Naib Canselor UMPSA santuni warga FTKEE dalam sesi Townhall perkasa TVET Termaju
PEKAN, 13 Mei 2026 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias hadir bertemu warga kerja Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dalam Sesi Townhall Naib Canselor yang berlangsung di Dewan Kuliah 1, FTKEE UMPSA Pekan baru-baru ini.
Hadir sama Penolong Naib Canselor (Strategik dan Korporat), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Penolong Naib Canselor (Pembangunan), Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad, Ketua Pegawai Digital, Pusat Pembangunan dan Teknologi Maklumat, Profesor Ts. Dr. Hamdan Daniyal dan Dekan FTKEE, Profesor Ts. Dr. Hamzah Ahmad.
Tonwhall ini merupakan satu usaha UMPSA untuk berkongsi pencapaian dan strategi universiti bagi memperkukuh hala tuju bersama warganya untuk memperkasa pendidikan TVET termaju serta meningkatkan keterlibatan UMPSA bersama industri dan rakan antarabangsa.
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, UMPSA mempunyai keunikan tersendiri dengan kekuatan kepakaran dan hubungan erat bersama industri yang perlu terus diperkasa serta dikekalkan.

“Pendekatan ini selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi dan memenuhi kehendak industri semasa,” katanya yang menjawab persoalan yang diutarakan dalam sesi ini.
Sesi tersebut menjadi platform interaktif yang menghimpunkan warga akademik dan staf untuk berkongsi pandangan, idea serta aspirasi ke arah membina ekosistem pendidikan yang lebih dinamik, relevan dan berimpak tinggi.
Turut dibincangkan ialah cabaran berkaitan penarafan reputasi majikan yang perlu ditingkatkan dan memerlukan koordinasi strategik bersama industri.
Fokus turut diberikan kepada pembangunan pelajar TVET yang kini merangkumi hampir 40 peratus daripada ekosistem pendidikan universiti.
Antara cadangan yang diketengahkan termasuklah memperkukuh kemahiran komunikasi dan bakat pelajar melalui penglibatan aktif bersama industri serta rakan antarabangsa.
Selain itu, Prpgram Work-Based Learning (WBL) juga perlu diperkasa melalui penggunaan teknologi dan aplikasi digital dalam proses penilaian pelajar serta keperluan menilai semula garis panduan WBL agar selaras dengan keperluan semasa industri.

Dari aspek fasiliti, turut dibincangkan penambahbaikan kemudahan pembelajaran termasuk naik taraf kerusi dewan kuliah demi keselesaan pelajar dan pensyarah.
Pada masa sama, pelajar disaran memainkan peranan sebagai duta universiti melalui imej, komunikasi dan pengalaman pembelajaran yang mencerminkan identiti UMPSA.
Town Hall FTKEE ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkukuh budaya kebersamaan, memperluas jaringan industri dan melonjakkan kecemerlangan TVET negara ke tahap lebih tinggi.
Dalam masa yang sama, Profesor Ts. Dr. Yatimah turut berpeluang melawat projek EduCreator Studio yang telah memenangi anugerah penarafan emas dan tempat kedua dalam Majlis Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) UMPSA 2024.
Program anjuran Pejabat Naib Canselor bersama Pusat Tanggungjawab (PTJ) ini diadakan bagi membolehkan warga memperoleh maklumat yang lebih jelas dan telus berkaitan hala tuju serta merealisasikan Agenda Pelan Strategik UMPSA 2026-2030.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 81 views
Reports by: