Choong Wai Kit anak tukang jahit terima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang)
GAMBANG, 26 Oktober 2024 – Melihat pengorbanan ibunya ketika membesarkan beliau dua beradik, Choong Wai Kit, 24 menganugerahkan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19 buat keluarga tercinta.
Pemergian ayahnya, Choong Yoke Hon, ibunya, Yee Lai Shan, 52, seorang tukang jahit baju kurung tetap teguh dan bersemangat membesarkan beliau dan kakaknya.
Bukan itu sahaja, kakaknya, Choong Wai Teng, 26 yang bekerja sebagai Pembantu Pengurusan Operasi Jualan juga adalah penyumbang terbesar dalam kejayaannya hari ini.
Katanya, beliau tidak mahu menyusahkan ibu dan kakaknya.
“Mereka bukan sahaja banyak berkorban dari segi kewangan, tetapi juga sering memberikan saya kekuatan untuk terus melangkah maju.
“Ketika saya menjalani latihan industri di Shah Alam, keluarga dengan ikhlas menaja segala perbelanjaan saya sepanjang tempoh tersebut dan atas segala jasa dan pengorbanan mereka, saya amat menghargai dan menyayanginya sepenuh hati.
“Pada masa hadapan, saya berhasrat untuk membalas segala budi baik yang telah ibu dan kakak saya curahkan, sebagai tanda terima kasih yang tidak terhingga,” katanya.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92 tidak hanya menghabiskan masa di universiti dengan belajar, beliau turut aktif dalam berdebat dan berjaya menjadi pendebat kedua terbaik keseluruhan.
“Pasukan saya mendapat naib johan dalam 1st Piala Hou Xue Pertandingan Debat Universiti Peringkat Kebangsaan.
“Saya mula terlibat dalam dunia debat setelah menyertai Kelab Orator Bahasa Cina di universiti dengan mempelajari asas-asas debat termasuklah cara mengolah hujah dan memahami format pertandingan.
“Selepas menguasai perkara-perkara ini, saya mula menyertai pertandingan kecil untuk membina keyakinan dan mengasah kemahiran komunikasi,” ujarnya.
Dengan latihan berterusan dan kesabaran, beliau mampu untuk berfikir secara kritis serta bercakap dengan lebih lancar di hadapan orang ramai.
Bagi mengasah bakatnya, beliau pernah menyertai 2nd Piala Hou Xue Pertandingan Debat Universiti Peringkat Kebangsaan, 4th UCSI International Mandarin Online Debate Tournament 2021, dan 12th Tiong Hua Cup Intervarsity Chinese Debate Tournament Asia Pacific Open.
Selain aktif berdebat, beliau juga merupakan Ketua Bahagian Multimedia IEM UMPSA Student Section 2022, Bendahari Peng Sheng 2022, Naib Presiden Kempen Pendidikan Lanjutan ke Universiti 2022, dan Presiden Virtual Treasure Hunt 2.0: Mission Impossible.
Malah, beliau juga pernah menyertai Multimedia of Webinar ‘Working Together to Prevent Suicide’, Multimedia of Webinar ‘Let’s Stop Body Shaming’, Multimedia of AutoCAD Drawing Competition 1.0, Multimedia of Career Talk, Multimedia of Effective E-mail Writing, Multimedia of National Summit, dan Malam Kebudayaan Cina UMPSA 2023.
Dalam Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (CITREX) 2024, beliau pernah memperoleh pingat perak.
Anak kelahiran Ipoh, Perak itu berpendapat semua kemudahan, pembelajaran dan tenaga pengajar, yang disediakan oleh UMPSA, semuanya telah dirancang dengan baik untuk memastikan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh.
“UMPSA menyediakan fasiliti moden dan lengkap seperti makmal yang canggih, perpustakaan yang luas dan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
“Dari segi pembelajaran, kurikulum yang disusun rapi selaras dengan keperluan industri semasa, membekalkan pelajar dengan ilmu teori dan praktikal.
“Tenaga pengajar pula terdiri daripada pensyarah berpengalaman dan pakar yang profesional dalam bidang masing-masing, yang sentiasa berdedikasi dalam memberikan bimbingan terbaik kepada para pelajar,” jelasnya lagi.
Selain itu, katanya, nilai kesediaan untuk mencuba, meneroka perkara baharu dan keyakinan diri yang dimiliki oleh graduan UMPSA merupakan kelebihan yang memberi impak besar kepada perkembangan kerjaya mereka.
“Melalui pendekatan pembelajaran yang holistik dan kokurikulum yang dirancang dengan baik, pelajar digalakkan untuk keluar dari zon selesa dan berani mencuba pelbagai peluang, sama ada dari segi pengetahuan, kemahiran, atau aktiviti kokurikulum.
“Ini termasuklah penglibatan dalam projek-projek inovatif, aktiviti sosial serta penerokaan idea-idea baharu yang membantu mengasah pemikiran kritis dan menyelesaikan masalah.
“Keyakinan yang dibina melalui pengalaman ini menjadikan graduan UMPSA lebih fleksibel, berdaya tahan, dan bersedia untuk menghadapi cabaran dalam persekitaran kerja yang kompetitif serta sentiasa berubah,” ujarnya.
Menurut Choong Wai Kit, kesediaan mereka untuk menghadapi perkara baharu dengan fikiran terbuka dan keinginan untuk terus belajar memastikan mereka sentiasa relevan dan mampu bersaing dalam pasaran kerja.
“Contohnya, saya sendiri pernah diberi kepercayaan mengetuai acara Virtual Treasure Hunt 2.0: Mission Impossible yang merupakan acara utama bagi IEM UMPSA Student Section dan merupakan kali pertama saya merancang keseluruhan acara.
“Dengan usaha setiap ahli, acara tersebut berjaya dianjurkan dengan baik yang melibatkan lebih daripada 210 orang peserta daripada lebih 20 institusi dan universiti yang berbeza dan menjadikannya acara dengan penyertaan terbanyak dalam beberapa tahun kebelakangan ini bagi IEM UMP Student Section.
“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan masalah, prinsip hidup saya adalah sentiasa berfikiran positif,” ujarnya sambil mengukirkan senyuman.
Malah beliau juga percaya bahawa dalam setiap situasi sukar adalah penting untuk tidak sekali-kali berputus asa.
“Sebaliknya, kita perlu menilai keadaan dengan bijaksana, mengambil kira kemungkinan terbaik dan terburuk yang boleh berlaku.
“Dengan merancang strategi untuk kedua-dua senario ini, saya dapat bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan yang muncul.
“Kehidupan sering kali tidak berjalan seperti yang kita jangkakan, oleh itu, bersedialah untuk menghadapi pelbagai keadaan bukan sahaja membantu saya mengurangkan risiko kegagalan, tetapi juga meningkatkan keyakinan diri saya,” katanya.
Ternyata pendekatan itu berjaya membentuk dirinya untuk menjadi seorang yang lebih matang dan bersedia dalam menempuhi liku-liku kehidupan dengan lebih tenang.
Setelah tamat konvokesyen, beliau berhasrat untuk mencari pekerjaan di Singapura dan kini telah menerima beberapa tawaran sebagai Jurutera Proses.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 148 views