Warga UMPSA berarak dan berselawat semarakkan Sambutan Maulidur Rasul
PEKAN, 28 Ogos 2026 - Warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyemarakkan Sambutan Maulidur Rasul peringkat universiti dengan berarak menuju ke Dewan Konvokesyen, UMPSA Pekan sambil mengalunkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Perarakan yang berlangsung dalam suasana penuh meriah itu diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias bersama barisan pengurusan universiti serta 22 kontinjen yang mewakili pelbagai jabatan dan fakulti.
Penglibatan warga universiti dalam perarakan tersebut bukan sahaja menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul, malah menjadi wadah untuk memperingati keputeraan Nabi Muhammad SAW serta menyuburkan rasa kecintaan dan penghormatan terhadap Baginda.
Dalam pada itu, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh merakamkan penghargaan kepada 22 kontinjen daripada pusat tanggungjawab yang mengambil bahagian dalam perarakan tersebut.

Beliau turut berharap agar penganjuran Sambutan Maulidur Rasul ini dapat memperkukuh kecintaan mahasiswa terhadap Rasulullah SAW, di samping memperkasa warga UMPSA untuk terus menghayati dan mencontohi akhlak serta kepimpinan Baginda sebagai model ummah madani.
Turut hadir, Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) UMPSA, Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham dan Ketua Pegawai Digital, Pusat Pembangunan dan Teknologi Maklumat, Profesor Ts. Dr. Hamdan Daniyal.

Majlis turut diserikan dengan Ceramah Khas Maulidur Rasul bertajuk ‘Menyemai Cinta, Meneladani Rasulullah SAW’ yang disampaikan oleh pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz.

Sementara itu, pertandingan perarakan turut diadakan bagi memeriahkan sambutan dengan Akademi TVET Termaju dinobatkan sebagai Johan.
Jabatan Canseleri pula meraih tempat kedua, manakala Perpustakaan UMPSA berada di tempat ketiga.
Penganjuran Sambutan Maulidur Rasul peringkat universiti ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam membudayakan nilai-nilai Islam serta membentuk warga universiti yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan profesional, malah memiliki jati diri, akhlak dan nilai kemanusiaan yang tinggi.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 18 views
Reports by: