Skip to main content
Pensyarah, fesyen dan motivasi pelajar

Pensyarah, fesyen dan motivasi pelajar

Tidak dapat dinafikan lagi penampilan adalah sangat penting kepada diri seseorang individu sesuai dengan pekerjaan masing-masing. Jika anda seorang pensyarah, penampilan di depan pelajar sangat penting. Ini kerana pensyarah secara tidak langsung menjadi idola kepada para pelajarnya bukan sahaja kerana ilmunya malahan penampilan yang kemas dan bergaya. Kita tidak mahu pensyarah menyuruh pelajarnya berpenampilan kemas dan menarik, tetapi mereka sendiri selekeh. 

Isu ini mungkin nampak remeh, tetapi penampilan adalah aset penting pensyarah untuk menarik para pelajar berminat untuk datang ke kelas dan berminat untuk menimba ilmu. Bukan mudah untuk menyuntik motivasi para pelajar pada hari ini, sangat mencabar para pendidik. Persoalannya bagaimana fesyen boleh mempengaruhi motivasi pelajar? Bak kata orang, fesyen menyediakan kita dengan ritual yang memberikan kita keyakinan untuk menyatakan, “Look at me. This is who I am.” (Faizal Hamid, 2022).

Pensyarah adalah idola pelajar
                                   Pensyarah adalah idola pelajar

Secara amnya, pensyarah yang ingin memulakan tugas sebagai pensyarah, bukan sahaja perlu melalui kursus untuk pengesahan jawatan, malahan mereka juga perlu memasuki kelas-kelas atau kursus penampilan diri. Memang ini nampak seperti tidak penting, tetapi universiti perlu memainkan peranan ini kerana imej universiti juga banyak bergantung kepada staf dan pensyarahnya sebagai nadi penggerak universiti. Pensyarah perlu didedahkan dengan cara penampilan yang menarik melalui gaya percakapan, pembawaan diri, pemilihan pakaian, pemilihan warna, cara menggayakan beg tangan bagi perempuan dan lain-lain lagi. Percayalah, penampilan yang menarik akan melahirkan rasa keyakinan diri yang tinggi apabila berhadapan dengan khalayak khususnya di depan para pelajar. Pelajar juga akan bersemangat untuk belajar dan berkomunikasi dengan pensyarah. 

Seseorang pensyarah itu dilihat selekeh apabila tidak memilih pakaian yang sesuai dan kemas. Terkadang pensyarah sibuk hendak memastikan semua pelajarnya berpakaian kemas, tidak boleh berambut panjang, tidak boleh berselipar, tidak boleh memakai t-shirt apabila berada di dalam kampus. Tetapi ada di antara pensyarah yang berpakaian tidak kemas, memakai selipar, malahan ada juga yang berambut panjang. Etika yang baik datang daripada pensyarah sebelum mereka mengajar etika kepada para pelajar. 

Para pensyarah juga perlu bijak dalam memilih warna bagi menampakkan penampilan yang menarik. Kebanyakan kita pada hari ini tidak perasan tentang pemilihan warna yang kita lebih suka kepada budaya ‘tangkap muat’. Setiap orang ada aura warna mereka sendiri dan jika sesuai dengan warna kulit ia akan menaikkan seri si pemakai. Pemilihan warna yang tidak sesuai dengan warna kulit akan menyebabkan gaya seseorang itu nampak kusam dan tenggelam kerana warna lebih timbul jika dibandingkan dengan wajah si pemakai. 

Pensyarah, fesyen dan motivasi pelajar
  Pemilihan warna sangat penting dalam menaikkan seri wajah seseorang

                 Gambar Hiasan: kredit kepada saudara CuteCarry

Selain daripada berpakaian kemas dan bersih, para pensyarah juga perlu memastikan para pelajar berasa nyaman, harum dan selesa. Mungkin perkara ini mendatangkan ketidakselesaan kepada pihak-pihak tertentu, tetapi ramai yang memandang remeh tentang perkara ini. Ini memandangkan, tanpa suasana nyaman dan harum, juga boleh mengurangkan rasa keyakinan pelajar kepada para pensyarah. Ini sedikit sebanyak akan melahirkan rasa tidak selesa pelajar apabila berkomunikasi dengan pensyarah. Sebenarnya, memakai wangian bukan sahaja penting kepada para pensyarah malahan para pelajar juga perlu sentiasa berbau harum seharian berada di kampus.

Pensyarah, fesyen dan motivasi pelajar
                  Wangi-wangian menyerlahkan aura seseorang.

                  Antara koleksi wangian yang terdapat di pasaran

Para pensyarah perlu mempamerkan personaliti dan penampilan yang menarik. Ini kerana para pelajar akan memandang mereka dari atas sampai bawah. Jadi dalam hal ini, sila pastikan apa yang anda pakai dari kepala sampai kaki adalah yang bersesuaian dengan tema, hari dan masa. Jika majlis rasmi sudah pasti pakaian juga adalah pakaian rasmi mengikut tema yang dianjurkan. Biasanya pakaian tempat kerja adalah pakaian yang kemas dan tidak menjolok mata. Gaya juga tidak boleh terlalu sarat seperti pemakaian barang kemas secara keterlaluan dalam kalangan pensyarah wanita adalah kurang sesuai. Begitu juga dengan perhiasan yang lain tidak boleh terlalu berat. Pemilihan tudung dan baju juga perlu diberi perhatian agar tidak nampak aneh dan elakkan warna yang terlalu menyerlah. Seiringan dengan itu, terutamanya pensyarah wanita perlu juga memakai sedikit solekan bagi menyerlahkan kejelitaan mereka. Solekan akan menampakkan wajah lebih muda daripada umur sebenar. Wajah yang segar akan memberikan semangat luar biasa kepada pensyarah. 

Pensyarah, fesyen dan motivasi pelajar
Pensyarah wanita perlu menampilkan wajah yang segar dan elakkan      muka pucat

Semoga dengan penerangan ringkas di atas dapat dijadikan panduan kepada pensyarah di luar sana agar sentiasa menjaga penampilan mereka di hadapan pelajar dan di mana sahaja mereka berada. Sedar atau tidak segala tindak tanduk kita menjadi ikutan pelajar termasuklah pemakaian dan penampilan kita. Teringat saya semasa bertugas sebagai pensyarah di Kolej Yayasan Pelajaran MARA (KYPM cawangan Kuantan) sekitar tahun 2000. Personaliti Ally Iskandar yang pada masa itu bertugas sebagai pensyarah bahasa Inggeris di situ telah membawa budaya memakai baju Melayu lengkap bersamping pada setiap hari Jumaat sehingga menjadi ikutan pelajar dan juga staf lelaki di situ dengan memakai baju Melayu pada setiap hari Jumaat. Ini menunjukkan bagaimana pensyarah menjadi ejen kepada perubahan kepada etika, adab dan budaya masyarakat setempat khususnya para pelajarnya. 

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Pensyarah, fesyen dan motivasi pelajar
Dr. Hasnah Hussiin

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

e-mel: hasnah@umpsa.edu.my

Reports by:
Admin UMP News