Skip to main content

Engineering Mobility Exchange 2.0 perkasa pembangunan akademik dan jaringan global di Istanbul, Türkiye

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus komited dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi menerusi pelaksanaan Engineering Mobility Exchange Program 2.0 @Istanbul, Türkiye yang berlangsung dari 23 hingga 28 November 2025. 

Engineering Mobility Exchange 2.0 perkasa pembangunan akademik dan jaringan global di Istanbul, Türkiye

Program ini dianjurkan secara kolaboratif oleh Chemical Engineering Student’s Society (CHEST), International Society for Pharmaceutical Engineering (ISPE) UMPSA Student Chapter, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) serta Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA). Seramai 18 orang delegasi yang terdiri daripada pelajar serta seorang pensyarah pengiring, Ts. Junaidi Zakaria telah menyertai program ini dengan matlamat memperluas pendedahan akademik antarabangsa, memperkukuh jaringan strategik institusi serta membangunkan kompetensi global dalam kalangan pelajar bidang kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan.

Delegasi UMPSA berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1) pada 23 November 2025 dan tiba dengan selamat di Istanbul, Türkiye selepas transit di Hamad International Airport, Doha, Qatar. Ketibaan delegasi ini menandakan permulaan rasmi program mobiliti antarabangsa yang dirangka secara menyeluruh, merangkumi elemen akademik, penyelidikan, industri, kebudayaan serta kemasyarakatan sebagai pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Engineering Mobility Exchange 2.0 perkasa pembangunan akademik dan jaringan global di Istanbul, Türkiye

Agenda akademik utama program bermula pada 24 November 2025 menerusi lawatan rasmi ke Yildiz Technical University (YTU), salah sebuah universiti teknikal terkemuka di Türkiye. Lawatan ini merangkumi sesi pengenalan institusi, perbincangan akademik, serta lawatan ke makmal dan sekitar kampus bagi meninjau kemudahan pembelajaran dan penyelidikan. Pada hari yang sama, delegasi turut mengunjungi Yildiz Teknopark dan Central Research Laboratory, sekali gus memberikan pendedahan terhadap ekosistem inovasi, pemindahan teknologi dan peranan universiti dalam memperkukuh kolaborasi universiti–industri di peringkat antarabangsa.

Pada 25 November 2025, program diteruskan dengan lawatan akademik ke Medipol University, melibatkan sesi pengenalan universiti bersama pensyarah dan International Relations Office, diikuti lawatan ke makmal pengajaran dan penyelidikan serta tinjauan kampus. Interaksi akademik ini memberi peluang kepada delegasi UMPSA untuk memahami pendekatan pengajaran dan pembelajaran, struktur penyelidikan serta pembangunan kurikulum di institusi pengajian tinggi swasta antarabangsa. 

Pada hari yang sama, delegasi turut mengadakan lawatan ke Faculty of Pharmacy, Istanbul University bagi sesi pertukaran idea dan jaringan profesional bersama ISPE Istanbul University Chapter. Sesi ini memperkukuh pemahaman pelajar terhadap amalan profesional dalam bidang farmaseutikal serta membuka ruang perbincangan mengenai sistem pendidikan tinggi dan sejarah perkembangan universiti di Türkiye.

Selain pengisian akademik, program ini turut menekankan aspek kerohanian dan penerokaan budaya. Delegasi berpeluang menunaikan solat fardu di masjid-masjid ikonik seperti Hagia Sophia dan Masjid Sultanahmet (Blue Mosque). Aktiviti ini bukan sahaja menambah pengalaman peserta, malah meningkatkan apresiasi terhadap warisan seni bina dan sejarah Islam yang menjadi identiti penting negara Türkiye.

Elemen tanggungjawab sosial pula diterapkan melalui pelaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pada 26 November 2025 di Al Nokhba School, sebuah sekolah pelarian Syria di Istanbul yang menempatkan lebih 120 orang anak-anak yatim. Pelbagai aktiviti interaktif telah dijalankan bagi meningkatkan kreativiti, penguasaan bahasa Inggeris serta keyakinan diri pelajar. Delegasi UMPSA turut menyerahkan sumbangan kewangan hasil kutipan sebagai manifestasi keprihatinan dan solidariti kemanusiaan, selaras dengan nilai kesejahteraan sejagat yang ditekankan dalam pendidikan tinggi.

Pada hari yang sama, delegasi turut menyertai aktiviti penerokaan sejarah dan budaya sekitar Istanbul bersama Malaysia Student Association in Türkiye (MASAT). Sesi ini memberi pendedahan kepada sejarah, latar budaya serta perkembangan semasa Türkiye, sekali gus memperkukuh kefahaman antara budaya dan membentuk perspektif global dalam kalangan peserta.

Seterusnya, pada 27 November 2025, delegasi UMPSA telah dijemput mengadakan lawatan pendidikan ke Pertevniyal High School. Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi memperkenalkan UMPSA serta bidang kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan kepada pelajar sekolah menengah, sekali gus membuka pendedahan awal terhadap peluang pendidikan tinggi dan laluan kerjaya dalam bidang teknikal. 

Engineering Mobility Exchange 2.0 perkasa pembangunan akademik dan jaringan global di Istanbul, Türkiye

Pada sebelah petang hari yang sama, aktiviti jaringan antarabangsa diteruskan melalui sesi networking bersama ISPE Medipol University yang dilaksanakan menerusi pelayaran Bosphorus Cruise, bertujuan mengukuhkan hubungan profesional dan pertukaran pengalaman antara pelajar kedua-dua institusi.

Program mobiliti ini turut diselitkan dengan lawatan ke Masjid Çamlıca, masjid terbesar di Eropah yang memberikan peluang kepada delegasi untuk mendalami sejarah seni bina Islam kontemporari serta menikmati panorama bandar Istanbul. Lawatan ini menjadi penutup bermakna kepada keseluruhan agenda program dari sudut akademik, kebudayaan dan tanggujawab sosial. 

Delegasi UMPSA berlepas pulang ke tanah air pada 28 November 2025 melalui Istanbul Airport dengan transit di Hamad International Airport, Doha, dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari yang sama.

Secara keseluruhannya, Engineering Mobility Exchange Program 2.0 @Istanbul, Türkiye telah berjaya mencapai objektifnya sebagai platform pengantarabangsaan akademik dan pembelajaran berasaskan pengalaman. Program ini bukan sahaja memperkukuh jaringan strategik UMPSA dengan institusi rakan antarabangsa, malah menyumbang kepada pembangunan graduan holistik yang berdaya saing, berfikiran global serta berteraskan nilai akademik dan kemanusiaan, selari dengan aspirasi UMPSA ke arah kecemerlangan pendidikan tinggi bertaraf dunia.

Ts. Junaidi Zakaria

Oleh: Ts. Junaidi Zakaria 
E-mel: junaidibz@umpsa.edu.my

 

Penulis adalah pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim