Dini Terima Hadiah Kecemerlangan Industri Setegap Ventures
Kuantan, 16 November – Nurhuda Dini Faridon, 21, dari Rawang, Selangor tidak pernah menyangka akan terpilih sebagai penerima Hadiah Kecemerlangan Setegap Ventures Petroleum Sdn. Bhd. sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) ke-13 di Kompleks Sukan, Gambang baru-baru ini.
Beliau yang menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Komulatif (PNGK) 3.57 kini tetap memilih UMP bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di UMP.
Berpegang kepada prinsip tidak mudah berputus asa dalam kehidupan kerana disebalik kepayahan pasti ada kemanisan menjadikan bapanya, Faridon Talib,55, dan ibunya Hasbah Abdullah @ Joned,53, pendorong terbesar dalam kehidupannya.
“Saya menjadikan ibu bapa sebagai sumber insipirasi saya untuk berjaya pada hari ini. Selain itu amat menghargai didikan datuk dan nenek di kampung yang membesarkan saya sejak kecil ” katanya.
Graduan Diploma Kejuruteraan Kimia, berkata perancangan masa amat penting bagi seimbangkan di antara akademik dan kokurikulum. Oleh itu, beliau akan memastikan akan membuat nota di softboard bagi memudahkan untuk memberi tumpuan kepada pelajaran.
“Saya akan memastikan tiada tugasan yang akan dibuat pada saat akhir di samping sering bertanya kepada pensyarah sekiranya kurang pasti,” tambah beliau.
Nurhuda Dini atau lebih disapa dengan panggilan Dini berkata, seorang mahasiswa itu perlu mempunyai keyakinan diri, sentiasa peka, bertanggungjawab, menghormati orang lain serta bijak menguruskan masa. Mengambil contoh dalam menyiapkan tugasan secara berkumpulan berkata setiap ahli kumpulan seharusnya wajar dan peka serta cakna mengenai bidang tugasan dan format dalam menyiapkan tugasan yang diberikan.
Disediakan Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 115 views