Pendidikan percuma merealisasikan impian pelajar berkeperluan dan OKU sambung pengajian, ubah nasib keluarga
PEKAN, 21 Januari 2026 - Pelancaran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim menandakan langkah penting dalam usaha membina negara berpaksikan kemanusiaan, dipacu matlamat untuk meningkatkan mutu pendidikan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, pengumuman Perdana Menteri terhadap pendidikan percuma ini kepada 10,000 pelajar kategori miskin melalui bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berbanding kira-kira 5,800 pelajar miskin tegar menerusi belanjawan tahun lalu pastinya memberi kegembiraan buat pelajar kategori miskin dan ibu bapa yang tidak mampu realisasikan impian anak mereka disebabkan faktor kewangan.
“Kini.terdapat sebanyak 10,000 tempat disediakan kepada pelajar miskin untuk belajar di universiti tanpa bayaran, jadi ibu bapa dan pelajar berkeperluan ini tidak perlu gusar dengan komitmen ini tiada yang akan terpinggir. Mereka berpeluang mendapat akses pendidikan sehingga ke peringkat tinggi.
“Dalam pada itu, melalui Yayasan UMPSA pelbagai bantuan turut disediakan termasuklah Insentif Kecemerlangan, Biasiswa UMPSA, Bantuan Komputer Riba, UMPSA Campus Pantry, Bantuan Zakat untuk Mahasiswa Muslim, Bantuan Sara Diri untuk Mahasiswa Non-Muslim, Bantuan Musibah dan pelbagai lagi bantuan yang disediakan buat pelajar yang memerlukan,” ujarnya.
Selain pelajar miskin tegar, Perdana Menteri turut mengumumkan kira-kira seramai 3,000 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di Universiti Awam (UA), politeknik dan kolej komuniti akan menerima pendidikan percuma yang berkuat kuasa serta-merta.
Profesor Ts Dr. Yatimah berkata, pendidikan percuma kepada pelajar OKU ini berfokus kepada penglibatan penuh pelajar sepanjang pengajian hingga bergraduat dalam ekosistem yang inklusif dan komprehensif.

“Selain itu, UMPSA turut menyediakan sokongan bukan kewangan seperti perkhidmatan pusat komuniti iaitu Hab Teknologi dan Ekosistem Inklusif (HATi), sokongan akademik, psikososial, bimbingan kebajikan serta akses kepada kemudahan dan perkhidmatan sokongan inklusif.
“Usaha ini dilaksanakan dengan pendekatan menyeluruh agar pelajar OKU bukan sahaja dapat mendaftar dan mengikuti pengajian, malah mampu menamatkan pengajian dengan jayanya.
“UMPSA berada pada tahap bersedia dan sedang diperkukuh secara berperingkat dari segi infrastruktur mesra OKU,” jelasnya.
Malah katanya, kemudahan asas seperti akses fizikal, laluan kerusi roda, lif, tandas mesra OKU serta penyesuaian ruang pembelajaran telah disediakan di bangunan-bangunan utama.
“Malahan, dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), UMPSA melalui Pusat Perkhidmatan Inklusif (PPi) dan PPDK DAMAi@UMPSA terus menambah baik kemudahan sedia ada agar selaras dengan prinsip ‘universal design’ dan keperluan sebenar pelajar OKU yang pelbagai.
“Dalam jangka panjang, inisiatif ini bakal melahirkan graduan OKU yang lebih berdaya saing, berdikari dan bersedia menyumbang kepada pasaran kerja serta masyarakat.
“Selain itu, pengumuman penambahan sebanyak 5,000 unit penginapan pelajar dan penambahbaikan pengurusan Tingkatan Enam dan Matrikulasi di KPT bermula tahun 2027 juga mampu meningkatkan kesejahteraan pelajar,” tambahnya.
UMPSA juga ujarnya, menyambut baik jaminan tempat pelajar cemerlang, pemerkasaan Mata Pelajaran Umum (MPU) dalam Bahasa Melayu dengan penekanan kepada Perlembagaan dan Sejarah Malaysia bagi membentuk graduan berilmu, berintegriti dan berjati diri nasional.
“UMPSA menyokong sepenuhnya Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 ini sebagai landasan transformasi pendidikan tinggi negara.
“Melalui pembangunan bakat berprestasi tinggi, pemerkasaan TVET termaju dan kepimpinan dalam agenda kemampanan, UMPSA komited melahirkan graduan holistik yang berdaya saing di peringkat global demi masa depan yang lestari.
“UMPSA merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir atas komitmen kerajaan memperkasa pendidikan tinggi negara dengan pelancaran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 sebagai hala tuju utama pendidikan tinggi negara bagi tempoh sepuluh tahun akan datang,” katanya.
Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 16 views