Peranan komuniti setempat dalam menangani isu keselamatan jalan raya
Isu keselamatan jalan raya telah menjadi isu besar yang menghantui hampir kesemua negara di dunia sejak mula-mula jalan raya dibina dan digunakan sebagai salah satu mod pergerakan terbesar.
Selain berfungsi sebagai pemangkin ekonomi setempat, kewujudan jaringan jalan raya yang baik dan sistematik juga telah berjaya meningkat peratusan pelancong dalam dan luar negara yang akhirnya jalan raya akan menjadi medan perkongsian dan pertembungan pengguna jalan raya yang berbeza latar belakang pendidikan, taraf ekonomi, budaya dan juga umur. Ini telah menyebabkan kebanyakan daripada kes kemalangan yang terjadi selalunya melibatkan pemandu yang berasal dari luar daerah kawasan kemalangan yang tidak faham atau asing dengan kawasan yang dilalui mereka.
Semenjak bertahun-tahun, kerajaan telah menghabiskan ribuan malahan jutaan ringgit bagi mewujudkan papan tanda amaran, iklan siar raya berbayar di dalam pelbagai medium dan juga kempen-kempen keselamatan jalan raya. Namun, kes kemalangan jalan raya di dalam negara masih juga mencatatkan peningkatan tanpa ada tanda-tanda ia akan menurun. Persoalannya adalah adakah kesemua mesej ini sampai ke lubuk hati pengguna jalan raya sekalian? Jika dilihat kepada jumlah kemalanga jalan raya yang berlaku, kemungkina besar segala mesej ini sebenarnya hanyalah setakat berlegar-legar di alam maya sahaja.
Justeru, peranan komuniti setempat amat perlu untuk dititikberatkan dalam menangani isu keselamatan jalan raya. Penduduk setempat dikategorikan sebagai pengguna tegar jalan raya kawasan tersebut sememangnya arif dengan segala lopak, pokok, selekoh berbahaya dan persekitaran sekeliling jalan raya biasanya jarang terlibat dengan kemalangan di kawasan mereka sendiri. Malangnya, pengetahuan ini tersimpan rapi dalam kalangan penduduk setempat sahaja tanpa ada peluang dan ruang untuk mereka berkongsi atau mengambil bahagian dalam membantu menyampaikan maklumat dan seterusnya sama-sama berusaha mengurangkan kes kemalangan yang berlaku di kawasan mereka.
Inisiatif National Blue Ocean Strategy (NBOS) melalui program My Safe Road telah membuka jalan kepada komuniti setempat untuk sama-sama mengambil bahagian dalam menangani permasalahan keselamatan jalan raya setempat. Penglibatan daripada tokoh-tokoh setempat seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pengarah pelbagai agensi kerajaan setempat, wakil-wakil institusi pendidikan setempat, ketua-ketua kampung, penghulu, wakil Pejabat Tanah dan Daerah dan juga wakil penduduk setempat telah berjaya dijalankan dib eberapa daerah yang terpilih. Gabungan wakil komuniti setempat ini telah diberikan tanggungjawab untuk merangka pelan strategik keselamatan jalan raya di kawasan mereka. Walaupun pada mulanya, wakil-wakil komuniti setempat ini rata-ratanya agak skeptikal dengan peranan mereka dalam merangka pelan strategik tersebut, akhirnya setelah diterangkan berkenaan peranan dan tanggungjawab komuniti setempat dalam menangani kes kemalangan jalan raya di kawasan mereka, kesemua mereka amat berbesar hati untuk sama-sama mencurahkan idea dan tenaga.
Peranan terbesar komuniti setempat dalam merangka pelan strategik keselamatan jalan raya adalah dalam memberikan maklumat berkenaan isu-isu keselamatan jalan raya setempat, kawasan paling kerap berlakunya kemalangan jalan raya dan juga faktor-faktor terjadinya kemalangan jalan raya daripada sudut pandang mereka. Berdasarkan senarai-senarai ini, kesemua wakil agensi kerajaan bersama ADUN akan sama-sama menggembleng tenaga merangka inisiatif keselamatan jalan raya yang perlu diambil, pelan perjalanan projek yang perlu dilakukan dan kumpulan sasaran inisiatif keselamatah jalan raya yang telah dipersetujui. Akhirnya, pelan strategik yang telah dirangka akan dipunyai dan dijalankan oleh komuniti setempat. Pelan strategik yang dirangka oleh komuniti setempat, dijalankan oleh komuniti setempat dan ditadbir urus oleh oleh komuniti setempat akan mewujudkan rasa kepunyaan (sense of belonging) kepada komuniti setempat tersebut.
Melalui inisiatif ini, peranan komuniti setempat dapat digunakan sebaik mungkin dalam menyelesaikan permasalahan kemalangan jalan dan akhirnya dengan usaha bersepadu pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia, permasalahan jalan raya di peringkat nasional juga dapat ditangani. Usaha ke arah menurunkan kadar kemalangan jalan raya tidak seharusnya hanya berlegar-legar dalam kalangan para cendekiawan, para pentadbir atasan, penggubal undang-undang dan penguatkuasaan, malah usaha daripada semua peringkat komuniti patut dititikberatkan dalam memastikan negara boleh bergerak seiring dengan negara maju lain dalam persekitaran jalan raya yang selamat dan selesa.
Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Penyelidik Keselamatan Jalan Raya.
Disediakan Oleh : Dr. Intan Suhana Mohd Razelan
e-mel: intan@ump.edu.my
- 1296 views