Biasiswa Sulung Yayasan UMP khas buat pelajar B40
BATU PAHAT, 17 Februari 2022 - Satu-satunya anak atau anak pertama dalam keluarga golongan B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading dan ditawarkan mengikuti pengajian di Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi mengikuti program diploma dan ijazah sarjana muda berpeluang menerima Biasiswa Sulung di bawah Yayasan UMP.
Ia sebagai pencetus motivasi kepada ahli keluarga yang lain untuk meningkatkan prestasi dalam bidang akademik.
Menurut Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, inisiatif ini adalah selari dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memperkenalkan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) sebagai membantu meningkatkan ekonomi mahasiswa daripada golongan B40.
“Program SULUNG ini akan memfokuskan terhadap usaha untuk membantu pelajar B40 yang ahli keluarga mereka belum ada seorang pun yang pernah menjejakkan kaki ke menara gading.
“Sebanyak RM100,000 ditawarkan sebagai dana permulaan Biasiswa Sulung Yayasan UMP buat pelajar yang layak mulai semester akan datang,” katanya.
Beliau menerima kunjungan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melawat reruai UMP dalam Jom Masuk IPT bersempena Karnival KPT Keluarga Malaysia yang berlangsung di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Batu Pahat.
Turut sama hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Karnival berlangsung mulai 17 hingga 19 Februari itu bertujuan dalam memberi maklumat dan penasihatan akademik tentang kemasukan ke IPT buat pelajar sekolah sebagai persediaan melangkah ke menara gading.
Permohonan Kemasukan UPU Online kini masih dibuka sehingga 31 Mac 2022 dan info lanjut boleh diikuti melalui melalui laman sesawang dan media sosial Kemasukan BPKP JPT - FB rasmi UPU.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 547 views