Skip to main content
UMP E-Newsletter

Akademik dan Antarabangsa

Nazratul Husna terima Anugerah Industri Dimension Bid

Nazratul Husna terima Anugerah Industri Dimension Bid

Oleh: SHALFARINA SHAHRIMAN, PENERBIT UMP

Pengalaman mengikuti pertukaran pelajar ke Turki pada dua tahun lalu menjadi kenangan paling manis buat Nazratul Husna Yatim Selamat, 23 yang berjaya menggenggam ijazah setelah menamatkan pengajian Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Teknologi Bahan pada 10 dan 11 November 2018 yang lalu di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang. 

Program pertukaran pelajar di bawah Biasiswa Mevlana, Sakarya University, Turki itu juga membuka mata dan menjadi pemangkin kepada graduan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-13 itu untuk terus berjaya menjadi ahli kimia pada suatu hari nanti.

“Saya berasa bertuah kerana terpilih dalam program berkenaan kerana pendedahan yang diterima sepanjang berada di negara Turki sangat membantu dalam pembelajaran saya.

“Saya berpeluang bertemu dengan pakar-pakar di sana dan kami berkongsi buah fikiran tentang penemuan baharu dalam bidang kimia dan sebagainya,” katanya yang pernah memenangi anugerah CITREX pada awal tahun ini.

Nazratul yang juga penerima Anugerah Kecemerlangan Dimension BID itu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang petua dan rahsia untuk mengekalkan Anugerah Dekan yang diterimanya selama enam semester berturut-turut.

Bagaimanapun, beliau hanya berpegang kepada prinsip untuk sentiasa berusaha, kuat semangat dan mempercayai kebolehan diri sendiri untuk terus meraih kecemerlangan.

Sebagai mahasiswa banyak pengalaman yang pastinya akan menjadi kenangan dan nasihatnya agar menggunakan masa sebaik-baiknya dalam menimba pengalaman kampus akan akan sentiasa dikenang apabila meningalkan kampus kelak.


Akademik dan Antarabangsa

Sikap positif dan fokus kunci kejayaan Yong Shi Yun terima Anugerah Srikandi Matahari

Sikap positif dan fokus kunci kejayaan Yong Shi Yun terima Anugerah Srikandi Matahari

Sikap positif dan fokus menjadi kunci kejayaan Yong Shi Yun, 24 penerima Anugerah Srikandi Matahari pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-13 yang berlangsung pada 10 dan 11 November 2018 yang lalu di Dewan Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang.  

Beliau yang berasal dari Ipoh, Perak menganggap pelbagai rintangan yang dihadapinya sepanjang tempoh pembelajaran sebagai satu memori yang akan dikenang sepanjang hidupnya.

“Saya sentiasa positif dalam apa juga keadaan termasuk menghadapi cabaran dalam pembelajaran dan ia membolehkan saya menyelesaikan permasalahan yang dihadapi dengan mudah. 

“Bagi saya, sikap positif itu penting dan harus menjadi amalan semua supaya segala yang dirancang dapat diselesaikan, walaupun cabarannya amat besar,” katanya. 

Shi Yun juga sempat berkongsikan pengalaman manisnya apabila berjaya menghasilkan projek terakhir menerusi penghasilan Aplikasi IOT Weighing Scale untuk  kegunaan menilai berat badan dan dapat memantau tahap kesihatan  seseorang.
 
“Inilah antara rintangan paling besar yang terpaksa saya lalui kerana ianya  juga melibatkan kemahiran dalam menggunakan  beberapa perisian program. 

“Namun berkat kesabaran dan sokongan rakan-rakan mampu menyelesaikanya dan banyak perkara yang saya dapat belajar,” katanya.
 
Ujarnya lagi, semasa di kampus beliau juga turut menyandang beberapa jawatan iaitu  sebagai setiausaha bagi Mandarin Language Society (MLS) dan UNESCO Club UMP. 

Shi Yun yang  menamatkan pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) di UMP itu  kini bertugas sebagai Jurutera di Intel Corporation.

Tambah anak pasangan Yong Siew Kee,57 dan Chan Yoke Fong, 54 beliau sudah menetapkan sasaran untuk berjaya cemerlang dalam pelajaran dan amat gembira apabila  memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif  3.85 dan mengenggam segulung ijazah.
 
Katanya, sepanjang penganjuran pelbagai program di UMP, antara perkara yang amat mencabar adalah mendapatkan penyertaan semasa penganjuran program-program yang dianjurkan di UMP Pekan. 

“Namun ianya mengajar erti kesabaran dan kreatif dalam memberikan komitmen terhadap tugasan yang diberikan dengan mempelbagaikan inisiatif dalam memastikan program berjalan lancar,” ujar beliau. 


Akademik dan Antarabangsa

Timothy cemerlang bijak urus masa

Timothy cemerlang bijak urus masa

Oleh: SHALFARINA SHAHRIMAN, PENERBIT UMP

Bijak menguruskan masa dan bersikap optimis merupakan kunci kejayaan penerima Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita, Douglas Timothy Tan Choon Chen, 24, pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-13 yang diadakan pada 10 dan 11 November 2018 yang lalu di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang. 

Penerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) itu berkata, beliau sering memanfaatkan masa yang terluang dengan mengulangkaji pelajaran ataupun membuat perbincangan bersama rakan sekuliah. 

“Cemerlang dalam akademik membolehkan beliau menerima Anugerah Dekan bagi tujuh semester berturut-turut.

“Kita harus bersikap merendah diri supaya mudah menerima ilmu yang disampaikan dan jangan bersikap ego serta merendahkan orang lain hanya semata-mata berasa diri sudah pandai.

“Sebab itulah saya lebih suka untuk berbincang dengan rakan-rakan kerana mahu mendengar buah fikiran mereka dan latihan seperti ini dapat menjadikan saya lebih mudah mengingati fakta,” katanya yang kini bekerja sebagai Jurutera Elektrik di sebuah syarikat swasta di ibu negara.

Timothy yang juga anak kepada pasangan guru ini berkata, selain belajar, beliau juga sering bermain bola keranjang pada masa lapang sebagai aktiviti fizikal.  

“Saya suka bermain bola keranjang kerana merasakan aktiviti ini dapat menyihatkan tubuh badan dan memberi keyakinan kepada saya dalam semua aspek harian,” katanya.


Akademik dan Antarabangsa

Hong Wai Siang terima Anugerah Sapura Industrial

Hong Wai Siang terima Anugerah Sapura Industrial

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT
 
Kesusahan bapa bekerja sebagai buruh binaan membakar semangat buat Hong Wai Siang, 24, untuk belajar dengan lebih gigih dan tidak menyangka usahanya selama ini membuahkan hasil apabila dinobatkan penerima Anugerah Kecemerlangan Sapura Industrial Berhad pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-13 pada 10 dan 11 November 2018 yang lalu di UMP Kampus Gambang. 
 
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) itu ketika ditemui berkata, kepayahan hidup mereka sekeluarga menyedarkannya untuk terus belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya. 

Bapanya, Hong Bong Leong, 54, bekerja sebagai buruh binaan bagi menyara mereka empat beradik, manakala ibu, Ting Mee Ing, 48, seorang suri rumah.
 
"Ibu bapa saya tidak pernah menunjukkan kesusahan dan tanpa berputus asa mendidik sehingga menjadi individu yang baik bukan sahaja dalam pelajaran malah keperibadian diri. 

“Mereka sanggup memerah kudrat hanya untuk memastikan segala keperluan kami adik beradik tercapai," katanya.
 
Graduan yang berasal dari Lumut, Perak ini bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera dan mampu mengubah nasib keluarganya. 

Tambah beliau lagi, dalam mendepani arus globalisasi yang kian mencabar ini, seorang graduan itu harus bijak dalam berkomunikasi, berfikiran kritikal dan mampu menyelesaikan sesuatu masalah.

Tambahnya, seorang graduan itu seharusnya mempunyai sikap berdikari, tahu merancang masa dan mampu menghadapi cabaran.
 
Hong Wai Siang merupakan antara 2,773 graduan yang menerima ijazah dalam Majlis Konvokesyen UMP Ke-13.


Akademik dan Antarabangsa

Anugerah ini hadiah untuk ayah dan ibu – Norlinda

Anugerah ini hadiah untuk ayah dan ibu – Norlinda

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Tiada apa yang lebih mengembirakan hati seorang graduan apabila ibu bapa dapat hadir menyaksikan mereka menerima ijazah dalam majlis konvokesyen setelah berhempas pulus menamatkan pengajian. 

Walau bagaimanapun, situasi itu tidak terjadi kepada Norlinda Adsun, 23, graduan Fakulti Pengurusan Industri yang terpilih menerima Anugerah Kecemerlangan Soho Niaga dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-13 di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang pada 10 dan 11 November 2018 yang lalu. 

Anak petani dari Kudat, Sabah ini terpaksa redha dengan ketentuan ilahi apabila bapanya Adsun Santi, 69, disahkan mengidap strok dan menyebabkan lumpuh separuh badan sejak setahun yang lalu manakala ibunya, Sinulihing Bahood, 55, perlu menjaga bapanya sepenuh masa.

“Kejayaan saya pada hari ini diharapkan dapat mengembirakan ibu bapa saya. Saya sentiasa berharap agar ayah sihat sepenuhnya dan dapat meraikan kejayaan saya semasa konvokesyen, namun saya redha ujian ini," ujarnya. 

Anak bongsu daripada empat orang adik-beradik berkata, kesusahan hidup bukanlah penghalang buat beliau untuk berjaya.
“Saya sentiasa cuba seimbangkan penglibatan kokurikulum agar ianya tidak menganggu waktu akademik. Sekiranya ianya menganggu beliau akan memastikan tugasan akademik akan disiapkan terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti luar,” tambah beliau yang juga  penerima Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak tahun kedua pengajian di universiti.

Memegang falsafah ‘strive not to be a success but rather to be value’ Norlinda berkata, persekitaran yang positif, membina serta mengembirakan banyak memberi kesan untuk mencapai kejayaan. 

“Untuk berjaya seorang mahasiswa itu perlu pandai mencipta peluang yang ada. Jangan pernah berputus asa dan sentiasa berfikir untuk mencari pengalaman selagi boleh,” katanya.

Beliau yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan Projek dengan Purata Nilai Gred Komulatif (PNGK) 3.72 juga merupakan pemenang bagi Pertandingan Kaligrafi UMP Kategori Non-Chinese 2016/2017.


Akademik dan Antarabangsa

Kee Keing Lee anak nelayan raih Hadiah Kecemerlangan BASF Petronas Chemicals

Kee Keing Lee anak nelayan raih Hadiah Kecemerlangan BASF Petronas Chemicals

Oleh: NORHIDAYAH MOHAMAD, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia, Kee Keing Lee, 24, menerima Hadiah Kecemerlangan BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd. pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-13 pada 10 dan 11 November 2018 yang lalu di Kompleks Sukan  UMP Kampus Gambang.

Bagi anak kelahiran Teluk Intan Perak ini, kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha dan  berani untuk mengambil risiko dalam memajukan diri di samping mencari dan memperbaiki kelemahan diri. 

Selain itu, pengurusan diri dan masa harus dibentuk supaya perkara yang menjadi keutamaan tidak terjejas.

Pastinya ibu dan ayah menjadi penguat semangat apatah lagi melihat kerja keras ayahya, Kee Cheng Peng, 51, membanting tulang sebagai nelayan di Teluk Intan, Perak. 

Manakala ibunya sebagai suri rumah sepenuh masa menjadi pembakar semangat untuk beliau terus berusaha bagi berbakti kepada kedua orang tuanya.

“Banyak kenangan manis yang tidak dapat dilupakan semasa menuntut di UMP. 

“Banyak juga pengalaman  ketika saya terlibat dalam menjayakan program universiti seperti Pahang Engineer;s Run, Hari Karnival Kerjaya UMP bersama SL1M, Misi kemanusiaan di Kemboja dan menyempurnakan tanggungjawab sebagai Presiden Kelab, Majlis Perwakilan Pelajar dan Exco,” katanya.

Anak sulung dari empat adik-beradik ini juga menerima Anugerah Dekan bagi setiap semester.  

Sebagai anak sulung, beliau harus berusaha lebih untuk meringankan beban keluarga. Ibu bapa adalah pendorong utama dalam kejayaannya sehingga kini. 

Sokongan tanpa henti membuatkan beliau lebih bersemangat berusaha untuk membina kerjaya yang boleh membanggakan keluarga suatu hari nanti.


Akademik dan Antarabangsa

Tai Jia Yee anak tunggal rangkul Anugerah Emas

Tai Jia Yee anak tunggal rangkul Anugerah Emas

Oleh: NOR HIDAYAH MOHAMAD, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Nekad tidak mahu membebankan ibunya yang juga ibu tunggal, Tai Jia Yee belajar bersungguh-sungguh dan sentiasa ingat pesan ibunya telah mendorong kejayaan beliau merangkul Anugerah Emas Universiti pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-13 dengan meraih Purata Nilai Gred Kumulatif 3.84.

Menurut graduan Diploma Sains Komputer dari Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP) itu, beliau memang mengutamakan masa untuk belajar dengan tekun dan kini sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah dalam bidang Sains Komputer di UMP.

Anak tunggal yang berasal dari Kota Bharu Kelantan ini aktif dalam kokurikulum.  

Selain cemerlang akademik, beliau turut aktif dalam pelbagai persatuan dan program yang dianjurkan oleh universiti.

Bagi ibunya Lee Whai Leng, 50, yang bekerja sebagai jurusolek beliau berkerja keras bagi memastikan anak tunggalnya berjaya menghabiskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. 

“Saya bersyukur dan gembira atas anugerah yang diterima oleh anak saya. Semoga  dia terus cemerlang hingga menamatkan pengajiannya nanti,” katanya.

Tai Jia Yee menyimpan hasrat untuk menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya suatu hari nanti.

 

Akademik dan Antarabangsa

Nurhuda Dini terima Hadiah Kecemerlangan Industri Setegap Ventures

Nurhuda Dini terima Hadiah Kecemerlangan Industri Setegap Ventures

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Nurhuda Dini Faridon, 21, dari Rawang, Selangor tidak pernah menyangka akan terpilih sebagai penerima Hadiah Kecemerlangan Setegap Ventures Petroleum Sdn. Bhd. sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-13 di Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang pada 10 dan 11 November 2018 yang lalu.

Beliau yang menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Komulatif (PNGK) 3.57 kini tetap memilih UMP bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia.

Berpegang kepada prinsip tidak mudah berputus asa dalam kehidupan kerana di sebalik kepayahan pasti ada kemanisan  menjadikan bapanya, Faridon Talib, 55, dan ibunya Hasbah Abdullah@Joned, 53, pendorong terbesar dalam kehidupannya.

“Saya menjadikan ibu bapa sebagai sumber insipirasi saya untuk berjaya pada hari ini. 

“Selain itu amat menghargai didikan datuk dan nenek di kampung yang membesarkan saya sejak kecil,” katanya.

“Perancangan masa amat penting bagi seimbangkan antara akademik dan kokurikulum. Oleh itu, beliau akan memastikan akan membuat nota di softboard bagi memudahkan untuk memberi tumpuan kepada pelajaran,” ujar graduan Diploma Kejuruteraan Kimia (Loji Proses) dari Fakulti Kejuruteraa Kimia & Sumber Asli (FKKSA) ini. 

Jelas beliau lagi, beliau akan memastikan tiada tugasan yang akan dibuat pada saat akhir di samping sering bertanya kepada pensyarah sekiranya kurang pasti. 

Nurhuda Dini atau lebih disapa dengan panggilan Dini berkata, seorang mahasiswa itu perlu mempunyai keyakinan diri, sentiasa peka, bertanggungjawab, menghormati orang lain serta bijak menguruskan masa. 

“Saya mengambil contoh dalam menyiapkan tugasan secara berkumpulan, setiap ahli kumpulan seharusnya wajar dan peka serta cakna mengenai bidang tugasan dan format dalam menyiapkan tugasan yang diberikan,” katanya. 


Akademik dan Antarabangsa

Adik dan abang berkongsi kejayaan di pentas konvokesyen

Adik dan abang berkongsi kejayaan di pentas konvokesyen

Pasangan adik-beradik melakar sejarah manis apabila berkongsi pentas dan kegembiraan selepas masing-masing menerima Ijazah Sarjana Kejuruteraan dengan Keusahawanan pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-13 pada 10 dan 11 November 2018 yang lalu di Dewan Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang. 

Mereka adalah Ahmad Fakhruddin Ahmad Faudzi, 29 dan adiknya Norul Solihah Ahmad Faudzi, 27 yang berasal dari Terengganu.

Fakhruddin yang kini bertugas sebagai Pensyarah Teknikal di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Kemaman manakala Norul Solihah pula bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Imtiaz, Terengganu. 

Ketika ditemu bual, kedua-duanya melahirkan perasaan gembira  dan terharu dengan kejayaan ini.

Ujar Fakhruddin, kejayaan hari ini juga adalah berkat doa daripada ibu bapa mereka yang banyak berkorban untuk mereka selama ini. 

Beliau mula mengikuti pengajian di peringkat Diploma Kejuruteraan Kimia (Loji Proses) di UMP pada tahun 2007 dan kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia pada tahun 2010. 

Pada masa yang sama, Solihah turut menjejaki langkahnya untuk menyambung pengajian di UMP sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda.

“Setelah kami memperoleh pekerjaan, kami berdua bersepakat untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana pula. 

Walaupun kedudukan tempat tinggal kami berjauhan di antara  Setiu dan Kemaman, namun tidak menghalang kami untuk menghadiri sesi kuliah di UMP. 

Saya akan menunggu Solihah yang menaiki bas ke Kemaman dan kami akan sama-sama ke UMP,” katanya.

Beliau dan adik masing-masing bekerja keras untuk cemerlang dalam pelajaran dan gembira akhirnya berjaya mencapai cita-cita yang diidamkan.

Manakala Solihah pula berkata, ianya merupakan anugerah yang terindah dalam dirinya apabila berjaya mengecapi kejayaan ini. 

Meskipun sedang sarat mengandung, beliau tidak akan melepaskan peluang ini bagi memastikan impiannya menaiki pentas konvokesyen tercapai.

Solihah turut mengimbas kembali kenangannya bersama abangnya dan mereka selalu berbincang dan mengulang kaji pelajaran bersama.

Ujarnya, bukan mudah untuk bergelar sebagai seorang pekerja dan status seorang pelajar pada masa yang sama.

Dengan tugasan hakiki, mereka perlu pandai memberikan masa antara tugasan dan pelajaran. Memang sukar untuk digambarkan perasaan selama dua tahun berulang-alik  berakhir dengan detik manis yang dapat diraikan bersama keluarga.

Beliau  juga ingin mengucapkan terima kasih kepada abangnya, keluarga dan pensyarah yang banyak membantu dan memberi dorongan. 


Akademik dan Antarabangsa

Kecacatan bukan halangan Muhammad Zabri untuk capai kejayaan 

Kecacatan bukan halangan Muhammad Zabri untuk capai kejayaan 

Oleh: SIRI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Meskipun terpaksa menggunakan kaki palsu untuk berjalan namun itu ianya tidak sedikit pun mematahkan semangat buat Muhammad Zabri Abu Bakar, 32, untuk menamatkan pengajian Sarjana Kejuruteraan Elektrikal dan bergraduasi sempena Majlis Konvokesyen Ke-13 Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 10 dan 11 November 2018 yang lalu.  

Beliau menggunakan kaki palsu sejak tahun 2004 akibat terlibat dalam kemalangan sewaktu menuntut di Melaka. 

Katanya, akibat kemalangan tersebut kakinya tidak dapat diselamatkan kerana mengalami kecederaan yang serius sehingga terpaksa mengunakan alat sokongan.

“Kecacatan ini bukanlah penghalang untuk saya berjaya dan mencapai cita-cita menjadi seorang pensyarah, malah kecacatan ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk berusaha,” ujar beliau.  

Berpegang teguh pada prinsip tidak ingin menyusahkan orang lain, Zabri menganggap kehidupan ini suatu perjuangan. 

Beliau gembira dengan kejayaannya mengharungi tiga tahun pengajian meskipun berdepan pelbagai rintangan. 

“Saya berasa amat gembira kerana  akhirnya dapat mengenggam segulung ijazah sarjana walaupun melalui pelbagai perit getir. Segala usaha dan penat jerih saya akhirnya membuahkan hasil,” katanya. 

Menurut anak kedua daripada sembilan adik-beradik itu, keluarga terutamanya isteri dan anak-anak merupakan sumber kekuatan dan pendorong paling istimewa dalam apa jua yang dikecapinya kerana tanpa mereka yang memberikan semangat di samping minat yang mendapat beliau tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat ini.

Walaupun berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU), Zabri berharap agar golongan yang senasib dengannya tidak mudah berputus asa serta belajar untuk berpijak atas kaki sendiri tanpa mengharapkan pertolongan orang lain. 

Anak jati Pekan, Pahang ini berharap agar dapat menjadi seorang pensyarah suatu hari nanti. Beliau kini bertugas sebagai guru ganti di Sekolah Kebangsaan Pahang Tua.


Akademik dan Antarabangsa

Tiga beradik kongsi kenangan manis bergraduasi di UMP

Tiga beradik kongsi kenangan manis bergraduasi di UMP

Tiga beradik berkongsi kenangan manis apabila dianugerahkan ijazah sarjana dan diploma dalam bidang masing-masing sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Ke-13 (UMP) yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang pada 10 dan 11 November 2018 yang lalu. 

Mendapat sokongan ayah dan ibu mereka, Pothorajoo Sanasee, 58 dan Appalarasie Subramaniam, 52, ketiga-tiga beradik ini ialah Satish Rao Pothorajoo, 27, Loshyini Devi Pothorajoo, 25 dan Tarshwini Devi Pothorajoo, 21 memilih UMP sebagai destinasi pengajian tinggi mereka.

“Dorongan ayah memberikan kami suntikan semangat antara satu sama lain menjadi tunjang utama kejayaan saya dan adik merangkul Ijazah Sarjana dan diploma bersama pada majlis konvoksyen yang sama,” ujar Satish Rao Pothorajoo sebagai abang yang sulung yang menamatkan pengajian Sarjana Sains.

Bagi adiknya, Loshyini Devi Pothorajoo, beliau pada awalnya menyambung pengajiannya di peringkat diploma dan Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE). 

Kemudian mengikuti jejak langkah abangnya menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam jurusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan berjaya menamatkan pelajaran serentak bersama abangnya. 

Manakala adiknya, Tarshwini Devi Pothorajoo menerima Diploma Kejuruteraan Elektrik (Elektronik Industri) pada majlis konvokesyen ini.

“Sudah semestinya ianya merupakan satu kenangan manis kepada diri saya malah buat seisi keluarga. 

Ayah selalu berpesan jangan sia-siakan peluang ada. Cukuplah dahulu ayah dan ibu tidak berpeluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat universiti,” kata Satish.

Sementara itu, menurut Pothorajoo, beliau sentiasa menyokong hasrat anak-anaknya untuk menyambung pengajian dan kejayaan ini adalah usaha mereka selama ini. 

Beliau tidak pernah lelah memberikan sokongan dan motivasi pada anak-anaknya untuk menimba ilmu di universiti ini.


Akademik dan Antarabangsa

Pelajar sekolah melawat galeri UMP dan sertai program STEM

Pelajar sekolah melawat galeri UMP dan sertai program STEM

Oleh: NUR SA’ADATUL AFZAN JUSOH, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Program Street Science@Gallery anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI) yang telah diadakan pada 10 November 2018 yang lalu mampu menyuntik kecenderungan pelajar sekolah untuk meminati bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Selain menyaksikan produk penyelidikan, arkib sejarah universiti dan koleksi gambar kecemerlangan universiti di galeri, pelajar berpeluang menyertai aktiviti sains dalam program Street Science@Gallery yang diadakan bersempena Expokonvo UMP. 

Program itu melibatkan seramai sepuluh orang mahasiswa fakulti sebagai fasilitator dan 31 orang pelajar Tahun 4 dan 5 dari Sekolah Kebangsaan Wira, Kuantan.

Menurut Pengarah Program, Mohd Faizul Nazrie, pemilihan aktiviti yang dijalankan pada kali ini memberi pendedahan awal terhadap pelajar sekolah mengenai STEM. 

“Peserta aktiviti dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk memudahkan kaedah penyampaian dan mendapat bimbingan fasilitator.

“Pada kali ini, aktiviti yang diadakan berkonsepkan Do It Yourself (D.I.Y) yang mana setiap pelajar diberi peluang untuk menjalankan sendiri eksperimen sementara fasilitator bertindak sebagai penasihat. Mereka sangat teruja dan menunjukkan reaksi serta maklum balas yang baik,” katanya.

Beliau berharap peserta dapat berkongsi ilmu yang mereka peroleh pada hari ini dengan rakan-rakan di sekolah. 

Antara aktiviti yang telah dijalankan termasuklah Math Race and Puzzle, Lets Recycle, Fire Fact dan Science Fun.

Melalui aktiviti ini juga pelajar diuji dengan kemahiran Matematik dan pengetahuan Sains manakala aktiviti Lets Recycle pula , pelajar dibekalkan dengan kertas dan plastik dan diajar untuk menghasilkan tali. 

Aktiviti yang paling digemari adalah slot Science Fun iaitu pelajar dapat mempelajari cara menghasilkan dakwat, menghasilkan aiskrim dengan menggunakan garam dan ais kering dan lava gunung berapi.

Bagi guru pengiring, Norulhuda Legiman, beliau berharap agar aktiviti STEM seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan dapat menggalakkan pelajar sekolah untuk turut serta mencuba dan membina keyakinan diri.
“Selain itu, pendedahan yang diterima pelajar dalam aktiviti hari ini mungkin tidak didapati di sekolah memandangkan kekangan peralatan serta bahan di makmal,” katanya.  

Aktiviti   berakhir dengan sesi penyampaian cenderamata dan bergambar kenangan di dalam Galeri sebagai kenang-kenangan.


Akademik dan Antarabangsa

Pahang Hackathon beri pendedahan pelajar sekolah tentang sistem elektronik  

Pahang Hackathon beri pendedahan pelajar sekolah tentang sistem elektronik  

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Penganjuran Pahang Hackathon 2018 dilihat selaras dengan inisiatif pengukuhan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dibangunkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) terhadap pencapaian peratusan penglibatan murid dalam program berunsurkan STEM.
 
Merealisasikan hasrat ini, Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM) menjayakan Pahang Hackathon 2018 yang berlangsung di Makmal STEM, UMP Pekan pada 15 November 2018 yang lalu. 
 
Seramai 123 orang pelajar yang berumur antara sembilan hingga 16 tahun  terlibat membabitkan penyertaan sekolah bukan sahaja dari Negeri Pahang malahan sekolah  sekitar Kelantan, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
 
Menurut Pengarah Program, Ir. Dr. Nurul Hazlina Nordin yang juga merangkap Pengarah Jaringan Industri & Masyarakat berkata, program ini diadakan  untuk memberi pendedahan mengenai elektronik sistem kepada para pelajar yang mana meliputi pembangunan skill penyelesaian masalah, pendedahan kepada open-source hardware and software seperti Arduino, reka bentuk electronics embedded system serta konsep asas robotik.

“Para pelajar akan dibekalkan dengan satu set kelengkapan peranti elektronik dan satu kod pengaturcaraan asas. 

“Pelajar ini kemudiannya dikehendaki untuk mengubah suai pengaturcaraan dan peralatan elektronik tersebut (hacking) sebelum bertanding untuk menyelesaikan cabaran pertandingan,” ujar beliau.
 
Tambah beliau lagi, penubuhan Makmal Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di UMP kini dilihat mampu menarik minat para pelajar sekolah meminati bidang ini. 

Penganjuran kali ini mendapat penajaan dari Motorola Solutions Foundation serta Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
 
Hadir merasmikan program, Dekan FKEE, Profesor. Ir. Dr. Kamarul Hawari Ghazali yang turut dihadiri Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Haji Mohd Naharuddin Awang dan wakil Yayasan Bank Rakyat, Mukhti Mokhtar.

Sementara itu, bagi Mohd Syahir Irsyad,15, pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang melihat program ini mampu memberi pendedahan dan pengalaman kepada para pelajar berkenaan dengan asas mencipta robot.

Pertandingan Hackathon terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Track 1: MBlock, Track 2:Arduino dan Track 3:Lego. 

Melalui pertandingan ini, pelajar perlu membangunkan sebuah robot dan melengkapkan kod pengaturcaraan bagi membolehkan robot dapat beroperasi secara manual dan auto normal. 

Pertandingan menyaksikan kategori MBlock dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Ahmad, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mahmud Mat memenangi kategori Arduino dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang memenangi kategori Lego.


 
BIL.7 NOV 2018