Pengurusan Kewangan Keluarga: Ambil Iktibar dari Pandemik COVID-19 dalam Pengurusan Kewangan
Sarapan pagi bersama teman sepejabat antara momen yang dapat memberi kebahagian buat saya. Apa tidaknya, jika tiada janji temu dan urusan segera, sarapan akan lebih tenang sambil membincangkan hal-hal semasa di pejabat atau sebaliknya.
Suatu pagi selepas sarapan, seorang teman melontarkan apa yang beliau rasa tentang pentingnya mempunyai simpanan selama setahun. Dahulu apabila pakar kewangan mencadangkan agar mempunyai simpanan kecemasan selama tiga hingga bulan enam bulan dan lebih baik mempunyai simpanan selama setahun, beliau merasakan seperti mustahil. Kenapa? Ini adalah kerana sebagai penjawat awam dan pekerja swasta sepertinya sangat mustahil tidak mempunyai pendapatan atau mengalami krisis kewangan melebihi tempoh enam bulan sehingga perlu menggunakan wang simpanan. Ternyata kini, kita diberi cabaran dan dugaan yang menuntut kesabaran dan kemestian untuk mempunyai simpanan selama setahun.
Apa yang saya ingin kongsikan adalah bagaimana pandemik COVID-19 memberi saya persepsi baharu mengenai pengurusan kewangan. Lima persepsi yang saya ingin kongsikan:
1. Perbelanjaan wajib isi rumah termasuk hutang mestilah tidak melebihi gaji pasangan yang lebih rendah.
Tujuannya agar jika salah seorang ditimpa musibah, ia tidak begitu terkesan untuk mengurangkan perbelanjaan kerana perbelanjaan sedia ada telah pun dipantau.
Musibah seperti kematian, kemalangan, ketidakupayaan, sakit dan sebagainya yang boleh menjejaskan sumber pendapatan.
Contoh:
Zafran (suami): Pendapatan sebulan RM4,500.00
Masturi (isteri): Pendapatan sebulan RM3,100.00
Perbelanjaan wajib isi rumah mereka disarankan sebanyak RM3,100.00
Kenapa?
Jika suatu hari nanti, suami diberhentikan kerja atau sakit atau mengalami musibah maka dengan pendapatan isteri tersebut mampu untuk perbelanjaan wajib. Di saat itu, pasangan atau ahli keluarga hanya perlu mencari sumber pendapatan untuk perbelanjaan lain yang tidak wajib atau perbelanjaan yang boleh dikurangkan.
Semasa pandemik ini ramai pekerja di sektor swasta dibayar gaji separuh atau gaji asas sahaja. Malah, kadangkala terpaksa diberhentikan kerana syarikat tiada sumber kewangan untuk membayarnya. Jika gaji suami asalnya adalah sebanyak RM4,500.00 mungkin akan dibayar sebanyak RM2,000.00 sahaja. Ini mampu untuk menampung perbelanjaan isi rumah jika digabungkan bersama dengan pendapatan isteri sekiranya jumlah perbelanjaan wajib RM3,100.00
Cuba bayangkan jika perbelanjaan wajib mengikut gaji ketua keluarga atau suami:
Perbelanjaan: RM4,500.00.
Gaji suami : RM2000.00
Terpaksa menggunakan gaji isteri: RM2,500.00
Baki: RM1,100.00
Sekiranya suami tiada gaji? Bayangkan kesukaran yang akan dihadapi.
Ramai juga yang saya ketahui perbelanjaan wajib menggunakan kedua-dua gaji pasangan semaksima mungkin. Manakala perbelanjaan tambahan menggunakan pendapatan sampingan melalui perniagaan dan sebagainya. Sedarlah, saat ini poket sedang nazak jika kita biasa berbuat demikian. Ambil pengajaran dari pandemik ini.
2. Simpanan kewangan untuk kecemasan selama satu tahun atau sekurang-kurangnya enam bulan. Lagi lama lagi bagus.
Perkara utama yang ditekankan tetapi masih ramai yang abaikan. Ramai yang hanya mempunyai simpanan tidak mencecah sebulan perbelanjaan. Jadi, berubahlah untuk persediaan yang lebih baik.
Contoh:
Perbelanjaan wajib RM3,100.00/sebulan
Simpanan setahun perlu RM37,200.00
Jika diberhentikan kerja sekurang-kurangnya hati lebih tenang dalam mencari solusi dan pasangan tidak murung kerana terpaksa mengguna pendapatan beliau seorang untuk perbelanjaan isi rumah.
3. Tunai atau pelaburan mudah cair sangat penting walaupun anda mempunyai aset hartanah yang banyak.
Di saat krisis melanda hartanah agak sukar untuk dicairkan atau untuk dijual dengan kadar segera. Walaupun harga 10 peratus hingga 20 peratus di bawah harga pasaran kadangkala ia tetap sukar untuk dijual. Jadi, perlunya tunai atau pelaburan seperti unit amanah, saham dan simpanan tetap atau emas untuk memudahkan anda membuat pengeluaran apabila diperlukan.
Tempoh untuk memperoleh tunai apabila menjual unit amanah sekitar lima ke enam hari. Kadangkala dalam tempoh lebih singkat seperti tiga hingga empat hari dan akan dimasukkan terus ke akaun pelabur. Manakala jualan balik bagi simpanan tetap dalam hari yang sama. Saham pula pada kebiasaannya akan dimasukkan pada hari keesokkannya bergantung kepada platform yang anda gunakan.
Hartanah? Kadangkala dalam tempoh enam bulan anda belum tentu mendapat pembeli yang layak. Justeru, pelbagaikanlah pelaburan dan yang penting pelaburan yang mudah cair juga perlu ada.
Barang kemas merupakan salah satu pelaburan yang mudah cair
4. Cari dan rebutlah ilmu di saat pandemik kerana semasa kegawatan begini banyak kelas dan ilmu-ilmu yang dikongsikan secara percuma atau dengan harga promosi.
Sekiranya mempunyai tunai yang banyak ia sangat membantu untuk menimba ilmu dan merebut harga promosi. Saya mengambil contoh kelas fizikal sehari yang saya hadir pada September 2019 dengan kos RM500.00 sehari untuk satu topik.
Manakala semasa pandemik dari syarikat yang sama menawarkan dua subjek dengan harga RM600.00 dan diserapkan dalam kumpulan sokongan melalui telegram. Penjimatan yuran adalah sebanyak 40 peratus.
Setiap syarikat/individu menawarkan promosi berganda dan sebagai pengguna perlu bijak merebut peluang dan manfaatkannya.
5. Laburlah dan nikmati pulangannya selepas krisis berlalu.
"Membandingkan Mei 2020 dengan tempoh yang sama tahun lalu, jumlah akaun baharu runcit dibuka meningkat 30 peratus manakala aktiviti dagangan dalam kalangan peruncit mencatatkan peningkatan 82 peratus dalam purata nilai harian," kata bursa itu.
Peruncit juga adalah pembeli bersih berjumlah RM5.1 bilion, peningkatan 607 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Sumber: BERNAMA, 20 Jun 2020
Sedar atau tidak, bermula Mac 2020 apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), harga saham dan juga unit amanah jatuh mendadak. Secara teorinya, di saat itu semestinya pelabur yang bijak mengambil peluang untuk membeli kaunter-kaunter yang dijangka berpotensi untuk naik dalam tempoh beberapa bulan. Jumlah pelabur runcit yang membuka akaun pelaburan CDS juga meningkat sebanyak 30 peratus.
Kaunter saham syarikat yang mengalami penurunan seperti Tenaga (5437) dari harga RM13.80 menjadi RM11.48 pada 18 Mac 2020. Bahkan harga saham Tenaga pernah jatuh ke paras RM9.70 pada 3 November 2020.
Saya mengambil contoh salah satu dana unit amanah mengalami kejatuhan semasa 19 Mac 2020 iaitu pada harga RM0.2976 dan mengalami peningkatan sebanyak 42 peratus pada 30 Julai 2020 menjadi harga RM0.4214. Bukan sahaja satu dana tetapi beberapa dana dalam unit amanah.
Selain itu ada juga yang mampu merebut peluang membeli hartanah yang dilelong atau dijual lebih murah dari harga pasaran. Nah! Jika mampu dan mempunyai kewangan yang kukuh, mulakan pelaburan anda. Sebelum melabur, pastikan anda mendalami dan memahami pelaburan tersebut.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada para pembaca dan ambil pengajaran dalam pengurusan kewangan di saat pandemik ini melanda.
Penulis ialah Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Disediakan Oleh: Siti Aishah Ghani
e-mel: sitiaishah@ump.edu.my
- 1569 views