Skip to main content

Singgah Sahur UMP santuni pelajar luar kampus dan agensi

KUANTAN, 8 Mac 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan program Singgah Sahur membabitkan rumah sewa pelajar luar kampus dan beberapa agensi kerajaan di sekitar bandar Kuantan baru-baru ini. 

Sebanyak sepuluh kenderaan bersama kira-kira 30 sukarelawan KILAU UMP berkonvoi ke destinasi terpilih untuk  mengagihkan 200 bungkus juadah untuk sahur, bermula jam 10.30  malam sehingga jam 1.30 pagi.

Pengagihan juadah singgah sahur membabitkan rumah sewa pelajar di sekitar Gambang, Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota serta Balai Polis Kuantan. 

Singgah Sahur UMP santuni pelajar luar kampus dan agensi

Hadir dalam program Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Pendaftar, Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Haryani Abdullah. 

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, selain beramah mesra dengan pelajar, program ini dapat menyampaikan juadah sahur dan sumbangan Bakul Rahmah UMP buat pelajar luar kampus.

Singgah Sahur UMP santuni pelajar luar kampus dan agensi

“Dalam masa yang sama ia juga bertujuan untuk mendekati pelajar yang tinggal di luar kampus. 

“Menerusi Yayasan UMP, universiti sentiasa memberi bantuan dalam bentuk zakat, biasiswa, bantuan khas memulakan pengajian, kongsi rezeki, Food Bank UMP Campus Pantry dan bantuan kebajikan untuk pelajar.

“Tradisi murni yang dibudayakan ini diharap akan lebih mengharmonikan warga universiti yang berbilang bangsa untuk memacu usaha ke arah kegemilangan universiti,” katanya.

Dalam pada itu, kunjungan ke agensi ini juga secara tidak langsung dapat menzahirkan penghargaan kepada petugas yang menyumbang kepada negara, di samping meraikan Ramadan. 

Ketibaan kumpulan sukarelawan disambut oleh Ketua Balai Polis Kuantan, Insp. Mohd Fazli Yaakub dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, Roslan Mat Din.

Menurut Insp. Mohd Fazli, pihaknya berterima kasih atas keprihatinan UMP  melaksanakan inisiatif ini dan berharap ia diteruskan pada masa depan.

Manakala bagi Roslan program itu juga dapat mengeratkan lagi silaturahim sesama agensi di negeri ini.

Program Singgah Sahur ini dilaksanakan setiap saban tahun menjelangnya Ramadan bagi mendekati universiti bersama masyarakat seiring dengan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ dan mengangkat agenda kesukarelawanan dalam kalangan warga universiti.

Program akan diteruskan pada 14 Mac depan dengan mengedarkan sumbangan juadah sahur untuk petugas barisan hadapan. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit