedangkan ia selari dengan maqasid syariah 'hifz al-nafs' (menjaga nyawa/kehidupan). Penyakit yang dibenteng oleh vaksin adalah bertujuan untuk menjaga nyawa dan mengelakkan sebab yang boleh menyebabkan kematian.
 
Selain itu, pengambilan vaksin selari dengan sunnah Rasulullah SAW yang menyarankan manusia menjauhkan dari penyakit berjangkit seperti kusta dan sebagainya seperti yang berlaku pada zaman Nabi. Walau bagaimanapun, pengambilan vaksin tidaklah seharusnya sampai menafikan takdir dan ia tidak pula bertentangan dengan pegangan aqidah Islam yang meletakkan kuasa Allah SWT mengatasi segala-galanya.
 
Penulis ialah Dekan Kanan, Kolej Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang. 


Newsletter Image
BIL.60 JAN 2020