Sekilas 2023, Meniti 2024: Jalan Menara Gading Masih Panjang
Sedar mahupun tidak, tahun 2023 menutup tirai dengan 1,001 kisah dan rencah. Institusi menara gading juga tidak terkecuali daripada warna-warni kisah, sama ada kisah-kisah indah tentang pelbagai kejayaan yang diraih, ataupun polemik yang masih belum ada jalan tuntas penyelesaian. Nukilan ini menyentuh sebahagian isu-isu yang berlegar di institut pengajian tinggi (IPT) dan menjadi buah mulut masyarakat dan juga tinta rasa daripada seorang tenaga pensyarah muda yang masih meniti jalan dan bakti di menara gading, namun punya harapan yang besar untuk menggalas dengan baik tanggungjawab sebagai pendidik anak bangsa.
Kemerosotan kemasukan pelajar
Kesan pandemik COVID-19 yang melanda negara dan seantero dunia, IPT secara keseluruhannya menerima impak yang masih belum berakhir dengan situasi kemerosotan kemasukan pelajar. Statistik terdahulu yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara mencatatkan lebih 72 peratus pelajar memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). COVID-19 sudah tidak boleh dijadikan alasan berterusan untuk warga akademik bersikap sambil lewa akan isu kemerosotan pelajar melanjutkan pengajian. Walau bagaimanapun, pandemik ini telah mengubah dimensi bagaimana bakal graduan, ibu bapa dan pemain industri melihat fungsi IPT dan sistem sokongan yang berkaitan. Bagi bakal graduan dan ibu bapa, mereka melihat adakah dengan melanjutkan pengajian, kerjayanya sudah terjamin dengan gaji yang menepati kehendak masing-masing?
Fenomena ekonomi gig juga menjadikan isu kemasukan pelajar menjadi lebih rumit. Pasaran ekonomi gig yang terbuka luas tanpa batas sijil dan transkrip menamatkan pengajian menjadi satu laluan kerjaya yang dilihat mampu menawarkan imbuhan yang lebih tinggi, dengan kebebasan masa dan tempat bekerja yang lebih anjal. Nilai ‘kosmetik’ yang ada pada industri gig sememangnya menjadi kegemaran generasi baharu yang cenderung kepada kebebasan dan tidak terikat kepada majikan. Kerjaya baharu seperti pempengaruh media sosial yang disadur dengan elemen kemewahan dan populariti, menjadikan graduan mula menilai, apakah berbaloi menghabiskan masa selama empat tahun mengejar segulung ijazah yang belum tentu menjanjikan kerjaya dan kehidupan yang indah?
Kemerosotan kualiti graduan: realiti atau sekadar persepsi?
Tidak cukup dengan isu kemerosotan kemasukan pelajar ke IPT, ramai yang meragui kualiti graduan yang dihasilkan terutamanya ketika era pandemik iaitu pengajaran dan pembelajaran sebahagiannya berlangsung di rumah. Lebih merumitkan, jurang perbezaan generasi baharu yang kurang anjal dan sukar beradaptasi dengan cabaran khususnya di alam pengajian menjadikan keberhasilan graduan sering kali dipersoalkan. Adakah generasi baharu lemah seperti yang didakwa? Atau persepsi ini cuma wujud disebabkan penilaian pramatang generasi lama yang menjustifikasikan bahawa graduan mesti berasa keperitan dan kepayahan hidup seperti di zaman mereka untuk berjaya? Sering kali terjadi generasi lama menghukum generasi baharu kurang common sense, generasi baharu pula menjustifikasikan kepada generasi lama bahawa inilah common sense kami.
Perdebatan ini merentasi hal-hal dalam bilik kuliah, sehinggalah melibatkan mahasiswa dengan industri mahupun masyarakat. Pertembungan dua generasi yang berbeza ini mungkin bakal mewujudkan jurang ketara di antara golongan mahasiswa dengan tenaga dan institusi akademik serta pemain industri. Polemik ini sekiranya berlarutan tanpa ada titik persefahaman yang boleh dihubungkan, mustahil ekosistem yang baik mampu diwujudkan untuk membina bakal graduan yang mampu menjadi pelapis di sektor-sektor kritikal negara. Generasi lama mungkin akan terus terbuai dengan prinsip-prinsip yang rigid yang tiada ruang perundingan, manakala jiwa generasi baharu perlahan-lahan ‘dibunuh’, dek kerana ruang dan peluang penambahbaikan langsung tidak diberikan.
Bayaran elaun latihan industri: Antara hak dan peluang
Isu bayaran elaun latihan industri kembali mencuit warga mahasiswa sekitar pertengahan 2023 apabila timbul keluhan pelatih industri yang kecewa elaun latihan industri yang diterima terlalu rendah, bahkan ada yang mendakwa sesetengah industri hanya menawarkan tempat latihan namun tiada bayaran elaun. Warga akademik secara tidak langsung terkesan dengan isu ini kerana sebahagian tenaga pensyarah terlibat secara langsung sebagai penghubung di antara mahasiswa dengan industri.
Secara umum, latihan industri merupakan antara kursus wajib bagi sesetengah jurusan pengajian untuk membolehkan mahasiswa menamatkan pengajian. Latihan industri juga merupakan pendedahan awal bagi mahasiswa mendapatkan pendedahan dan pengalaman bekerja di industri dalam bidang pengajian seterusnya membuka peluang untuk graduan meniti alam pekerjaan dan membina karier dalam bidang masing-masing. Dilema antara kewajiban menjalankan latihan industri dan keperluan hakiki untuk menampung kos sara hidup semasa dalam latihan, mahasiswa berdepan jalan buntu dengan pilihan yang sangat terhad. Sesetengah pemain industri pula berpendapat, elaun latihan industri bukanlah suatu kewajiban kerana mereka sudah menjalankan tanggungjawab sebagai penyedia prasarana latihan. Bukan sahaja menyediakan tempat, industri juga menganggap mereka juga menjadi tempat pelajar mendapat peluang kepada pelbagai sumber ilmu dan kepakaran, bahkan risiko pelatih industri membuat kesilapan dan mengganggu operasi normal sesebuah syarikat juga turut ditanggung.
Pensyarah bertugas sebagai pemantau dan penyelia bersama latihan industri, mereka tidak dapat lari daripada menjadi orang tengah, antara tugas meredakan bentak mahasiswa yang mahu hak mereka terbela, juga menjaga jaringan perhubungan dengan industri agar tidak terkesan dengan polemik ini. Ibarat menarik rambut di dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak, situasi menang-menang perlu dicapai. Kesinambungan pelajar untuk mendapat tempat di latihan industri mesti diteruskan, pada masa yang sama persefahaman bahawa mereka layak mendapat bayaran yang munasabah dengan keperluan kos sara hidup perlu dicapai.
Isu pemeringkatan: Apa yang dikejar?
Isu pemeringkatan IPT barangkali tidak begitu dirasai oleh warga bukan akademik, namun tinggi rendah kedudukan sesebuah universiti itu telah menjadi perhatian bakal graduan, ibu bapa bahkan masyarakat umum. Saban tahun, negara diperlihatkan dengan pencapaian university universiti tersohor tanah air semakin meniti ranking beberapa penarafan universiti seperti Times Higher Education (THE) dan QS World University Ranking (QS). Walau bagaimanapun, menjadi perdebatan adakah kesemua IPT di Malaysia perlu berada dalam perlumbaan untuk mengejar pemeringkatan ini, tidak kira sama ada universiti tersebut merupakan Universiti Penyelidikan (RU), Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) mahupun kluster universiti yang lain.
Ketika isu ini masih belum ada jalan penyelesaian, kedudukan pemeringkatan tetap menjadi nilai estetik yang gah dipamerkan di papan iklan dan media arus perdana, lalu kecemerlangan dari segi kedudukan pemeringkatan diterjemahkan secara bulat-bulat sebagai penanda aras sama ada sesebuah universiti itu bagus ataupun tidak bagus. Tidak menjadi pilihan bakal mahasiswa lalu menjerumuskan kepada kemerosotan kemasukan pelajar domestik dan antarabangsa, persepsi industri berkaitan kebolehpasaran graduan, kesukaran universiti mendapatkan dana penyelidikan dan pelbagai lagi kesan domino mampu menghantui sesebuah universiti yang tidak terlibat dalam perlumbaan mengejar pemeringkatan.
Cabaran kesarjanaan dan wibawa warga akademik
Universiti tidak lagi hanya menjadi pusat menyediakan pelajar-pelajar dengan pendidikan aras tinggi. Para pensyarah berdepan cabaran untuk kekal relevan seiring dengan evolusi teknologi, kehendak industri serta tanggungjawab kepada masyarakat. Seorang pensyarah harus mampu melaksanakan komponen asas 7P iaitu pengajaran, penyelidikan, penulisan/penerbitan, perundingan, perkhidmatan kepada masyarakat dan pengkomersialan. Ketika tugas-tugas hakiki ini sedaya upaya dilaksanakan, warga akademik sekali lagi dicuit dengan isu penerbitan dalam jurnal pemangsa (predatory journals). Desakan untuk menghasilkan penerbitan ilmiah dalam jangka waktu yang singkat menjadi salah satu punca pensyarah menerbitkan artikel dalam jurnal pemangsa, sama ada secara sedar atau tidak.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengambil langkah drastik dengan mengenakan larangan terhadap seluruh universiti awam (UA) menggunakan peruntukan dana kerajaan bagi tujuan penerbitan yang diterbitkan oleh tiga penerbit antarabangsa yang terpalit dengan kontroversi jurnal pemangsa iaitu Hindawi, Frontier dan MDPI. Langkah agresif ini dilihat sebagai suatu cara untuk mengelakkan peruntukan dana dihabiskan kepada penerbit yang semakin mengabaikan aspek kualiti dan menjadikan penerbitan ilmiah sebagai lubuk perniagaan semata-mata. Selain itu, para pensyarah juga berdepan cabaran untuk sentiasa setanding dengan pencapaian industri, melalui hasil-hasil penyelidikan, konsultasi dan pengkomersialan. Mengejar kualiti setaraf pemain industri, masyarakat juga menunggu akan impak seorang pensyarah dan universiti dalam menyelesaikan permasalahan komuniti. Sesungguhnya, kesarjanaan dan kewibawaan warga akademik cukup mencabar dan barangkali melangkaui batas tempat dan waktu. Adakah seseorang yang bergelar pensyarah, sudah cukup bersedia untuk menerima bahawa sepanjang tempoh perkhidmatannya, bahawa beliau seorang pendidik, beliau juga perlu menjadi penyelidik dan beliau juga punya tanggungjawab kepada masyarakat setempat? Persoalan ini bukanlah ingin melemahkan jati diri seorang pensyarah, namun inilah amanah yang perlu dipikul sejurus selepas pemegang ijazah kedoktoran yang bergelar Dr., Profesor Madya mahupun Profesor menjadi warga akademik di IPT.
Aspirasi 2024: Tugas bersama memartabatkan dan merakyatkan menara gading
Isu-isu yang telah dikemukakan, tidak harus menjadi perdebatan berlarutan tanpa solusi. Ada penyelesaian menang-menang, ada juga yang perlu didamaikan. Pertamanya, bagi mengatasi masalah kemerosotan kemasukan pelajar, universiti mengorak langkah drastik dengan transformasi penawaran dan rombakan kursus-kursus yang seiring dengan kehendak industri, penawaran peluang pengajian secara mod separuh masa dan micro-credential bagi menarik lebih ramai bakal mahasiswa sama ada lepasan sekolah menengah mahupun kepada golongan yang sudah bekerja. Jurang perbezaan generasi juga cuba diatasi dengan lebih banyak aktiviti di luar bilik kuliah melibatkan mahasiswa bersama industri dan masyarakat. Program seperti University for Society (SULAM) inisiatif KPT, merupakan salah satu contoh integrasi pembelajaran luar bilik kuliah yang mampu menghubungkan mahasiswa bersama komuniti dan mampu merapatkan jurang merentas perbezaan generasi.
Kedua, masalah penempatan latihan industri juga ditangani dengan penuh langkah strategik, seperti penyusunan pelajar mengikut zon strategik, kerjasama penawaran program secara Work Based Learning (WBL) dan pertukaran kepakaran dan penyelesaian permasalahan industri bagi memastikan pemain industri sentiasa melihat penempatan pelajar ke latihan industri adalah kerjasama menang-menang, di samping tugas melahirkan generasi pelapis berkemahiran tinggi tidak dilupakan.
Ketiga, isu perlumbaan mengejar pemeringkatan juga telah mendapat perhatian sehingga di peringkat parlimen dan juga KPT. Hakikatnya, warga akademik dan masyarakat secara amnya perlu berdamai dan sedikit terbuka dalam menilai isu ini secara holistik. Untuk jangka masa terdekat, warga akademik tidak mampu menolak bahawa kedudukan pemeringkatan memberi kesan kepada kadar kemasukan pelajar, kebolehpasaran graduan domestik dan antarabangsa, serta rangkaian kerjasama dan pendanaan sehingga peringkat global. Namun, perlu ada suatu langkah strategik bagaimana universiti secara amnya, tidak terjebak dengan perlumbaan pemeringkatan yang barangkali menuntut implikasi kewangan yang besar. Penarafan domestik seperti kerangka Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) dan Sistem Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) seharusnya dimartabatkan sepertimana yang telah disarankan oleh Akademi Profesor Negara (APM). Dasar dan strategi jangka panjang perlu diperhalusi, agar universiti-universiti di Malaysia keluar dari kemelut perlumbaan siapa lebih hebat siapa tidak hebat, namun mampu berdaya saing dan berdiri gah dengan keupayaan bidang tujahan (niche) masing-masing.
Mengakhiri kalam, kewujudan dan kemegahan menara gading itu tidak lagi berdiri dengan nilai ‘romantis’ yang pernah terakam di filem-filem seperti Ali Setan mahupun Dunia Baharu. Menara gading itu tertegak dengan penuh amanah yang dipikul dan pengharapan daripada kesemua pemegang taruh. Melakar jauh kejayaan di persada antarabangsa, tidak ketinggalan memberi impak kepada masyarakat dan komuniti setempat. Tugas seorang pendidik pada hakikatnya merupakan jalan panjang dan sememangnya melelahkan. Bagi golongan seorang pensyarah muda seperti saya, kami menjadi tonggak untuk memartabatkan, juga merakyatkan institusi menara gading. Barangkali generasi baharu yang akan lahir, akan menjadi mahasiswa dan anak-anak yang perlu kami didik sebelum kami menjejak usia persaraan. Menara gading bukan kilang menghasilkan robot, sebaliknya perlu kekal relevan melahirkan insan yang berilmu, bersahsiah tinggi serta menjadi pelapis buat negara. Membuka tirai tahun 2024, buat warga menara gading, sebanyak mana tugas hakiki mahupun ‘P’ yang bakal singgah di bahu kita, semoga terus istiqamah berada dan berbakti pada jalan ini.
Penulis adalah pensyarah kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: abdnasir@umpsa.edu.my
- 336 views