Skip to main content

Memartabatkan bahasa Melayu Tanggungjawab Semua

Pekan, 25 Julai- Para guru, pensyarah, pendidik dan ibu bapa perlu berperanan dalam usaha untuk memartabatkan pemahaman dan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda di negara hari ini. Selain menguasai dan mencintai bahasa kebangsaan, sebagai warga negara Malaysia kita perlu menguasai dan menghormati kepentingan bahasa Inggeris serta menjadikan bahasa Kebangsaan sebagai asas perpaduan negara. 

Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah dijamin oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Kemajmukan kaum, agama dan budaya yang mencorakkan sifat kependudukan Malaysia menjadi cabaran unik ke arah kemampanan perpaduan dan kemapanan identiti nasional melalui perantaraan Bahasa Melayu sebagai alat penyatuan. 

Menurut pakar bahasa Melayu, Prof. Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, profil kebahasaan seorang warga Malaysia mestilah menguasai bahasa kebangsaan sendiri, menguasai bahasa Inggeris dan sekiranya boleh menguasai bahasa ketiga dan keempat.

Jelasnya, bahasa kebangsaan lambang kedaulatan negara dan jati diri bangsa manakala bahasa Inggeris adalah bahasa perhubungan luar dan bahasa untuk menimba ilmu pengetahuan.

“Identiti nasional perlu diperkasakan sejak kecil dan ianya mempunyai kaitan dengan rasa bangga dan rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan dan negara ini. Kita berdepan dengan cabaran pemerkasaan identiti nasional dalam era baharu Malaysia dalam abad ke-21 ini termasuklah era globalisasi, era sains dan teknologi, meningkatkan perpaduan serta kepentingan bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau turut berkongsi mengenai sejarah awal bahasa Melayu pada batu-batu bersurat pada abad ke-7 yang dijumpai di Sumatera dan di Kuala Berang Terengganu pada abad ke-14. Manakala pada abad ke-13, agama Islam mula bertapak di Kepulauan Melayu dan wujudnya pusat-pusat kebudayaan dan kecemerlangan Melayu Islam di ibu kerajaan di wilayah  Samudera Pasai (1280-1400), Melaka (1400-1511), Aceh (1511-1650) serta Johor-Riau (1650-1800).

Dalam pada itu, Tan Sri Dr. Rais Yatim, Pengasas Yayasan Budi berkata, selain peranan yang dimainkan oleh pihak Kementerian Pendidikan, pihak universiti juga perlu mengambil bahagian untuk turut serta berperanan dalam memartabatkan dan melaksanakan penggunaan Bahasa Melayu dalam berkomunikasi dan menggunakan terma bahasa yang sepatutnya. Selain itu juga orang Melayu perlu bertutur secara lazim dalam bahasa Melayu dan bersama-sama mengamalkan budaya, seni, adat istiadat Melayu termasuklah cara berpakaian.   

Lebih membimbangkan pada masa ini tiada lagi buku-buku ilmuan dan teknikal yang dahulunya diterjemah pihak Dewan Bahasa dan Pustaka ke dalam bahasa Melayu bagi tujuan pembelajaran dan ilmu pengetahuan. 

Bahasa Melayu juga dilihat masih tertinggal dalam dunia perniagaan serta komersil dunia perniagaan malahan terdapat juga nama-nama jalan atau taman yang tidak lagi menggunakan bahasa Melayu.

Dalam pada itu, penggunaan bahasa Melayu juga perlu dipertingkatkan penggunaannya agar menjadi amalan masyarakat berinteraksi dan berhubung menggunakan bahasa Melayu yang tidak bercampur aduk. Ujarnya, identiti itu ada kaitan dengan bahasa dan identiti bangsa tidak boleh dijual beli.  

Kedua-dua tokoh ini dijemput menjayakan Siri Bicara Cendekiawan Mulia UMP anjuran Persatuan Kakitangan Akademik (PAKAD) dengan kerjasama Pejabat Naib Canselor UMP dalam membincangkan tajuk “Bahasa Melayu dan Pemerkasaan Identiti Nasional dalam Era Malaysia Baharu”   bersama moderator  Prof Madya Dr Hassan Ahmad daripada Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan.

Program ini merupakan sebuah medan wacana bulanan yang menampilkan tokoh-tokoh berwibawa dari dalam dan luar Malaysia. Tokoh-tokoh ini berperanan untuk mengupas  isu-isu semasa yang merentasi pelbagai dimensi dari aneka sudut pandang bagi manfaat warga UMP dan masyarakat secara keseluruhannya. UMP adalah komited untuk menjadikan kampus Universiti ini sebagai gelanggang intelektual terbuka yang diiimarahkan dengan pelbagai aktiviti wacana dan debat yang matang, waras dan bijaksana.

Program turut dihadiri Pengerusi UMP, Dato Sri Ibrahim Ahmad, Naib Canselor UMP, Prof. Ts Dr Wan Azhar Wan Yusoff dan Presiden PAKAD, Mohd. Hairul Ab. Rahim . 

Selain warga UMP program juga dihadiri pihak luar termasuklah staf daripada Yayasan Budi, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang, Pusat Pengajian Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Dewan Persuratan Melayu Pahang dan para guru serta pendidik sekolah menengah dan rendah sekitar Pekan.

 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim