Skip to main content

Logathepan a/l Muniyappan, bekas juara ASTRO–NACSA Coding Challenge terima Anugerah Kecemerlangan Hei-Tech

GAMBANG, 8 November 2025 – “Setiap kejayaan bermula dengan keberanian untuk mencuba”. 

Ungkapan itu menjadi pegangan hidup Logathepan A/L Muniyappan, 23, graduan Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang kini membuktikan bahawa semangat dan ketekunan mampu membawa seseorang ke puncak kejayaan.

Beliau yang berasal dari Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak itu berjaya melakar satu lagi kejayaan membanggakan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Hei-Tech sempena Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 yang diadakan di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang pada 8 hingga 10 November 2025. 

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Siber) dengan Kepujian ini menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif 3.87, selain menjadi penerima Anugerah Dekan sepanjang tempoh pengajian. 

Kini, beliau berkhidmat sebagai Jurutera Sistem di PERODUA Sdn. Bhd.

Antara pencapaian membanggakan Logathepan termasuklah menjuarai ASTRO–NACSA Coding Challenge 2024, pertandingan keselamatan siber dan pengaturcaraan yang menghimpunkan pelajar universiti dari seluruh negara. Kejayaan itu melonjakkan nama beliau sebagai antara pelajar cemerlang yang menyerlah dalam bidang teknologi dan keselamatan siber, 

Selain aktif dalam bidang akademik, Logathepan turut dikenali sebagai pemimpin pelajar yang berwibawa. 

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Presiden Persatuan PETAKOM (2024/2025), Pengarah Program HackathonX UMPSA 2024 dan Naib Presiden IEM-UMP (2022/2023).

Malah, beliau juga merupakan penerima beberapa biasiswa berprestij termasuk Malaysia Cybersecurity Scholarship dan ASEAN Cyber Shield Program Scholarship di bawah Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Di samping itu juga, beliau pernah mewakili UMPSA ke 3rd International Summer School on Sustainability 2024 di Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman.

Beliau mendedikasikan kejayaan ini buat ibunya,  Parameswary A/P Arumugam.

“Ibu merupakan kekuatan utama saya. 

“Tanpa beliau, saya tidak akan berada di sini hari ini,” kata Logathepan dengan penuh rasa syukur.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para pensyarah UMPSA atas bimbingan dan sokongan yang berterusan.

Tambahnya, UMPSA bukan sahaja mengajar tentang ilmu teknologi, tetapi juga tentang kepimpinan, tanggungjawab dan juga nilai kemanusiaan. 

Kejayaan Logathepan membuktikan bahawa pendekatan pembelajaran berteraskan amali dan industri di UMPSA terus melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan mampu menjadi pemangkin kemajuan teknologi negara.

Disediakan Oleh: Noraini Yusoff, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim