Tersilap Percaturan, Sesal Seumur Hidup: Memberdayakan Pekerja Beramanah Supaya Tidak Tersenarai di Dalam Pangkalan Data ‘Name and Shame’
Barangkali kita pernah mendengar ungkapan ini agar kita berjaga-jaga dalam perlakuan, perbuatan dan perkataan. ‘Tersilap percaturan, sesal seumur hidup’ memberi bahawa jika tersilap pertimbangan dalam membuat keputusan, maka kesannya akan diterima sepanjang hayat. Walaupun perkataan ‘percaturan’ sinonim dengan kuasa dan politik, namun penggunaannya dalam makalah sastera yang mengaitkannya dengan kehidupan serta keputusan sering digunakan.
Jika kita tersilap kata, mungkin maaf menjadi ubatnya. Jika kita tersilap perlakuan, mengakui kesalahan mungkin menjadi salah satu jalan memperbetulkan. Namun, jika kita tersilap pertimbangan yang meninggalkan kesan ketidakadilan dan kemudaratan kepada masyarakat dan negara, bagaimana ingin kita berpatah semula?
Tidak mungkin perlakuan memudaratkan masyarakat dapat berpatah semula untuk dibetulkan sekiranya seseorang yang diamanahkan dengan tanggungjawab, membuat kesilapan dalam pertimbangannya yang tidak wajar sehingga berlaku rasuah, ketirisan, penyelewengan, salah guna kuasa dan kedudukan. Jenayah ini menghasilkan impak berskala besar sehingga terdapat akta khusus baginya iaitu Akta SPRM 2009. Statisik tangkapan rasuah dari Januari sehingga Mac 2024 menunjukkan sebanyak 406 tangkapan telah dilakukan. Ini bermakna empat ke lima purata tangkapan sehari melibatkan kes rasuah. Tenatkah masyarakat kita pada hari ini dengan mengutamakan tamak dan haloba? Adakah nilai bekerja dengan tekun, ikhlas dan amanah sudah terhakis? Adakah ini petanda budaya tidak beretika menjadi normalisasi antara kita?. Persoalan ini agak kompleks untuk dirungkaikan, namun apa yang jelas dan nyata rasuah terjadi kerana tiga perkara iaitu apabila terdapat kuasa, sifat tamak dan peluang.
Kuasa adalah salah satu elemen utama menggalakkan kecenderungan moral manakala tamak hadir bersekali dengan kuasa yang menyebabkan pemegang kuasa melanggar amanah. Tamak disebut sebanyak 12 kali di dalam al-Quran di mana ia adalah sifat kegelisahan dan putus asa terhadap rahmat Allah SWT. Justeru, individu tersebut mewajarkan pelanggaran amanah walau sebanyak mana ia berlaku. Peluang pula wujud apabila terdapat ruang dalam kelemahan sesuatu perkara seperti prosedur, proses, kawalan dalaman dan salah guna kuasa. Maka tidak hairanlah, jika bijak pandai kita tersenarai di dalam ‘carta popular negara’. Bijak pandai ini menjawat jawatan profesional, berpengetahuan, berpendidikan dan pemimpin yang dihormati dalam komuniti, namun tersilap percaturan akibat kerakusan dek harta dan kehendak yang mengelabui mata. Pangkalan Data Pesalah Rasuah SPRM atau turut dikenali sebagai ‘Database Name and Shame’ menjadi bukti kepada kita semua bahawa kuasa, sifat tamak dan peluang menjerat kebanyakan individu yang berpendidikan.
Siapa sangka, wajah-wajah yang mungkin kita kenali ini, kelihatan polos dan dipercayai, dipaparkan di dalam ‘Database Name and Shame’ lengkap berserta kronologi, butiran kesalahan serta hukuman yang dikenakan. Bersesuaian dengan misi negara Malaysia yang mengisytiharkan perang terhadap rasuah dan seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar bahawa rasuah adalah musuh nombor satu negara, maka pendekatan pendedahan pesalah rasuah merupakan instrumen berkesan dalam pencegahan rasuah.
Pangkalan data ‘Name and Shame’ mendedahkan bagaimana pemegang kuasa melanggar amanahnya. Ia dinyatakan dengan jelas dalam ringkasan keterangan pertuduhan yang mengandungi maklumat penting seperti kronologi kes. Kebiasaan yang berlaku dalam kes rasuah apabila penerima mengatakan ‘YA’ pada permulaan dan akan diikuti oleh rantaian siri penerimaan yang lain. Manakalah bagi pemberi, mereka menggadaikan kepercayaan dan kedudukan amanah kerana terdapat faedah lain yang lebih besar menanti. Kesalahan rasuah tersebut bukan sekadar memberi dan menerima, tetapi turut merangkumi perbuatan seperti menawar, meminta, salah guna kuasa dan kedudukan serta tuntutan palsu sebagaimana yang dimaktubkan di bawah Akta SPRM 2009.
Pangkalan data pesalah rasuah bukan hanya diguna pakai di Malaysia. Banyak negara lain di seluruh dunia memaparkan identiti penjenayah ini, dengan butiran peribadi yang boleh diakses oleh orang awam. Di Nigeria, Nigeria's Economic and Financial Crimes Commission (EFCC) mengambil tanggungjawab untuk memaparkan identiti penjenayah rasuah yang ‘dikehendaki’ dan memberi senarai penuh pesalah rasuah di dalam pangkalan data mereka. Selain itu, Pertubuhan/Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa (INTERPOl) turut mempunyai data penjenayah rasuah yang dikehendaki bagi memberi ingatan dan amaran kepada orang awam agar tidak terlibat atau berurusan dengan mereka. Maklumat berkaitan penjenayah rasuah ini boleh dilayari oleh sesiapa sahaja di seluruh dunia supaya kita melakukan penyelidikan dan berhati-hati dalam sebarang urusan melibatkan sesiapa sahaja.
Kaedah mendedahkan identiti perasuah bersifat separa punitif dengan memberi beban malu kepada pesalah supaya jenayah berulang atau residivisme tidak akan berlaku. Pendekatan ini menjadi mekanisme pencegahan yang efektif kerana pihak berautoriti cuba memberi mesej bahawa perasuah akan dipertanggungjawabkan dengan tindakan mereka, serta memberi ketakutan kepada umum bahawa kehidupan pesalah perasuah akan dibayangi sesal seumur hidup.
Menyedari impak pangkalan data ‘Name and Shame’ ini, memperlihatkan kepada kita bahawa tanggungjawab pencegahan bukan sekadar dimainkan pihak berautoriti, tetapi organisasi turut memainkan peranan penting. Memberdayakan pekerja beramanah bukan sekadar slogan yang dilaungkan oleh majikan kepada semua pekerja. Majikan perlu mengiktiraf usaha pekerja, menjadi pihak yang mendengar keluh kesah mereka, menjadi empati agar pekerja merasa dihargai. Pekerja yang melanggar amanah dan menjadi popular segera dalam pangkalan data ‘Name and Shame’ bukan sekadar memikul rasa malu untuk dirinya, malahan majikan akan terkena tempiasnya. Kredibiliti majikan dan organisasi akan dipersoal, imej organisasi akan tercalar dan kualiti perkhidmatan akan turut terjejas. Justeru, langkah memberdaya pekerja menjadi beramanah dapat dilaksanakan melalui dua perkara iaitu usaha pemantapan diri dengan ilmu dan usaha majikan mengiktiraf nilai positif pekerja.
Pemantapan diri dengan ilmu
Untuk mengelakkan individu dari kecundang seperti yang terlihat di dalam pangkalan data ‘Name and Shame’, usaha memantapkan diri dengan ilmu perlu digerakkan bersama-sama dengan kesedaran yang jitu. Individu perlu sedar hakikat diri sebagai hamba dan berusaha untuk mendapatkan keredaan-Nya. Biarpun pangkat tidak dijulang, namun tuhan memandang hambanya yang amanah dan jujur dalam melaksanakan tugas. Ramai individu beragama ditangkap dalam kes rasuah kerana gagal memahami makna bahawa perbuatan melanggar amanah walaupun sekecil-kecil perkara, tidak mempunyai nilai dan sekadar sia-sia disisi tuhan. Tuntutan mendapatkan ilmu mengikut Syed Naquib al-Attas adalah untuk mengubah cara fikir dan bertindak seseorang, maka apabila seseorang memahami impak rasuah secara mendalam, mereka tidak akan terlintas untuk melanggar amanah dalam pekerjaan.
Usaha majikan dalam pengiktirafan nilai pekerja
Pekerja berdedikasi sering dinilai melalui aspek ‘tangible’ seperti seberapa banyak penerbitan dihasilkan, seberapa gah jawatan dipegang, seberapa hebat geran penyelidikan yang diterima dan jaringan industri yang dapat dilaksana. Tidak dinafikan kualiti ini sangat baik untuk diiktiraf namun majikan perlu mengambil langkah proaktif dengan menghargai nilai dan kualiti pekerja yang ‘intangible’ seperti kepatuhan kepada polisi organisasi (contohnya, pemakaian kemas, tertib dan adab apabila berurusan), hadir ke mesyuarat awal, siaga melaksanakan arahan dan cermat melakukan pekerjaan. Kualiti ini jarang diangkat oleh majikan kerana ia tidak terlihat, namun dengan penghargaan kepada nilai positif dan pengiktirafan kualiti ini terhadap pekerja, ia menjadi asas kefahaman kepada semua bahawa kualiti ini adalah sebenar-benarnya didamba agar kelestarian organisasi kekal sepanjang masa. Kualiti ini selaras dengan tema Hari Pekerja 2024 ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ dalam mengangkat nilai positif pekerja.
Kekhuatiran masa depan tidak bercambah sekiranya individu, majikan dan organisasi memahami impak rasuah dalam kehidupan. Individu tidak akan tersalah langkah dalam pertimbangannya manakala majikan dan organisasi boleh menarik nafas lega atas kebarangkalian pekerja mereka tersenarai di dalam pangkalan data ‘Name and Shame’. Memberdayakan pekerja beramanah menghasilkan masa depan Malaysia yang lebih terjamin dan terbilang dari sebarang ancaman yang merosakkan. ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ membudaya nilai positif supaya negara Malaysia lebih makmur dan sentosa.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Sosial, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: hadijah@umpsa.edu.my
- 1035 views