Memahami Pemikiran Golongan Antivaksin
‘Lima peratus daripada 15,000 responden yang menyertai tinjauan dalam talian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menolak untuk menerima vaksin Covid-19’.
‘Tunku Mahkota Johor (TMJ) akan bertemu dengan 779 guru yang menolak untuk menerima vaksin Covid-19’.
Demikianlah di antara berita tentang penolakan vaksin yang dipaparkan di media, mutakhir ini. Walaupun angka itu tampak kecil, namun impaknya sangat besar terhadap usaha untuk mencapai imuniti berkelompok dalam menangani wabak Covid-19. Persoalannya mengapakah mereka menolak untuk menerima suntikan vaksin?
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilakukan kerajaan dilanda dengan pelbagai cabaran antaranya terpaksa berhadapan dengan kemunculan golongan antivaksin ini. Golongan yang terdiri daripada pelbagai latar pendidikan, ekonomi, sosial, dan pemikiran politik ini mempunyai pelbagai hujah untuk membenarkan tindakan mereka.
Situasi ini adalah penyebab penghalang usaha KKM untuk mencapai imuniti berkelompok bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negara kita. Menariknya, senario ini bukan sahaja berlaku di negara kita, bahkan turut berlaku di negara-negara yang lain. Walaupun perkara ini tampak remeh, namun hal ini tidak boleh dipandang enteng memandangkan usaha mencapai imuniti berkelompok ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak.
Jika diperhalusi, pemikiran golongan ini boleh dikategorikan dalam satu kumpulan yang sama dengan golongan yang lain seperti golongan yang mempercayai bahawa bumi ini berbentuk landai (flat earth) dan tidak keterlaluan juga saya katakan golongan petaksub politik juga boleh dikategorikan dalam kumpulan yang sama.
Antara ciri persamaan yang kita boleh dapati dalam ketiga-tiga golongan ini ialah mereka mempunyai pasak kepercayaan kendiri yang sangat utuh dan sangat mustahil untuk diubah walaupun disokong dengan bukti-bukti saintifik dan data-data kajian yang tepat serta meyakinkan daripada pakar bidang. Strategi penyampaian maklumat berkaitan vaksin secara berterusan oleh pakar-pakar kesihatan kepada golongan tegar antivaksin ini seolah-olah langsung tidak diendahkan.
Namun, tidak dinafikan terdapat sebilangan masyarakat yang berubah fikiran tatkala mendengar penjelasan saintifik yang diutarakan oleh pakar, ibarat pepatah, ‘Hendak belajar berenang dapatkan itik, hendak belajar memanjat dapatkan tupai’. Persoalannya, apakah sebenarnya yang bermain dalam fikiran golongan antivaksin ini? Adakah cara pemprosesan maklumat dalam otak mereka sebenarnya berbeza jika dibandingkan dengan manusia yang lain?
Dalam bidang Sains Kognitif dan Psikologi, terdapat satu fenomena yang dikenali sebagai motivated reasoning iaitu seseorang itu dipengaruhi oleh emosi mereka untuk mencari justifikasi dalam membuat sesuatu keputusan yang sudah ditetapkan sejak awal-awal lagi. Prinsip asas analisis dan pemprosesan idea di dalam otak manusia menerangkan bahawa bukti dan maklumat yang diterima oleh otak manusia mempengaruhi sikap dan cara manusia berfikir.
Walau bagaimanapun, kajian mendapati fenomena motivated reasoning berlaku secara songsang atau sebaliknya. Golongan ini mencari justifikasi dan bukti hanya untuk menyokong kepercayaan dan sikap mereka yang sedia ada, dan bukannya untuk mencari kebenaran serta mematangkan pemikiran mereka.
Dalam proses ini, hanya justifikasi atau bukti yang condong ke arah kepercayaan mereka akan dipilih walaupun hakikatnya datang daripada sumber yang lemah dan terdapat bukti-bukti lain yang lebih tepat dan meyakinkan, tidak ubah umpama tindakan menegakkan benang yang basah. Waima dibentangkan dengan seribu satu bukti saintifik kepada golongan ini, usaha tersebut hanyalah sia-sia memandangkan cara pemprosesan maklumat golongan antivaksin ini pada awalnya sendiri sudah pun berbeza, justeru menghasilkan pendapat dan keputusan yang berbeza.
Pasti kita tertanya-tanya, mengapa golongan ini bersungguh-sungguh untuk mempertahankan diri mereka sedangkan mereka boleh bertindak untuk tidak bersetuju dan hanya mendiamkan diri? Dalam satu kajian yang dilakukan di Brain and Creativity Institute and Department of Psychology, University of Southern California, Los Angeles, Amerika Syarikat dan diterbitkan dalam Scientific Reports, saintis mendapati golongan seperti petaksub politik yang berfikir secara motivated reasoning ini akan bertindak balas dengan menggunakan bahagian otak yang berbeza berbanding orang biasa apabila diberikan satu kenyataan yang bercanggah dengan pendirian mereka.
Kajian yang diketuai oleh Dr. Jonas T. Kaplan ini mendapati bahagian otak yang dikenal pasti terlibat dengan emosi iaitu amygdala bagi golongan ini berfungsi secara aktif apabila dibandingkan dengan golongan yang neutral. Dalam penjelasan beliau, fenomena ini berlaku disebabkan kepercayaan kendiri yang dimiliki golongan ini tercabar apabila diberikan kenyataan yang berlawanan dengan pendirian mereka iaitu berbeza dengan golongan neutral yang tidak mempunyai kepercayaan dan pendirian tersebut. Selain itu, pengaktifan juga didapati berlaku pada bahagian insula cortex bagi golongan ini iaitu bahagian otak yang terlibat dalam proses pengintegrasian maklumat untuk membuat keputusan.
Yang menariknya, kedua-dua bahagian otak ini mempunyai hubungan secara langsung dan perkara ini menjelaskan fenomena motivated reasoning yang berlaku. Apabila kenyataan yang bercanggah dijelaskan kepada mereka, perkara ini menjadi satu bentuk ancaman terhadap kepercayaan mereka lantas menyebabkan mereka membuat keputusan untuk bertindak balas secara beremosi iaitu bukannya secara rasional dan matang berdasarkan hujah dan bukti yang ada di sekeliling mereka. Demikianlah juga halnya yang berlaku dengan pemikiran golongan antivaksin ini yang berfikir secara motivated reasoning.
Kehadiran wabak Covid-19 ini jelas menguji sikap dan kepercayaan kita dalam menghadapi disiplin ilmu yang berbeza tidak kira ilmu perubatan, kesihatan, agama, politik, dan sosial. Oleh itu, menghormati buah fikiran daripada pakar-pakar pelbagai disiplin ilmu amat diperlukan dalam menyelesaikan pelbagai isu dan masalah yang berlaku ketika ini, bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Anbiya’, ayat 7).
Kesimpulannya, mengubah sistem kepercayaan golongan antivaksin ini sememangnya sukar, namun tidak mustahil untuk dilakukan. Kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan terutamanya daripada ahli keluarga dan sahabat-handai yang terdekat untuk menasihati golongan ini. Dengan nasihat dan doa yang diberikan, moga terjentik emosi dan hati mereka untuk mengubah pendirian seterusnya mempengaruhi keputusan dan pandangan mereka terhadap kepentingan vaksin. Semoga dengan kerjasama yang utuh daripada semua pihak, insya-Allah kita mampu bersama-sama untuk melawan wabak Covid-19 ini demi kemaslahatan sejagat.
Penulis ialah pensyarah kanan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
e-mel: khairulizamil@ump.edu.my
- 2311 views