Bapa Terharu Terima Anugerah Khas Anumerta Anak
Kuantan, 16 November- Bapa kepada penerima Anugerah Khas 'Anumerta' Universiti Malaysia Pahang (UMP), Roslan Jodin, 56 tidak pernah menyangka akan mewakili anaknya, allahyarham Mohamad Hakim Roslan menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Elektrikal) dengan kepujian yang diperoleh pada sidang pertama Majlis Konvokesyen UMP Kali ke-14 di bilik kamar Kompleks Sukan UMP.
Apatah lagi, anugerah dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah A-Musta’in Billah yang merupakan Canselor UMP. Turut sama hadir Pro Canselor UMP, Tan Sri Dato' Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato' Sri Ibrahim Ahmad dan Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff.
Allahyarham Mohamad Hakim yang merupakan anak sulung dalam keluarga pergi mengadap Ilahi pada 25 Jun 2019 tatkala berada di tahun akhir setelah bertarung dengan sakit kanser usus sejak tahun 2017.
“Sepanjang menerima rawatan, pengkuliahan allahyarham banyak tertinggal kerana terpaksa bercuti semasa menerima rawatan. Namun, sokongan kawan-kawan allahyarham dan pensyarah amat kami kagumi. Masih kami teringat rakan-rakannya sanggup berkumpul mengajar di rumah transit dalam kampus ditemani kami sekeluarga,” katanya yang hadir bersama isteri, Siti Zanariah Mohd. Ripin, 46 dan tiga anaknya.
Kisah arwah yang yang mempunyai semangat juang yang tinggi melawan sakitnya turut dikongsikan pensyarahnya, Dr. Abdul Nasir Abd. Ghafar daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Ujarnya, semangat allahyarham Mohamad Hakim wajar dicontohi pelajar lain pada hari ini.
Sebagai pensyarah yang juga penasihat rasmi pertandingan kereta elektrik Shell Eco Marathon Asia 2018, katanya beliau pernah didatangi allahyarham Mohamad Hakim antara salah seorang pelajar yang berminat menjadi ahli pasukan ini. Allahyarham menawarkan diri untuk melakukan kerja- kerja fabrikasi dan bercerita tentang pengalamannya bersama ayah membaiki bot, suatu kemahiran yang tiada pada ahli lain dalam pasukan yang cukup muda ketika itu.
Namun, kira-kira dua minggu setelah pertemuan pertama bersama ahli pasukan, beliau menerima pesanan telefon daripada allahyarham untuk menarik diri disebabkan masalah kesihatan dan tidak mampu untuk ke bengkel menyiapkan kereta bersama rakan-rakan lain.
Selain itu tambahnya, diceritakan oleh seorang rakan pensyarah lain, ketika menjadi panel penilai projek akhir tahun, allahyarham Mohamad Hakim ketika itu tidak hadir ketika sesi pembentangan projek kerana terlantar di hospital.
Pada masa yang sama, allahyarham Mohamad Hakim mengendalikan skop kerja elektrik dan elektronik. Ketika sesi soal jawab, allahyarham menjawab soalan panel secara atas talian, langsung dari hospital. Malahan beberapa pensyarah mengakui bahawa allahyarham berjaya menyiapkan kesemua kursus dan hanya mempunyai masalah kehadiran akibat sesi rawatan di hospital.
Dalam pada itu, menurut ibunya, pemergian allahyarham adalah satu kehilangan besar bagi keluarga namun mereka sekeluarga redha dan mengharapkan semangat dan suntikan semangat buat anak-anaknya yang lain. Beliau sekeluarga amat menghargai kesudian pihak UMP menguruskan kehadiran mereka ke Majlis Konvokesyen ke-14 UMP.
- 150 views