EKSA sebagai Pemangkin ESG: Ke Arah Kelestarian Ekosistem di UMPSA
Dalam era transformasi organisasi pada marcapada, operasi kini beralih ke arah pendekatan yang lebih mampan dan bertanggungjawab, sejajar dengan prinsip Environmental, Social dan Governance (ESG) yang menitikberatkan tadbir urus yang cekap dan telus. ESG, yang merujuk kepada Environment, Social dan Governance ialah satu rangka kerja yang digunakan untuk menilai keberkesanan sesebuah organisasi dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap alam sekitar (environment), kesejahteraan sosial (social) dan tadbir urus yang beretika (governance).
ESG tidak hanya relevan kepada sektor korporat, malah turut melibatkan institusi pendidikan tinggi sebagai agen perubahan yang bertanggungjawab melaksanakan prinsip ESG dalam fungsi utamanya. Sebagai sebuah universiti yang komited terhadap pelaksanaan ESG, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyokong ESG dengan mengintegrasikan prinsip-prinsip ini dalam setiap aspek operasinya, seperti pendidikan, pentadbiran, dan pembangunan komuniti.
Dalam konteks ini, pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) menjadi satu langkah strategik yang mendukung pelaksanaan ESG di UMPSA. Pembudayaan EKSA di UMPSA bukan sahaja memperkukuh persekitaran kerja yang kondusif dan teratur, tetapi juga menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, kesejahteraan sosial, dan amalan tadbir urus yang lebih berkesan, menjadikan EKSA sebagai pendorong utama untuk mencapai matlamat ESG di universiti ini.
Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) yang diperkenalkan pada tahun 2014 ialah satu inisiatif untuk mempertingkatkan imej korporat, menggalakkan amalan hijau serta mendorong kreativiti dan inovasi. Inisiatif ini juga bertujuan mencipta kualiti persekitaran kerja yang kondusif dan memperkukuhkan kepelbagaian agensi sektor awam. EKSA dilaksanakan di setiap jabatan dan agensi sektor awam bagi mempraktikkan amalan yang dapat meningkatkan kreativiti, inovasi dan daya saing dalam kalangan warga kerjanya. Melalui amalan dan pembudayaan EKSA di UMPSA, prinsip ESG dapat diterapkan secara berkesan bagi meningkatkan kesedaran warganya mengenai tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar, sosial, dan tadbir urus.
Aspek Alam Sekitar (Environment)
Sebagai langkah pertama, EKSA telah memainkan peranan penting dalam menyokong kelestarian alam sekitar di UMPSA melalui pelbagai inisiatif yang melibatkan seluruh warga universiti. Menerusi aspek alam sekitar, antara kejayaan pembudayaan EKSA di UMPSA adalah penglibatan aktif setiap jabatan dalam melaksanakan aktiviti yang mendukung prinsip kelestarian. Sebagai contoh, di Pusat Bahasa Moden, pelbagai program berkaitan alam sekitar telah dianjurkan, seperti Hari Kitar Semula, Gotong-royong Perdana dan juga Program Kelestarian EKSA melalui aktiviti penanaman pokok di Rimba Komuniti UMPSA.
Sementara itu, Perpustakaan UMPSA terus unggul dengan pelbagai aktiviti kreatif seperti Butik Preloved, Give and Sale (PGS), Waste4Fine, dan Projek Hijau, yang bukan sahaja menyokong kelestarian, tetapi juga menggalakkan amalan hijau dalam kalangan warga universiti. Dengan inisiatif-inisiatif tersebut, EKSA di UMPSA bukan sahaja memperkukuh usaha kelestarian alam sekitar, tetapi juga mencipta kesedaran dan amalan yang lebih bertanggungjawab dalam kalangan warganya terhadap alam sekitar serta memberikan contoh yang baik kepada generasi akan datang dalam usaha menjaga kelestarian bumi.
Aspek Sosial (Social)
Pembudayaan EKSA di UMPSA juga memainkan peranan penting dalam menyokong prinsip sosial ESG melalui inisiatif yang melibatkan penyertaan warga universiti dan komuniti setempat. Sebagai salah satu usaha signifikan, Pusat Bahasa Moden berjaya menganjurkan aktiviti khidmat komuniti Kempen Pelupusan Mashaf dan Bahan Bercetak Teks al-Quran. Kempen ini mencatat kejayaan besar dengan sebanyak 3,873 kilogram bahan bercetak teks al-Quran berjaya dikumpulkan dari sekolah-sekolah serta komuniti sekitar Kuantan dan Pekan untuk tujuan pelupusan. Pada masa yang sama, kempen ini turut memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat setempat, memberi peluang kepada komuniti untuk melaksanakan pelupusan bahan bercetak al-Quran mengikut kaedah yang betul, sekali gus meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab bersama dalam menjaga kesucian mashaf al-Quran.
Usaha ini bukan sahaja memupuk semangat kerjasama dan rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan warga universiti tetapi juga membina jaringan hubungan yang baik antara UMPSA dan komuniti luar. Pembudayaan EKSA yang berteraskan prinsip sosial ESG menjadi platform yang kukuh bagi UMPSA untuk melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi, mengintegrasikan nilai-nilai murni dan tanggungjawab sosial dalam setiap lapisan operasinya. Dengan usaha ini, UMPSA bukan sahaja berperanan sebagai pusat kecemerlangan akademik, tetapi juga sebagai agen perubahan yang aktif menyumbang kepada kesejahteraan sosial.
Aspek Tadbir Urus (Governance)
Tadbir urus ESG menekankan kepentingan pentadbiran yang telus, bertanggungjawab dan beretika. Pembudayaan EKSA di UMPSA selari dengan prinsip ini dengan memastikan pengurusan pentadbiran dilaksanakan secara sistematik dan teratur, dan berpandukan prinsip tadbir urus yang baik. Melalui EKSA, UMPSA menggalakkan pelaksanaan amalan terbaik dalam pengurusan organisasi termasuk penambahbaikan sistem dokumentasi, pengurusan rekod yang cekap dan pematuhan terhadap polisi serta prosedur standard yang telah ditetapkan. Pelaksanaan EKSA turut menyokong penilaian berterusan terhadap keberkesanan tadbir urus melalui audit dalaman berkala seperti yang dinyatakan dalam Borang Audit Amalan EKSA berdasarkan kriteria penilaian yang menyeluruh. Ini merangkumi pengurusan sumber, kebersihan persekitaran dan kepatuhan dokumentasi yang menjadi asas dalam menilai amalan EKSA di setiap zon EKSA UMPSA. Sebagai contoh, setiap zon EKSA di universiti ini mempunyai Jawatankuasa Latihan yang bertanggungjawab memberikan pendedahan dan bimbingan kepada warganya melalui pelbagai inisiatif seperti kursus, bengkel dan sesi perkongsian amalan terbaik. Daya usaha ini bukan sahaja memastikan pematuhan terhadap prinsip tadbir urus yang baik tetapi juga membantu memperkukuh budaya kerja yang cekap dan berkesan. Keadaan ini tentunya meningkatkan imej korporat UMPSA sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang komited terhadap pengurusan yang beretika, mampan dan profesional. Hal ini sekali gus mengukuhkan kedudukan universiti sebagai model institusi yang mengamalkan tadbir urus berkualiti tinggi, sejajar dengan aspirasi ESG.
Secara tuntas, pembudayaan EKSA di UMPSA telah menunjukkan sumbangan yang besar dalam menyokong prinsip ESG terutamanya dalam aspek kelestarian ekosistem, kesejahteraan sosial dan tadbir urus yang baik. Melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan di setiap jabatan di UMPSA, EKSA telah memupuk budaya kerja yang lebih cekap, inovatif, dan berdaya saing, selain menjadi pemangkin kepada transformasi yang lebih besar dalam mencapai matlamat ESG. Dalam jangka panjang, usaha-usaha ini akan memberi impak positif yang berterusan dalam mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan mampan, begitu juga halnya dalam memupuk generasi yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan masyarakat. Dengan demikian, EKSA tidak hanya memperkasakan budaya kerja di UMPSA, tetapi juga memainkan peranan penting dalam usaha menggabungjalinkan prinsip ESG secara holistik di institusi ini.
Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
E-mel : hanisah@umpsa.edu.my
Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
E-mel : fathiah@umpsa.edu.my
Penulis adalah Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 93 views